Bibirnya ringan melantunkan senandung ceria tanpa dia sedari. Namun, senandungnya mati mendadak apabila terasa lengannya disenggol seseorang. Dia lantas menoleh bersama kerutan di dahi.
"Apa?" soal Zuha.
"Senang hati nampak?"
"Mestilah! Aku tak sabar nak pergi pesta konvo tu dengan kau," balas Zuha seraya memeluk lengan Hawa.
Hawa lantas menjuihkan bibir sebelum mengukirkan senyuman kecil. Dia juga senang hati dapat penuhi permintaan Zuha. Sudah beberapa kali Zuha mengajaknya berkunjung ke pesta konvo namun baru kali ini dia menerima ajakan tersebut.
Sebetulnya, Hawa bukanlah seorang yang gemar berada di tempat sesak seperti itu. Tapi dia tidak sampai hati untuk menolak permintaan Zuha. Tambahan pula, gadis itu tidak pernah berkira dengannya. Jadi kali ini dia hendak membalas budi sahabatnya itu.
"Kenapalah lif ni lembab sangat?" rungut Zuha seraya memuncungkan bibir.
"Sabarlah. Lif ni kan dah uzur."
Ting.
Tiba-tiba pintu lif terbuka. Tersengih-sengih Zuha seraya melangkah masuk ke dalam lif. Rasa malu pula dengan sikap kurang sabarnya sebentar tadi.
"Lif ni lambat sangat. Aku malas nak tunggu lama," rungut Zuha sambil mengusap lembut tengkuknya.
Rungutan Zuha tak semena-mena mencuit hati Hawa. Tak habis lagi rupanya."Tapi sekurang-kurangnya tak sesak. Kalau tak, lagi lambat jadinya."
Baru beberapa saat lif itu bergerak, tiba-tiba berlaku hentakan kecil menyebabkan lif itu berhenti mendadak. Lampu utama terpadam seketika sebelum lampu kecemasan mula menemani mereka.
"Kenapa pula lif ni?"
Zuha mula panik. Butang kecemasan ditekan bagi mendapatkan bantuan pihak keselamatan. Tapi sayangnya tiada satu pun respons yang diterima.
"Aku rasa lif ni dah rosak..."
"Zu…zuha..."
Mata bundar itu hampir terbelalak sewaktu dia berpaling ke arah Hawa. Gadis itu sedang bersandar lemah sambil memegang bahagian dada. Peluh-peluh dingin mula kelihatan. Bibir Hawa sudah berubah pucat membuatkan Zuha semakin gelisah.
Dia segera menekan semula butang kecemasan bertubi-tubi. Mujurlah kali ini ada balasan daripada pihak keselamatan.
"Tolong panggilkan ambulans! Kawan saya dah mula sesak nafas!"
Zuha sudah mula meraung tatkala melihat keadaan Hawa yang semakin lemah. Air mata lebat bercucuran sewaktu dia memangku tubuh gadis itu.
"Hawa... kau kena kuat. Jangan tinggalkan aku!"
"HAWA!"
Sepasang mata itu terbuka luas. Peluh yang memenuhi ruang dahi dibiarkan mengalir sehingga ke pelipis. Buru-buru Zuha turun dari katil lalu menuju ke bilik sebelah. Tombol pintu bilik itu dipulas kasar. Zuha lantas menjengulkan kepala ke dalam bilik tersebut dari muka pintu.
"Nasib baik."
Nafas lega dilepaskan sebaik sahaja melihat susuk tubuh itu sedang lena diulit mimpi. Zuha sempat mengerling jam di dinding.
Baru pukul 2.00 pagi rupanya.
Dengan langkah gontai dia terus labuhkan duduk di birai katil. Kedua tangan mula meraup wajah sebelum sebuah keluhan berat dilepaskan. Sehingga kini mimpi buruk itu masih lagi menghantuinya meskipun sudah lima tahun kejadian itu berlalu.
"Zuha? Kenapa ni? Mimpi buruk lagi ke?" soal Hawa tiba-tiba dalam keadaan mamai.
Zuha sekadar mengangguk lemah.
"Mari sini tidur sebelah aku."
Tanpa berlengah lagi, Zuha terus baring lalu mengiring menghadap Hawa. Sebuah nafas turut dihembus panjang.
"Hawa, macam mana aku nak lupakan mimpi buruk tu?"
Hawa terdiam sebelum mula mengukirkan senyuman kecil. Tangan naik mengelus lembut kepala Zuha seketika menyebabkan gadis itu mula merasakan kelopak matanya semakin memberat.
"Insya-Allah, suatu hari nanti kau akan jumpa caranya. Dahlah, jom tidur. Jangan lupa baca doa. Esok tak pasal-pasal kita berdua bangun lambat pula."
Sekali lagi keluhan panjang dilepaskan. Sejujurnya Zuha sudah lelah. Entah bila dia boleh bebas daripada mimpi buruk itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
HER BEAUTIFUL COMFORT (TERBIT) | PBAKL 2025
RomanceStatus: complete (Previous title: Her Beautiful Consolation) Zuha Mahfuzah x Zuhayr Muqri [Karya ketiga dari snowdreamm] Blurb: Di sebalik senyuman Zuha, tersembunyi luka lama yang masih berdarah. Hidupnya tenang namun seakan sepi, di mana sepi itu...