SAMPAH itu terus dimasukkan ke dalam tong sampah hijau. Baru saja dia hendak berlalu, tiba-tiba dia ditegur oleh sepasang suami isteri separuh baya. Berkerut dahinya seketika.
“Baru pindah ke?”
“Eh, tak adalah. Dah hampir setengah tahun tinggal kat sini.” jawab Afaf. Bibirnya tersenyum manis. Menyapa pasangan itu. Melihat pasangan itu, teringat pula dia pada abah.
“Oh, ya ke... tak pernah nampak.” Wanita separuh baya menghampirinya.
“Jarang keluar rumah. Lagipun kerja kan, sibuk sikit.”
“Biasalah, anak muda sekarang.”
Afaf ketawa.“Sekejap ya, mak cik... nak cuci tangan sekejap.” Bergegas dia mencuci tangan di pili berhampiran. Lalu tangannya dilap. Dia kembali semula dan menyalami tangan wanita itu.
“Mak cik?”
“Mak cik Sopiah dan ni suami mak cik... panggil aje Pak Zal.”
“Oh, mak cik dengan pak cik tinggal kat kawasan sini ke?” tanya Afaf ingin tahu. Baru hari ini dia bertemu muka dengan jiran satu taman perumahan itu.
“Mak cik dengan pak cik datang rumah anak. Dekat hujung sana tu. Kamu?”
“Saya Afaf. Panggil aje Afa.”
“Dah bersuami?” Puan Sopiah merisik sambil tersenyum.
“Alhamdulillah, dah.” Senyuman Afaf melebar.
“Baguslah kalau begitu. Bandar-bandar besar macam ni bahaya juga kalau tinggal sorang diri. Hati-hatilah. Banyak penjenayah zaman sekarang.” kata Encik Faizal. Ikhlas memberi pesanan.
“Terima kasih, pak cik. Abah pun selalu pesan macam tu.”
“Dah berapa lama kahwin? Nampak kamu ni muda lagi. Kahwin muda ke?” Puan Sopiah merisik lagi.
“Tak ada muda sangat saya ni, mak cik.. lewat dua puluhan. Dah kahwin hampir lima tahun jugalah.”
“Dah ada anak?” tanya Puan Sopiah lagi.
Sudah diagak soalan itu akan terkeluar. Namun, Afaf hanya tenang.
“InsyaAllah.” ucapnya bersama gelengan perlahan.
“Maaflah, mak cik tak tahu.” ucap Puan Sopiah serba salah.
“Tak apalah, mak cik. Bukan kuasa manusia.”
“Sabarlah ya... mak cik dulu pun lama juga. Hampir tujuh tahun baru boleh seorang anak. Sabar tu pasti ada ganjarannya. InsyaAllah, Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Jangan tertekan sangatlah pasal anak ni. Betul kata kamu tadi, semua tu bukan kerja manusia. Allah Maha Kuasa. Dia yang beri.” ujar Puan Sopiah lembut.
Sedikit tersentuh hati Afaf mendengar.
“Eh, kamu tak pergi kerja ke?” tanya Encik Faizal hampir terlupa.
“Allah... leka pula.” ucap Afaf lantas memandang jam di pergelangan tangannya.
“Tak apalah, nanti kita borak lagi. Nanti lambat pula kamu pergi kerja. Hati-hati bawa kereta tu, kami sambung joging dululah ya?” pamit Puan Sopiah seraya bersalam dengan Afaf.
Afaf mengangguk. Hilang saja kelibat pasangan itu dari pandangan, dia terus memusing tubuh. Hampir luruh jantungnya apabila melihat Habiel sedang memandangnya. Tanpa kata, suaminya terus berlalu ke kereta. Sekejap saja kereta Porsche 911 milik suaminya itu hilang dari pandangan. Afaf hela nafas lagi. Apalah nak jadi.
Setiba di pejabat, Afaf hanya melakukan kerjanya seperti biasa. Menghantar fail ke bilik pejabat bos besar pun seperti biasa. Langsung tiada patah yang keluar dari mulut suaminya itu.“Masuk ajelah.” kata Afaf apabila terdengar ketukan di pintu bilik pejabatnya. Dia mengangkat kepala memandang sekilas sebelum tunduk menatap muka kertas semula.
“Amboi, sibuk benar ya kau, Afa.” ujar Maya lalu ketawa kecil.
Afaf hanya tersenyum nipis.
“Ni... fail yang kau minta.” Maya meletak ke atas meja Afaf. Tanpa dipelawa dia berlabuh di hadapan ketua atasannya itu.
“Afa, lama kita tak bergosip. Kalau dulu kau duduk kat sana, kita boleh berbual sambil buat kerja. Tapi sekarang, kita dah terpisah.” luah Maya sedikit sayu.
“Terpisah tempat aje, May. Kau boleh bila-bila masa aje masuk bilik aku, tu pun kalau kau dengan aku free la. Dan tanpa bos besar masuk ofis.” ujar Afaf lalu tersengih. Mengajar si bawahan mencuri tulang. Elok sangat!
“Ha'ah, kan.” Tanpa membuang masa, Maya bersetuju.
“Oh ya, Afa.. kau dah tahu ke belum?”
“Tahu apa?” Dahi Afaf mula berkerut. Wajah Maya dipandang sekilas.
“Kau masih belum tahu lagi ke?” soal Maya semula.
“Tahu apa ni, May... aku tak sempatlah nak ambil tahu gosip-gosip panas.” akui Afaf jujur. Disebabkan kesibukannya, banyak perkara dia terlepas berita. Tak apa, Maya ada. Internet bergerak.
“Bos kita dapat anak saudara sulung.”
Wajah Maya terus Afaf pandang. Dahinya berkerut semula.
“Anak saudara?”
“Yelah, anak saudara. Anak bongsu Dato Hamdan timang cahaya mata sulung. Kau tak tahu lagi ke berita gembira ni?” Maya menyoal hairan sedikit. Tetapi, dia tahu Afaf sibuk.
Perlahan Afaf menggeleng kepala. Wazif dah kahwin?
“Bila anak Dato Hamdan kahwin?” tanya dia ingin tahu.
“Setahun lepas. Masa tu kau duduk di Australia kut. Sekarang dah ada anak. Cuma bos kita aje belum kahwin-kahwin. Tahan jealous ajelah adik dia ada isteri dengan anak.” ujar Maya lalu ketawa sendiri.
“Oh. Bila lahir?” tanya Afaf lagi. Dia tumpang gembira. Nampaknya hasrat Wazif untuk berkahwin muda tercapai. Malah, sudah bergelar bapa terlebih dulu berbanding Habiel.
“Kelmarin. Girl! Mesti comel kan macam mama dengan papa dia.”
Terus tersenyum bibir Afaf mendengar. Hatinya tercuit.
YOU ARE READING
Tak Sempurna Tanpa Kamu (✓)
RomanceNak tahu jalan ceritanya, jemputlah baca. Malas nak tulis blurb. Start : 02.01.2023 End : 25.01.2023 ©Karya asli hak milik xtheaura ❌ Dilarang tiru, ciplak dan seangkatan dengannya. ✨ Jemput baca, komen dan vote jika sudi