Dia berlari sekuat hati, cuba mengelak pepohon dan tumbuh-tumbuhan tebal yang menghalang lariannya di hutan belantara ini. Kadangkala, dia tersungkur dan cedera dek duri-duri liar, namun diteruskan juga langkahannya dengan sepantas hati.
Angin menderu-deru, dengan ditemani sinaran yang menembusi rimbunan dedaun, menghasilkan palang-palang cahaya. Semakin lama, lariannya semakin perlahan. Dia jatuh terduduk. Sakit tidak kepalang dirasakan, apabila sudah lebih enam jam berlari tanpa henti.
Tekaknya terasa begitu dahaga. Dia sendiri tidak pasti berapa lama lagi dia mampu bertahan, namun dengan berbekalkan semangat untuk hidup, dia terus mengerah segala baki kudrat yang tersisa.
Tiba-tiba deruan sesuatu menggegarkan gegendang telinga saat satu lembaga muluru ke arahnya. Dia terjatuh saat cuba mengelak serangan spontan itu. Dia berpaling melihat sekeliling.
Satu saukan mencapai kepalanya, dia menunduk tetapi dibalas dengan tujahan lutut lawan. Saki-baki kudrat 11 tahun itu semakin lemah. Dia terjarak sedepa jauhnya.
Barulah dapat dilihat dengan jelas entiti yang menyerangnya tadi berdiri tegak di hadapannya. Lawannya seorang kanak-kanak lelaki berumur lingkungan 12 tahun. Rambutnya pendek dan kemas, berpakaian biasa, tidak megah, tidak camping, bertaraf rakyat jelata. 'Mujur bukan orang dewasa', getus hatinya.
Dia tersenyum sinis. Pandangan redup lawan itu memerhatikannya. Semakin lama, jarak antara mereka semakin dekat.
"Engkau kelihatan seperti terlatih, hanya yang dilatih sahaja mampu mempunyai refleksi tangkas sebegitu."
Lawannya itu menghulurkan tangan. "Siapa nama engkau?"
Dia berbuat hal yang serupa.
"Wara Kenchana."