AFA 36

2.3K 127 4
                                    

SEBAIK saja dia melangkah masuk ke dalam bilik wad persendirian itu, matanya terus terpandang sekujur tubuh Afaf sedang berdiri di jendela sambil membelakangi pintu. Langkahnya terus dibawa menghampiri si isteri.

"Afa..." Perlahan Habiel menyentuh bahu isterinya.

Afaf sedikit tersentak apabila mendengar suara itu. Namun, dia tidak menoleh mahupun membalas teguran itu. Pandangannya terus dibuang ke luar jendela. Leka.

"Afa... Afa masih sakit. Kenapa berdiri kat sini, sayang?"

Sepasang mata bundar Afaf terus terpejam apabila mendengar perkataan itu. Sayang. Adakah panggilan itu sekadar mahu memujuk hatinya? Atau memang benar sayang?

"Jom, balik ke katil." ujar Habiel lembut. Lengan Afaf dipaut perlahan.

Tanpa kata Afaf meleraikan pautan Habiel di lengannya. Wajah itu sedikit pun tidak dipandang. Dia mula melangkah ke arah katil sendirian. Perasaannya berbelah bagi.

"Afa." Sungguh Habiel terkejut apabila Afaf menolak pertolongan darinya. Dia hanya mampu melihat Afaf menapak perlahan ke arah katil. Apa yang tak kena ni?

Perlahan-lahan Afaf berlabuh di atas katil. Baru saja dia hendak menaikkan kakinya, ada tangan yang terlebih dulu mengangkatnya ke atas. Wajah Habiel terus dipandang.

"Maafkan abang sebab abang tak ada masa Afa sangat-sangat perlukan abang kelmarin." ucap Habiel perlahan. Punggungnya dilabuh di birai katil menghadap Afaf.

Mata Afaf terus dilarikan ke arah jendela. Walaupun jendela itu jauh dari katilnya, dia lebih suka memandang suasana di luar sana berbanding wajah bersalah si suami.

"Afa tak nak cakap dengan abang ke?" soal Habiel. Tangan Afaf terus dicapai dan digenggam erat. Berharap kali ini Afaf tidak menolaknya lagi.

Lidah Afaf seakan kelu dan keras untuk membalas.

"Afa, abang tahu abang banyak dosa pada Afa. Abang tahu abang selalu abaikan Afa. Abang tahu abang suami yang tak berguna untuk Afa tapi tolonglah abang, Afa... tolong jangan bersikap macam ni." ujar Habiel separuh merayu.

Diam. Afaf tetap begitu.

"Abang minta ampun, Afa. Maafkan abang, sayang." Mata Habiel mula terasa panas.

Afaf menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan. Rayuan Habiel menyentuh dasar hatinya yang paling dalam. Bukan salah Habiel semua ini terjadi. Bukan salah suaminya. Tapi..

"Abang tak nak kehilangan Afa lagi. Abang tak sanggup. Abang sangat sayangkan Afa. Abang mahu mulakan hidup baru dengan Afa." luah Habiel penuh harapan. Dia tunduk.

"Tapi, Afa dah tak sempurna."

Habiel terus mengangkat kepala apabila mendengar suara Afaf yang bergetar.

"Bukan kesempurnaan yang abang cari, Afa." balas Habiel ikhlas. Dia mendekatkan jarak antara mereka berdua. Wajah lembut Afaf dipandang tanpa lepas.

"Abang tak tahu keadaan Afa." ujar Afaf perlahan.

"Abang tahu! Abang tahu keadaan Afa sekarang. Abang dah tahu semuanya dari Maya dan Syasya. Dari doktor pakar juga." Habiel berkata jujur. Cuba yakinkan Afaf yang dia sudah tahu hal sebenar.

Serta merta Afaf memandang wajah suaminya.

"Abang tahu, sayang. Abang dah dengar apa yang doktor beritahu abang." jelas Habiel. Sebelum pulang pagi tadi, sempat dia berjumpa dengan doktor pakar yang merawat Afaf untuk mengetahui lebih lanjut tentang keadaan isterinya itu. Ya, perit untuk dia telan. Tetapi, dia harus tahu perit lagi untuk Afaf menelannya.

Afaf terkedu.

"Tu semua bukan kita pinta, Afa. Abang tahu sukar untuk Afa hadapi semua ni tapi kita kena redha. Kalau Afa nak pertahankan kandungan tu macam mana sekali pun, semua tu tak mungkin, sayang. Bahaya. Lagipun mustahil, sebab janin tu tak berada dalam rahim."

Air mata Afaf terus menitis. Dadanya kembali sebak seperti saat dia diberitahu perkara sebenar. Bukan saja perit malah sangat sakit untuk dia telan. Dia sudah menunggu lama.

"Kita masih ada lagi peluang. Hanya satu tiub yang dibuang, bukannya dua." ujar Habiel lagi. Air mata isterinya dikesat lembut sebelum kedua belah pipi dikucup kasih. Kemudian, beralih ke dahi.

Pilu hati Habiel melihat air mata Afaf yang begitu mudah sekali menitis. Laju membasahi pipi mulus itu. Tiada lagi riak ceria sebaliknya, duka. Hatinya bagaikan ditusuk dengan sembilu kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyeka air mata yang galak menitis. Sakit Afaf, sakitnya juga.

"Kemungkinan untuk berlaku lagi adalah besar." kata Afaf perlahan. Tersendu.

"Jangan minta macam tu, sayang. Kata-kata itu satu doa. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya ini. Kita hamba yang terpilih untuk terima ujian ni. Percayalah, abang tak akan tinggalkan Afa. Abang akan setia di sisi Afa walau apa pun yang terjadi." Kedua belah tangan Afaf kembali dipegang erat lalu dileus lembut.

"Jangan beri harapan pada Afa, abang. Jangan kecewakan Afa." ucap Afaf lalu merenung sepasang mata bening itu. Dia tidak mahu Habiel sekadar berjanji untuk memujuk hatinya yang sedang tidak terdaya ini. Dia tidak mahu menerima sebarang janji atau kata-kata tanpa sebarang isi dalamnya.

Habiel tercengang seketika dengar kata-kata Afaf.

Tak Sempurna Tanpa Kamu (✓)Where stories live. Discover now