HANA ralit memerhati segenap wajah lelaki yang sedang tidur dengan lena di katilnya. Sesekali kedengaran dengkuran halus lelaki itu. Namun itu tidak membuatkan Hana berhenti daripada menatap wajah tampan lelaki itu. Di kepala lelaki itu terdapat balutan berwarna putih dengan sedikit tompokan cecair merah. Sudah hampir seminggu lelaki itu berada di rumahnya. Dah sudah seminggu jugalah dia menjaga lelaki asing itu. Hana mengeluh perlahan.
"Tolong... Tolong... Selamatkan... Saya..." Seorang lelaki sedang bersandar di pintu rumahnya sambil mengerang kesakitan. Badannya pula berlumuran dengan darah.
Hana segera mendekati lelaki itu tanpa teragak-agak. Di fikirannya, dia hanya memikirkan nyawa lelaki itu memandangkan yang dia seorang doktor. Jadi, nak tak nak dia harus cuba menyelamatkan lelaki asing itu.
"Tolong... Selamatkan... Saya..." Lelaki itu bersuara lagi.
Perlahan-lahan Hana memapah lelaki itu masuk ke dalam rumahnya dan membaringkannya di atas sofa. Dia berlalu ke dapur dan mencapai peti kecemasan yang berada di almari tepi peti sejuk. Tanpa membuang masa, dia segera merawat luka-luka di badan lelaki itu. Setelah itu dia memberikan lelaki itu ubat tidur.
"HANA, sampai bila kau nak jaga lelaki tu? Kau tahu bukan yang lelaki tu bakal meninggalkan kau setelah dia sembuh nanti?" Sulli mengelus lembut tangan Hana.
Hana mengeluh perlahan. "Ya, aku tahu tu. Tapi... Biarlah waktu yang menentukan segalanya."
Sulli tersenyum. "Jangan terlalu cinta, Hana. Nanti kau sakit. Dan jangan terlalu berharap, Hana. Nanti kau terluka." Sulli mengingatkan Hana sebelum memeluknya kuat. Cuba menyalurkan semangat pada Hana.
"HANA-SSI, saya akan balik ke rumah saya hari ni. Kawan-kawan saya akan mengambil saya tengah hari nanti. Terima kasih untuk segalanya." Ucap lelaki itu sebelum dia berlalu ke bilik yang didiaminya dua minggu yang lalu.
Hana tersentak. Nampaknya waktu yang ditunggu-tunggu olehnya sudah datang. Be strong, Hana ! Hatinya menyalurkan kekuatan.
SEPERTI yang dijanjikan, 7 orang kawan Baekhyun datang ke rumahnya tengah hari itu untuk mengambil Baekhyun pulang ke rumah mereka semula. Hana hanya diam sepanjang proses perpindahan itu berlaku. Meskipun pada awalnya Baekhyun datang kepadanya sehelai sepinggang, namun kini Baekhyun pulang bersama-sama dengan beberapa bagasi yang mengandungi bajunya yang dibeli oleh Hana.
"Hana-ssi, terima kasih kerana menjaga Baekhyun dengan baik. Dan terima kasih juga kerana telah selamatkan nyawa dia." Suho berkata sambil tersenyum manis. Jelas di wajahnya yang dia berasa lega yang Baekhyun selamat.
"Sama-sama. Lagipun, saya tak ada buat apa-apa pun. Saya hanya menjalankan tugas saya sebagai doktor." Hana 'menampalkan' senyuman plastik di bibirnya.
Kawan-kawan Baekhyun yang lain turut mengucapkan terima kasih kepadanya sebelum mereka bertolak pergi.
Lutut Hana menjadi lemah tatkala van yang dinaiki oleh Baekhyun hilang dari pandangannya. Dia terjelepok jatuh ke tanah. Perlahan-lahan air mata jatuh tanpa dipinta. Dia memegang dadanya di sebelah kanan. Terasa sakit di situ. Kesakitan dan kekosongan yang dia rasai sebelum ini kembali menerjah semula.
Sakitnya ! Ya, kesakitan itu datang lagi buat kali kedua.
"Maafkan saya, Hana. Saya tak boleh bersama dengan awak lagi. Saya dah jumpa dengan perempuan lain." Senang sekali lelaki itu menuturkan ayat itu dengan sekali nafas.
Hana tersentak. Namun, segera dia mengawal riak wajahnya. Dia tahu semua ini bakal berlaku akhirnya. Dan dia sudah bersedia untuk itu. Hana menghampiri lelaki itu sambil mengukirkan satu senyuman paling manis.
"Tak apa. Saya maafkan awak." Hana berkata sebelum mengelus pipi lelaki itu buat kali terakhir. "Pergilah, Sehun. Pergilah cari kebahagian yang awak cari selama ni. Saya tak akan menghalang." Sambungnya lagi. Dia tersenyum pahit.
Sehun memandangnya sedikit pelik. Pelik dengan ketabahan dan kekuatan Hana menghadapi situasi ini dengan tenang. Perlahan-lahan Sehun mengukirkan senyuman buat kali terakhir sebelum melangkah pergi meninggalkan Hana sendirian.
Satu... Dua... Tiga... Hana mengira dalam hatinya. Dia berharap Sehun akan menoleh ke belakang buat kali terakhir namun dia hampa. Sehun berjalan pergi tanpa menoleh sedikit pun ke belakang.