"Abang, cepat salam! Wusqa dah lambat ni. Isyraf, cepat.." Laung perempuan itu sambil dia membuka almari kasut. Sepasang kasut bertutup penuh dengan tumit setinggi dua inci dibawa keluar. Pantas kaki panjang itu menyarungnya.
"Datang ni.." Wajah putih bersih itu muncul dengan gelengan kepala. Nada suaranya hanya mendatar. Si anak juga hanya memandang mamanya yang agak sedikit kelam kabut.
"Hurm, sorry. Wusqa tak teman abang dengan Isyraf bersarapan. Wusqa kena sampai awal hari ni. Meeting start 8.30 pagi. Sudahlah tempatnya jauh.."
"Tak apa. Abang faham. Drive elok-elok. Jangan kelam-kabut."
"Sorry tau. Terima kasih tolong hantar Isyraf hari ni."
"Hei.. Cakap apa ni? Anak kita tanggungjawab kita bersama. Honey tak sempat hantar, abanglah yang hantar. No need to say thank you okay." Pipi wanita kesayangannya dicubit sedikit. Pantas Wusqa menepis perlahan.
"Hish, hilang sebelah blusher ni karang!"
Ilham Fahmi tertawa kecil. Dia memang suka merosakkan tatarias di wajah sang isteri. Meskipun solekan Wusqa hanya nipis tidak menonjol, ia tetap membuatkan hati Fahmi kurang enak.
Fitrah seorang suami yang bimbangkan isterinya dipandang oleh orang lain!
Tangan Fahmi dicapai, lalu dikucup penuh hormat. Kemudian bibir yang dicalit dengan gincu berwarna merah jambu itu mendarat di kedua belah pipi Fahmi. Selepas itu di dahi pula sebelum berakhir di bibir Fahmi. Namun hanya sekadar kucupan kilat.
Fahmi membalas setiap apa yang sang isteri lakukan di wajahnya. Tiada satu pun yang terkecuali. Selesai memberi dan menerima ciuman dari suami, Wusqa membongkok sebentar. Wajah Isyraf dicari. Sang anak juga menerima habuan yang sama seperti papanya. Isyraf turut membalas.
Sudah menjadi rutin wajib bagi keluarga kecil itu. Mereka akan saling bersalaman, berpelukan serta berkucupan sebelum mereka membawa haluan masing-masing.
"Bye, sayang. I love you."
"I love you too, ma."
"I love you abang!"
"I love you too. Take care!"
Perempuan itu melambai dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Namun langkah dipercepatkan. Setelah dirinya bolos ke dalam perut kereta, sekali lagi dia melambaikan tangan. Sejurus kemudian kereta Wusqa menghilang dari situ.
Sambil memandu Fahmi berbual-bual dengan Isyraf. Dia jarang menghantar anaknya ke sekolah. Selalunya memang Wusqa yang melakukannya memandangkan si isteri sama laluan dengan sekolah si anak.
Namun jarang bukan bermaksud tidak pernah langsung, ada. Cuma tidak kerap saja.
"Duit sekolah tadi ambil tak?" Fahmi menoleh sekilas.
Dahi Isyraf berkerut. Dia sentuh saku baju yang terletak di dada kirinya. Tiada. Isyraf seluk pula poket seluar. Di kiri dan kanan juga tiada.
"Papa.. Tak ada la.."
"Hurm, tertinggal la tu agaknya. Tak apa nanti sampai sekolah papa bagi yang lain aje." Ujar Fahmi tenang.
"Fuh, lega Raf! Kalau mama ni.. Memang sepanjang jalan ni dia berleter."
"What? Raf mengata mama? No..no.. Jangan macam ni. Papa tak suka. Kalau mama berleter pun sebab salah Raf. Sedangkan tadi papa dah ingatkan Raf duit sekolah atas meja." Sesekali Fahmi mengerling ke arah si anak.
Dia tidak sangka dengan apa yang meluncur dari mulut sang anak. Sungguh, dia tidak jangka!
"Sorry, papa." Kepala Isyraf menunduk sedikit. Suaranya juga mendatar.
"Jangan buat lagi. Papa tak suka dengar. Faham?"
"Yes."Balas Isyraf perlahan.
Sudah sebelas tahun dia melayari bahtera perkahwinan bersama dengan Wusqa. Perkenalan dan percintaan mereka bermula dari zaman belajar lagi. Keseluruhannya Fahmi sudah mengenali Urwatul Wusqa selama 15 belas tahun. Belum sekali dia mahu bersungut dengan bebelan sang isteri.
Wusqa bukan seorang perempuan yang akan meleteri suami tanpa sebab. Jika tidak Fahmi yang melakukan kesilapan. Apatah lagi untuk perkara remeh-temeh. Jauh sekali!
"Mama tu tinggi darjatnya, Raf. Awak kecil lagi. Belum faham sangat, tapi papa tahu dekat sekolah ada belajar tentang adab kan?" Soal Fahmi.
"Pengorbanan dia bertarung nyawa untuk melahirkan awak tak boleh dibayar tau. Walaupun nanti awak bergaji besar, awak tetap tak boleh bayar pengorbanan mama. Takkan sama dan takkan bernilai dengan duit awak. So, papa tak mahu dengar lagi Raf cakap macam tu atau tak patuh dengan cakap mama. Faham?"
"Ya. Nanti petang Raf minta maaf dengan mama."
"Good boy! That's my son. Papa tak minta apa pun dari Raf, papa hanya mahu Isyraf jadi anak yang soleh buat mama dan papa. Sebab hanya amalan anak yang soleh saja akan membantu papa dan mama apabila kami mati nanti."
Tiba-tiba Isyraf menangis teresak-esak. Fahmi terkejut. Terus dia memberi signal dan memberhentikan keretanya di bahu jalan yang sedikit lapang.
"Eh, kenapa ni? Kenapa Raf menangis?" tali pinggang keledar terus dilucut. Fahmi memusingkan badannya, bahu si anak ditarik.
Makin kuat pula tangisan si Isyraf.
"Raf, cakap dengan papa. Kenapa Raf menangis?"
"Kalau papa dengan mama mati, Raf macam mana? Siapa nak jaga Raf?"
Fahmi tersenyum.
"La.. itu rupanya. Papa cakap aje la. Tapi Allah Maha Tahu, Raf. Hidup dan mati tu ketentuan dari-Nya. Dah, kesat air mata. Dah lambat ni."
Lekas-lekas Fahmi menyambung perjalanan. Bimbang si anak tidak dapat masuk ke kelas gara-gara pintu pagar sudah ditutup!
YOU ARE READING
Mihrab Cinta
RomanceWusqa, wanita yang diuji Tuhan kehilangan sang suami saat sedang berbadan dua. Langitnya yang membiru bertukar hitam semerta. Hidupnya menjadi gelap, teraba-raba dia bersama Isyraf di siang hari. Iyyaz, Lelaki yang siang dan malamnya menghadap tubu...