Cuaca gelap-gelita. Yang terlihat hanyalah kebakaran di sana-sini. Haris menarik nafas dalam-dalam. Bahu kiri yang terasa sakit diurutnya perlahan dengan menggunakan tangan kanan. Dari berbaring, Haris duduk pula. Matanya melilau memandang sekeliling. Haris buntu, seingatnya, sebelum dia pengsan, telah berlaku gegaran kuat di tengah kota. Orang ramai lari bertempiaran menyelamatkan diri. Satu fenomena asing yang terlihat di depan mata sungguh mengecutkan tangkai hati. Bangunan KLCC yang tersergam indah kelihatan rebah ke bumi bagaikan kepingan lego yang tersalah susun oleh kanak-kanak dua tahun. Bukit Gasing yang jauhnya sepuluh kilometer dari tempat Haris juga hancur menjadi debu-debu hitam. Pancutan api yang entah dari mana datangnya saling berlanggar antara mereka lalu memancutkan lebih banyak api-api kecil. Dentumannya memekakkan telinga pada yang mendengar.
Ramai orang yang berlari bertempiaran. Ada yang menjerit meminta pertolongan, ada juga yang masih cuba menyelamatkan diri walaupun sudah berdarah. Tidak kurang juga ada yang sudah tidak bernyawa dipijak oleh orang-orang yang sedang berlari menyelamatkan nyawa mereka.
Begitu juga dengan Haris. Laju dia berlari menyelamatkan nyawanya. Air mata Haris jatuh tatkala kisah tadi bermain di dalam fikirannya. Keadaan sekelilingnya sunyi sepi. Tiada sudah terdengar bunyi jeritan mahupun tangisan. Tiada lagi bunyi dentuman kuat, tiada lagi percikan api di langit. Apa yang tinggal hanyalah kegelapan. Bagaikan ada satu arahan, Haris kemudian bangun perlahan-lahan dari tempat dia pengsan tadi. Suraya, call girl yang baru dia kenal beberapa jam lalu terbaring kaku beberapa meter darinya, wanita itu sudah tidak bernyawa.
Haris sudah mula melangkah perlahan-lahan meninggalkan kawasan itu. Haris bingung. Kota yang selama ini menjadi kemegahannya sudah hilang seri. Yang terlihat kini hanyalah sebuah kota yang mati. Suasananya sama benar dengan filem-filem yang pernah dia lihat di panggung wayang selama ini.
"Tunggu!" jerit Haris apabila melihat satu susuk tubuh disebalik gelap. Serta-merta Haris mengukirkan senyuman. Kini Haris bagaikan mempunyai harapan untuk terus hidup. Mendengarkan panggilan Haris, seseorang disebalik gelap itu cuba melarikan diri.
"Tunggu, tolong... tolong jangan tinggalkan aku." Haris sudah seakan merayu. Makhluk itu berhenti melangkah.
"Kau juga antara yang terselamat dalam gegaran tadi ke?" soal Haris penuh minat. Bahu lelaki itu disentuhnya. Hanya makhluk disebalik baju tebal berwarna hitam itu sahaja yang Haris kenal kini.
"Ye." Jawab makhluk itu dalam suara garau.
"Aku Haris." Haris memperkenalkan dirinya. Lelaki itu hanya diam membisu. Masih berkira-kira mahu menyambut salam perkenalan Haris ataupun tidak.
"Nama kau siapa?" soal Haris ingin tahu. Lelaki itu memalingkan wajah melihat susuk tubuh Haris. Perlahan-lahan hoodies yang menutup kepalanya dibuka. Haris terkejut. Serta-merta Haris berundur menjauhi lelaki itu.
Lelaki itu mengukirkan senyuman kepada Haris. "Nama aku Xavier." Ucap lelaki itu. Haris terkedu. Seluruh wajah lelaki yang berhadapan dengannya itu dipandang lama. Lidah Haris menjadi kelu untuk terus bersuara.
"Kenapa? Kau takut melihat wajah aku?" soal lelaki itu. Haris masih membisu.
"Macam kau, aku juga penghuni alam ini." Balas lelaki itu. Hoodies kemudian ditariknya semula menutupi kepala.
"Manusia memang bodoh!" ucap Xavier ketika mahu melangkah.
"Tunggu." Jerit Haris kembali.
"Apa?" soal Xavier.
"Aku nak ikut kau. Tolong jangan tinggalkan aku. Aku minta maaf. Aku tak sengaja. Aku cuma terkejut tengok kau. Rupa kau sangat lain. Kau tak macam aku. Kau ada tanduk. Selama ini aku tak pernah jumpa mana-mana makhluk macam kau. Aku minta maaf."

YOU ARE READING
Di Bawah Satu Langit. ✔️
Science Fiction[COMPLETED] Di Bawah satu langit adalah koleksi cerpen bertemakan thriller sci-fi. ***** Syurga apanya? Bullshit semua ni. Kau tak nampak sana-sini orang buat 'projek' tanpa ada rasa bersalah? Mana pe...