KEESOKAN paginya, sekali lagi Darin terkejut apabila Najwa menunjukkan artikel terbaru padanya. Amri yang baru saja tiba di pejabat kala itu, tidak terus menyertai mereka. Hakikatnya, dia merasa bersalah kerana dia tahu artikel itu mengenai apa. Tidak sanggup melihat Darin begitu, Amri terus beredar dengan kameranya bagi sebuah tugasan luar.
"Identiti Gadis Misteri Bersama Usahawan Muda Didedahkan." Darin membaca kuat tajuk artikel itu dengan perasaan berdebar.
'Gadis yang ditemui bersama-sama usahawan muda dari UK, Tengku Fakhri Tengku Adnan akhirnya disahkan identitinya sebagai seorang wartawan majalah hiburan tempatan. Pasangan itu belum dapat dihubungi bagi mendapatkan pengesahan mengenai hubungan mereka, manakala Tengku Fakhri masih lagi mengelak daripada menjawab sebarang persoalan. Pasangan ini dilihat intim beberapa minggu yang lepas dan dikatakan sedang merancang perkahwinan mereka dalam masa terdekat. Mereka juga dilihat intim di sebuah hotel di Genting, menurut sumber di situ. Usahawan muda ini juga tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana wanita, di dalam mahupun luar negara.'
Hampir mahu pengsan Darin membaca bait-bait yang tertulis itu walaupun cuma membaca di dalam hati.
Macam mana... Fakhri kata dia akan selesaikan! Apa sudah jadi ni?
Darin memegang kepalanya yang terasa pusing. Matilah. Matilah aku. Siapa punya angkara ni? Siapa?
Saat itu juga, telefon di meja Najwa berdering kuat. Feeza yang baru saja melangkah masuk ke dalam pejabat menghampiri mereka dengan penuh tanda tanya.
"Apasal pulak ni?" soalnya pada Najwa, tetapi tidak diendahkan apabila Najwa terus mencapai gagang telefon sambil memberi isyarat menunggu padanya.
"Helo... Majalah Elegan, boleh saya bantu?"
Darin sudah mahu membuka langkah kaki, apabila Najwa tiba-tiba memegang tangannya, menghalangnya dari berlalu. Mereka bertukar pandangan hairan, sementara wajah Najwa sudah keruh.
"Cik Darin? Maaf. Dia tak masuk kerja lagi. Ya, baik. Saya akan sampaikan. Terima kasih." Najwa meletakkan gagang dengan riak cemas.
"Diorang dah tau kau siapa!"
Darin terkedu, tidak menyedarinya mulutnya sudah ternganga luas. Feeza yang semakin hairan bertanya lagi kepada Najwa.
"Apa hal ni?" Najwa memandang Darin dan Feeza bersilih ganti. Dia benar-benar bersimpati dengan Darin.
"Ada orang bocorkan fasal Darin. Sekarang diorang dah tahu, siapa perempuan dalam gambar tu," beritahu Najwa pada Feeza, yang kemudiannya terus mendesis.
"Lah, aku ingatkan berita apalah. Memanglah lambat-laun orang akan tahu. Maklumlah, wartawan cabuk berkepit dengan usahawan dan jutawan muda."
Perlian Feeza tidak berapa didengari Darin yang sudah tenggelam dalam dunianya sendiri. Najwa memukul tangan Feeza lembut, tanda tidak bersetuju dengan kata-katanya. Feeza tidak mengendahkan Najwa, sebaliknya dia membuka langkah ke mejanya, mengambil barang-barangnya.
"Aku nak keluar. Nak dapatkan real scoop. Bukan macam orang tu, bercuti berhari-hari, kerja tak buat, entah ke mana dia pergi, sekali balik, opps, dapat skandal. Kelas gitu."
Sekali lagi Feeza memerlinya betul-betul ke wajahnya yang masih tercangak di depan meja Najwa. Sebaik saja Feeza berlalu, Najwa baru saja berdiri mahu menenangkan Darin apabila telefon mejanya tiba-tiba berdering kuat.
"Jangan angkat!"
Jeritan Darin bergema membuatkan Najwa tersentak. Gerakan Darin dan Najwa turut terhenti, bagaikan tayangan yang sedang dipause pula.
YOU ARE READING
Aku Bulan Dia Bintang
RomanceDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...