AFA 39

2.5K 123 31
                                    

LANGKAHNYA diatur perlahan menuju ke luar rumah. Angin yang sepoi-sepoi bahasa terasa lembut menyapa tubuhnya. Terasa tenang dan damai ditambah lagi melihat sawah padi yang kian mula berubah warna hijau kekuningan. Dia berlabuh duduk di atas pangkin di bawah pokok manggis yang rendang.

Sesekali tudung bawalnya dibetulkan apabila angin yang bertiup pada petang itu agak kuat berbanding biasa. Sudah hampir sebulan dia berada di kampung ini. Perasaannya kini sudah semakin tenang dan lapang. Rasa inilah yang dia cari selama beberapa bulan kebelakangan ini. Rasa ketenangan.

Selama sebulan itu juga, dia tidak menatap wajah tampan suaminya. Malah, suara itu pun tidak menyapa di telinganya waima melalui panggilan telefon. Kosong log panggilan masuk di telefon pintar miliknya. Habiel sekalipun tidak pernah menghubungi selama sebulan ini. Begitu juga dia tidak menghubungi suaminya.

Kadangkala, dia terfikir juga merajuk suaminya itu? Atau sedang bergembira menyiapkan persiapan perkahwinan yang tidak lama lagi akan dilaksanakan. Apabila memikirkan itu, perasaannya kembali galau. Namun, apa yang mampu dia lakukan selain menenangkan semula perasaan sendiri.

Pedih, sakit dan sedih cuba dilepaskan dari dirinya. Dia tidak mahu lagi terus dibelenggu dengan perasaan yang menyesakkan dada. Perasaan itu hanya mampu membuatnya sukar untuk bernafas. Sudahnya, dia redha apa pun yang akan terjadi selepas ini. Ini pilihan yang dia lakukan. Mengapa perlu bersedih dan menyesal?

"Amboi, panjangnya anak abah ni mengelamun."

Afaf kembali tersentak ke alam nyata. Suara abah terus dicari. Apabila dia menoleh, dia terpandang wajah abah yang berkeringat. Bibirnya terus mengukir senyuman menyapa.

"Baru balik abah?" tanya Afaf. Masa lapang abah di kampung dihabiskan dengan pergi ke kebun pada sebelah pagi dan juga petang. Malamnya pula dihabiskan di surau.

"Ya." Encik Marwan terus berlabuh di pangkin. Melepaskan lelah.

"Banyak ke tandan pisang yang abah jual?" tanya Afaf ingin tahu.

"Banyaklah juga, dalam sepuluh tandan."

"Wah, banyak juga tu. Nanti Afa nak ke kebun abah tu jugalah." kata Afaf mula teruja. Setiap kali pulang ke kampung, dia masih belum berkesempatan ke kebun abah. Kata abah, tanaman yang abah tanam dulu sudah boleh dimakan hasilnya. Selain itu, abah menanam pisang, tebu, terung, cili dan kacang sebagai sandaran.

"Kamu masih tak sihat. Nak pergi.. tak payahlah." Encik Marwan terus menegah. Risau keadaan satu-satunya anak perempuannya ini. Tampak sihat tetapi belum sihat.

"Afa dah sembuhlah, abah."

"Kat luar memang dah sembuh, kat dalam belum lagi. Luka bedah ni bukannya sebulan saja dah boleh sembuh. Memakan masa tiga empat bulan juga." Encik Marwan mula menegur kedegilan Afaf.

Afaf terus menggigit bibir sendiri sambil tersengih. Benar juga kata abah.

"Oh ya... terlupa pula abah nak tanya. Habiel tak balik?"

Tersentak Afaf mendengar soalan itu. Keningnya digaru.

"Abah perasan rumah tangga kamu ni macam ada masalah." Encik Marwan mula menebak. Wajah si anak terus dipandang. Bukannya dia tidak perasan hubungan anaknya dengan Habiel. Tampak suram.

Afaf tersenyum hambar.

"Abah dah makan garam dulu berbanding kamu. Kalau kamu berdua ada masalah, apa salahnya salah seorang mengalah. Jangan degil sangat." Encik Marwan mula menegur lagi.

Terdiam Afaf mendengar. Afa dah mengalah, abah. Bisik hati Afaf.

"Jangan terlalu ikutkan kata hati tu. Kata hati kita tak selalunya betul, kadangkala kita kena juga guna otak. Otak dan hati perlu bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian." kata Encik Marwan.

Afaf diam mendengar lagi.

"Rumah tangga mana tak dilanda musibah dan dugaan, kamu tak terkecuali menerimanya. Duduk bersama dan berbincang cari kata sepakat. Bila Habiel bercakap, kamu diam... begitulah sebaliknya. Jangan kedua-dua nak bercakap dalam pada masa yang sama, kalau macam tu siapa yang nak mendengar siapa."

Mata Afaf mula memandang wajah abah.

"Abah..." Afaf terhenti kata.

"Kalau kamu ada sesuatu nak diluahkan, abah ada jadi pendengar. Abah nak tengok kamu yang dulu, yang ceria dan sentiasa senyum. Bukan kamu yang sekarang yang sedih, muram dan selalu mengelamun. Ni bukan anak abah yang abah kenal dulu. Anak abah becok bila bercakap, bukannya pendiam." kata Encik Marwan lagi.

Afaf tertunduk.

"Abah nak tanya kamu ni."

Afaf kembali mengangkat kepala. Bertanya melalui mata.

"Kamu tak sayang ke rumah tangga kamu ni? Kamu tak sayang Habiel, suami kamu sendiri?"

Terpaku Afaf mendengar. Sebelum ini abah hanya diam melihat tapi kali ini abah mula bersuara mengeluarkan pendapat dan teguran. Abah bukan sengaja senyap. Abah macam papa. Suka memerhati.

"Kata orang diam tanda ya."

Bibir Afaf terus tersenyum. Masih relevan ke ayat itu? Kalau baginya, ya. Masih relevan bagi seseorang yang sukar untuk mengakui isi hati sendiri. Diamlah jawapannya. Tidak susah untuk meneka.

"Kamu dah besar, Afa. Abah yakin kamu seorang yang bijak untuk selesaikan masalah sendiri. Abah dah tua... abah nak tengok kebahagiaan anak-anak abah." luah Encik Marwan penuh harapan.

Hati Afaf tercuit.




Tak Sempurna Tanpa Kamu (✓)Where stories live. Discover now