"Herra, will you marry me?"
"Yes, Sean. Yes. I do!"
Herra tersengih-sengih di depan cermin apabila cuba menggayakan bahasa tubuh dan mengajuk cara percakapan Sean, kekasih hatinya.
Senyumannya mekar bak kuntuman bunga kembang pagi. Pipinya pula mula berona merah. Laju sahaja tangannya mencapai berus solekan lantas menggosok-gosok pipinya yang sedia merah.
Lagu Can't Take My Eyes Off You dendangan Frank Sinatra bergema rancak ke sekitar bilik tidurnya saat satu jarum dirapatkan ke dada sekeping piring hitam.
Herra bernyanyi girang. Membawa langkah ke sana ke mari mengikut rentak lagu. Tempo langkahnya sama seperti hatinya yang sedang berdendang bahasa cinta. Asyik!
Restoran Gala, Menara Kayangan.
Jam 8 malam.
2 Julai.
Sudah berjuta kali Herra hafal tempat, waktu dan tarikh. Malah, berjuta kali juga dia rasa macam nak menjerit melepaskan seluruh rasa-rasa yang terbuku di hati.
Sekuntum bunga ros merah yang masih segar dicapainya. Pagi tadi, Mak Cik Rossa yang hadiahkan kepadanya. Perempuan tua itu memang ada kebun bunga di belakang rumahnya. Setiap pagi, dia akan duduk dan bercakap-cakap dengan semua tanaman. Gamaknya, disebabkan perbuatannya itu yang sering menyantuni tanaman sendiri membuatkan hasilnya sangat elok.
Herra sedut haruman bunga ros. Tanpa teragak-agak, dia cabut satu kelopak bunga ros tersebut dan campak ke lantai.
"Dia nak lamar aku." Herra menggumam.
"Dia tak lamar aku." satu lagi kelopak bunga ros dicabut dan dicampak ke bawah.
"Dia nak lamar aku." perbuatan itu diulang-ulang oleh Herra sehingga bunga ros hanya tinggal tangkai saja.
"Yes, dia nak lamar aku! Oh, Sean." Herra tersengih-sengih macam baru lepas menang pertandingan ratu cantik.
Malam nanti, adalah malam pertemuannya dengan Sean. Kekasih hatinya yang sudah menjalin cinta bersamanya selama 33 hari, 5 jam, 40 saat.
Dia yakin lelaki itu akan melamarnya menjadi isteri. Hubungan mereka, walaupun masih mentah... masih tetap buat Herra yakin lelaki itulah yang akan mendampinginya seumur hidup. Ah, indahnya dunia seperti berada dalam kisah dongeng.
"Herra!" senyuman Herra termati saat mendengar ketukan kuat di pintu biliknya.
"Ya?"
"Dah siap ke belum?" muncul Durrani, teman serumah Herra. Sejak minggu lepas lagi dia dengar perkhabaran daripada Herra tentang janji temu yang bakal Herra pergi. Sepanjang minggu tak kering lubang telinganya kerana mendengar cerita tentang Sean dari mulut Herra.
"Aku tak tahu nak pakai baju yang mana satu." Herra menunjuk ke tengah katil. Ada sepuluh helai dress pelbagai warna dan design. Durrani garu kepala.
Fuh! Susah juga nak pergi janji temu. Ada baju, tapi tak tahu nak pilih yang mana satu.
"Tolong aku, Durra." Herra meletak tangan di bawah dagu sambil mengelip-ngelipkan mata depan Durrani.
"Untuk gadis secantik kau, dress merah hati ni sangat sesuai. Untung la Sean dapat bakal isteri macam kau." Durrani mencapai sehelai dress labuh berwarna merah hati. Kata orang, warna merah itu lambang kehangatan sebuah cinta. Seperti hangatnya cinta Herra dan Sean, dia yakin dress itu paling sesuai digayakan.
Pasti Sean akan terbeliak biji mata bila memandang Herra. Herra itu orangnya cantik. Berkulit putih mulus. Bermata galak bersinar terang bak bintang kejora. Sesiapa saja yang memandangnya, pasti akan jatuh hati.
YOU ARE READING
LAMARAN
RomanceJanji temu antara Herra dan Sean di Restoran Gala memberi bayangan kepada Herra bahawa Sean bakal melamarnya. Namun, makan malam penuh romantik itu bertukar menjadi suatu tragedi yang tak mungkin Herra lupakan seumur hidup. Apakah tragedi itu telah...