All that I am or ever hope to be, I owe to my angel mother. ~ Abraham Lincoln
Di malam hari, perginya ratu hatiku
Deringan telefon pintar membuatkan dia terjaga daripada lena. Siapa pula yang telefon malam – malam begini? Telefon pintar yang berada di bawah bantal ditarik keluar. Tanpa melihat nama pemanggil, terus sahaja dia menjawab panggilan.
"Helo?"
"Angah, ibu dah takde."
Dan dia pun terkaku bisu.
Ibu dah tiada?
Tanggungjawab terakhir seorang anak
Mata melirik wajah ibu dengan hati yang sayu. Pertama kali tangannya menyentuh wajah ibu sebelum dibawa masuk ke dalam bilik pengurusan jenazah tadi, dia jadi lemah; wajah ibu sejuk sangat. Itulah yang meyakinkan dia bahawa ibu memang benar – benar sudah tiada.
Air dijirus ke badan ibu perlahan – lahan. Inilah terakhir kalinya dia dapat menunaikan tanggungjawab seorang anak dengan memandikan jasad ibu. Selesai sahaja urusan memandikan dan mengkafankan jenazah, ustazah yang mengetuai urusan pengurusan jenazah bersuara.
"Sesiapa yang nak cium jenazah buat kali yang terakhir, boleh cium sekarang."
Seorang demi seorang yang berada dalam bilik pengurusan jenazah itu menghampiri jasad ibu lalu mencium dahinya. Apabila sampai giliran dia untuk mencium jenazah, lambat – lambat dia mengatur langkah menghampiri jasad ibu. Wajah ibu ditatap lama. Pelbagai kenangan menerpa masuk fikirannya.
Gelak tawa ibu.
Usikan ibu.
Teguran ibu.
Marah ibu.
Merajuk ibu.
Ibu dah tiada?
Perlahan – lahan dia membongkokkan badan lalu mencium dahi ibu sambil menutup mata. Airmata yang ditahan sedari tadi mengalir juga. Esakan kecilnya kedengaran dalam bilik pengurusan jenazah yang sepi itu. Mata dibuka lalu badannya diluruskan sambil mengelap airmata. Ustazah memeluk erat bahunya sambil berbisik, "kuat ye."
Ya, dia memang tengah kuat sekarang ni. Kalau tidak, satu hospital ini akan bergema dengan raungan kecewa serta ratapan sedih dia.
Penghormatan terakhir buat ibu tercinta
Sejak sampai, dia tidak henti – henti membacakan surah yasin buat ibu. Tetamu yang datang menziarahi tidak dipedulikan. Dia sedang bersedih atas kehilangan orang yang paling dia sayang, maka dia tidak punya hati mahu bersembang dengan yang lain.
Mata mengerling jam tangan; sudah menghampiri pukul satu. Kakak sulungnya yang sedang menyambung pelajaran di Perak sedang dalam perjalanan ke mari. Puas dia telefon sedari tengah malam tadi untuk menyampaikan berita bahawa ibu sudah meninggal dunia tetapi hanya selepas Subuh barulah panggilannya berangkat.
Sebelum dia memberitahu bahawa jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman ibu, sempat dia memarahi kakak kerana tidak mengangkat telefon. Dia takut jikalau kakak tidak berkesempatan untuk menatap wajah ibu buat terakhir kalinya.
Kakak memberikan janji untuk sampai sebelum waktu Zohor; sekiranya dia terlewat tiba untuk memberikan penghormatan terakhir kepada ibu, maka dia redha untuk urusan pengebumian dijalankan tanapa dirinya.
"Anak sulung dia dah sampai."
Dia berdiri lalu memeluk kakak erat – erat sebaik sahaja kakak melangkah masuk ke ruang tamu dimana beradanya jenazah. Airmatanya jatuh setitis mengenai bahu kiri kakak. Pelukan dileraikan lalu dia menarik tangan kakak menuju ke arah jenazah.
Kakak membuka kain kafan yang menutupi muka ibu; ditatapnya wajah ibu untuk seketika sebelum badannya membongkok lalu bibir mencium dahi ibu perlahan tetapi lama.
Sayonara ibu, jumpa lagi di syurga
"Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah. Dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah – mudahan Allah Talla menjinakkan hati kamu yang liar. Dan menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah – mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan serta menerima segala amal kebajikan kamu."
Sebaik sahaja bacaan talkin habis dibacakan, orang ramai beransur – ansur meninggalkan tanah perkuburan. Sesekali ada tetamu menghampiri dia untuk mengucapkan takziah atas kehilangan ibu tersayang. Sebahagian besarnya pergi menemui abah untuk mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati.
Tinggallah dia bersama abah dan adik beradik yang lain di tanah perkuburan itu; masing – masing membisu sambil merenung tanah merah yang telah dipacakkan kayu berikat kain putih dan batang pokok kemuning.
Kullu nafsin dza iqotul maut; setiap yang bernafas pasti akan merasai mati.
Dia tahu, bukannya dia tak pernah belajar ataupun diberitahu tentang perkara itu. Tapi dia tidak pernah bersedia untuk menghadapi kematian ibu yang hadirnya secara tiba – tiba. Dia jadi hilang punca bila abah bagitahu ibu sudah meninggal dunia; tak boleh nak bayangkan kehidupan dia di masa akan datang selepas ibu dah tiada. Semoga Allah tidak menguji dia dengan ujian yang tidak boleh dia hadapi, amin ya rabb.
Tanah merah yang masih lembut itu disentuh dengan tangan kanan. Dia baca surah al fatihah, surah al falaq, surah an nas dan surah al ikhlas untuk dihadiahkan kepada ibu. Semoga ibu ditempatkan dalam golongan orang yang beriman; semoga kita semua dipertemukan sebagai sebuah keluarga sekali lagi di syurga nanti.
TAMAT
YOU ARE READING
Sayonara
Short StorySayonara; selamat tinggal. Mampukah dia menerima pemergian ibu dengan hati yang lapang dan mengucapkan selamat jalan?