RAFI melirik Dira. "Kau okey?"
Dira angkat wajah. "Bolehlah. Kenapa kau buat sorang? Bukan Damia pasangan kau ke?"
Rafi angguk. "Encik Gibran minta dia tolong Azad."
Dira angguk.
"Dia marah ke kau balik awal?"
Dira tersenyum pahit. "Dia lagi marah sebab aku silap hantar design kerja part-time aku pada dia."
Terlepas tawa halus Rafi. Dia menggeleng. Itu memang cari pasal.
"Padan dengan muka kau. Kau yang bagi gelaran Mr. Conus tu pada dia. Patut kau tahulah dia tu macam mana." Rafi mengingatkan Dira.
Dira tersenyum. "Jadi kau dah Googlelah maksud Conus tu?"
Rafi angguk. Jarinya aktif di atas tetikus. Menyusun layout website mengikut kehendak Gibran yang cerewet.
"Aku rasa aku tak boleh lama di sini," ujar Dira tiba-tiba.
"Apa maksud kau?"
"Aku dah apply kerja kat tempat lain. Tengoklah mana yang panggil dulu. Aku blahlah."
"Lah, kenapa pula?"
"Aku tak selesa dengan Conus tu."
"Kau ada isu ke dengan dia? Dari first day dia kat sini aku dah nampak kau dengan dia tak sebulu."
"Tak ada apalah. Aku nak berhenti sebab pengasuh Saif tu payah sikitlah. Tensionlah tengok muka mereka laki bini kalau aku lambat ambil Saif. Kau pun tahu kan, aku tak mampu nak bayar lebih pada mereka. Tahun ni adik aku nak ambil SPM. Dia pula mengaji sekolah agama. Yuran setiap bulan tu kadang terunggak. Itu belum lagi abang dia yang baru sambung belajar."
Rafi angguk. Dia simpati, namun apalah dayanya nak membantu. Dia juga menghantar wang ke kampung untuk menampung perbelanjaan ibunya.
"Kahwin ajelah, Dira. Tu, Muadz tu dah lama tergilakan kau. Keluarga dia pun orang senang." Rafi menjeling Dira. Mahu melihat reaksi gadis itu.
Dira menggeleng. "Aku tak nak fikir pasal kahwin. Aku nak kahwin dengan lelaki yang aku cinta. Bukan untuk aku tumpang kesenangan dia."
"Kau tu muda lagi. Cantik pulak tu."
Dira tersenyum malu. Biasanya Rafi hanya memuji masakannya. Tapi, hari ini, Rafi memuji dia cantik. Rasa segan.
"Atau kau mengurat Encik Gibran? Dengar kata dia tu duda. Sesuailah dengan kau."
Dira angkat tetikus. "Kau pernah telan mouse tak? Agak-agak nak try tak?"
Rafi menggeleng tanda tidak mahu. Dia mengangkat kedua-dua tangan tanda memohon maaf.
"Manalah tahu kalau kau boleh neutralkan racun pada dia." Rafi masih seronok menyakat.
Dira mengambil semula tetikus tanpa wayar, lalu dibaling kepada Rafi. Rafi sempat mengelak.
Gibran melangkah masuk bersama dua muk kopi untuk Dira dan Rafi. Dia terkejut dengan apa yang dilihatnya.
Tawa Dira mati tiba-tiba.
Gibran meletakkan dulang di atas meja. Tetikus yang jatuh di atas lantai dikutip. Gibran memandang Dira. Gadis itu tunduk. Pura-pura sibuk dengan kerjanya.
Gibran meletakkan muk serta tetikus di hadapan Dira.
"Terima kasih, Encik Gibran," ujar Dira perlahan. Antara dengar dengan tidak.
Gibran meletakkan minuman Rafi di tepi komputer lelaki itu.
"Terima kasih, bos. Buat susah-susah aje," ujar Rafi. Dia merasa segan apabila Gibran yang menyediakan minuman untuk mereka.