Untitled Part 1

5 0 0
                                    

Prolog: Kenangan Lalu

Malam aku hanya ditemani bunyi rintik hujan yang rancak dan hangat menari di luar rumah. Mungkin mahu menemani aku agar tidak sepi dan sunyi. Kepalaku terletak kemas di atas bantal kepala yang empuk, penemanku di kala aku keletihan. Dingin sekali malam ini. Sedingin perasaan di dalam hatiku. Sudah jam dua pagi. Tubuhku begitu letih. Aku cuba melelapkan mata namun terasa mata ini terasa segar walaupun akal sudah memberat.

"Ish, kenapa susah betul hendak tidur? Baik aku sambung tulis cerpen aku yang tak siap-siap ni."

Aku bingkas bangun daripada pembaringan. Sepasang kaca mata berbingkai hitam yang terletak di tepi meja kecil aku capai. Aku letak kemas kaca mata itu di mukaku. Aku bergerak menuju ke suis lampu bilik. Bilik yang gelap mula terang-benderang disimbahi cahaya lampu kalimantang. Automatik aku mengecilkan mata. Pupil mataku hebat bekerja mengadaptasi kuantiti cahaya yang masuk ke dalam mataku.

"Aduh, sejuk betul malam ni." Badanku menggigil.

Aku merungut sambil almari baju dibuka. Sweater hitam belang kuning UNiSEL kegemaran aku disarung ke tubuh. Tiba-tiba mata aku terpaku pada sebuah kotak yang berwarna hijau. Kotak hijau yang penuh dengan kenangan lalu. Kedua tanganku mengangkat kotak itu dan aku letak di atas katil. Dengan perlahan, penutup kotak itu aku buka.

Satu nafas berat aku helakan apabila aku melihat isi yang terkandung dalam kotak itu. Surat, kad ucapan pemberian seseorang yang pernah aku cintai dahulu. Diari aku yang penuh dengan catatan bersama dia juga terletak rapi di dalam kotak itu. Segala kenangan yang tersimpul rapi bersama surat dan kad itu mula menari di hadapan mataku. Aku rasakan masa terhenti seketika.

Sampul pertama kubuka. Surat kutarik keluar. Aku tersengih sendirian apabila aku baca ayat pertama dalam surat itu. Kelakar bila teringatkan ketika kali pertama aku berkenalan dengan dia. Habis surat pertama kubaca, surat kedua pula aku ambil. Sepanjang malam aku habiskan dengan membaca surat dan diari yang penuh dengan momen indah suatu ketika dahulu.

Aku mula hanyut dalam lautan memori.

........................................................

Satu: Menanti Hari Bahagia.

Telekung putih bersih itu disarung rapi. Stokin kaki berwarna hitang disarung kemas ke kaki. Setelah berpuas hati melihat diri di cermin, aku menguak pintu jendela bilik. Udara pagi dihirup. Pagi Ahad yang indah disinari cahaya mentari pagi sememangnya mendamaikan hati sesiapa sahaja. Aku menanti ibu dan ayah bersiap ke surau untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di dalam bilik tidurku. Aku memandang bahagia langit membiru ceria. Hatiku girang kerana dalam masa beberapa bulan sahaja lagi aku akan menjadi isteri kepada lelaki yang aku kasihi, Mohd Zamri. Senyuman semakin melebar bila aku teringat momen indah dalam hidupku ketika Zamri datang ke rumah untuk menyuarakan hasrat untuk menyunting diriku menjadi isterinya semasa cuti persekolahan yang lalu.

"Pak cik, mak cik. Saya serius dengan Marsya. Saya ingin meminta kebenaran pak cik dan mak cik untuk berkahwin dengan Marsya." Kata Zamri dalam nada yang tegas dan yakin.

Aku tertawa kecil apabila teringat riak muka Zamri ketika itu. Bahagia. Itu sahaja yang mampu aku katakan. Aku berkira-kira hendak menelefon Zamri setelah pulang dari surau.

"Marsya sudah siapkah?" Lamunanku terjeda apabila ibu memanggil dari ruang tamu.

"Sudah, sebentar ibu." Aku mengambil kain telekung dan dimasukkan ke dalam beg yang berwarna coklat pemberian Zamri ketika hari jadiku setahun yang lalu.

Surau Al-Ikhwan masih lengang lagi dengan kehadiran para jemaah. Aku, ibu dan adik perempuannya masuk ke dalam surau dan menuju ke bahagian wanita. Aku bersalaman dengan jemaah wanita yang sudah tiba lebih awal. Seperti biasa aku pasti mengambil tempat di saf paling hadapan. Imam surau dan jemaah lelaki rancak mengalunkan takbir dengan merdu sekali.

Cinta PalsuWhere stories live. Discover now