1

25.4K 909 15
                                    

"Zuha, tolong hantarkan pesanan ni dekat meja nombor tiga," arah Farid Aisar lalu kembali menyiapkan pesanan seterusnya.

"Baik, bos!"

Tanpa berlengah lagi, Zuha terus mengambil pesanan itu lalu menghampiri pelanggan yang sedang duduk di meja nombor tiga. Pelanggan wanita tersebut kelihatan leka berbual di telefon tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Namun belum sempat Zuha menghidang, tangan wanita itu tertepis gelas yang sedang dipegangnya. Segalanya berlaku dengan sekelip mata. Minuman tersebut tidak sempat diselamatkan lalu tertumpah ke atas wanita itu.

"Habis baju I! You tahu tak baju I ni mahal?! Kalau tak pandai buat kerja, resign!"

Jeritan nyaring wanita itu telah berjaya membuatkan semua mata mula tertumpu ke arah mereka. Wajahnya merah padma kerana terlalu marah. Pelbagai kata kesat turut dilemparkan sehingga membuatkan gadis itu terkedu.


"Saya minta maaf, cik," ujar Zuha sambil tertunduk.

Matanya mula bergenang. Padahal bukan salah dia sepenuhnya. Wanita itu yang terlalu leka berbual di telefon sehingga tidak menyedari kehadirannya di situ. Namun Zuha tahu, walau apa jua alasan yang diberikan dia tetap akan dipersalahkan.

"Ada masalah apa ni?"

Muncul Farid sebaik sahaja dia menyedari suara nyaring pelanggan itu sedang memarahi Zuha. Dia cuba untuk meredakan keadaan yang semakin tegang.

"Are you the manager?" Suara wanita itu masih jelas kedengaran marah. "How exactly do you train your staff? Benda macam ni pun dia tak boleh buat! Baju I dah kotor, siapa yang nak ganti?"

Farid mengerling wajah Zuha seketika. Dia sudah dapat mengagak apa yang telah berlaku. Namun Zuha merupakan seorang pekerja yang cekap. Jarang sekali kesalahan remeh seperti ini berlaku ketika gadis itu mengendalikan tugasnya.

Tapi Farid tahu tiada gunanya jika dia berdebat dengan pelanggan tersebut.

"Saya minta maaf, cik. Sebagai ganti rugi, kami akan menanggung segala kos cucian untuk baju cik. Minuman cik untuk hari ini juga kami akan gantikan dengan yang baru."

Bergerak-gerak rahang wanita itu sambil memikirkan sesuatu. Sudahnya dia bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh Farid. Setelah semuanya selesai, wanita itu bergegas meninggalkan kafe tersebut.

Farid pusingkan tubuh lalu berdiri di hadapan Zuha yang kelihatan lesu. Sudah pasti gadis itu berasa tertekan selepas apa yang terjadi sebentar tadi.

"Aku minta maaf, Farid."

"Tak apa, Zuha. Kau pergilah rehatkan diri. Syif kau pun dah hampir tamat. Nanti aku suruh budak lain yang kemaskan."

Liur ditelan perit. Hampir sahaja Zuha menghamburkan tangisan di tengah-tengah kafe ini. Mujurlah Farid tidak memarahinya namun kata-kata kesat pelanggan tadi masih membekas di hatinya.

"Aku minta maaf. Aku akan pastikan semua ni takkan berulang lagi."

Farid sekadar tersenyum nipis. Sudah berulang kali Zuha menuturkan kata maaf. Dia sendiri pun buntu untuk memujuk pekerjanya itu.

"Sudahlah. Kau pergi berehat. Biar aku uruskan selebihnya. Dah, tak perlu risau lagi pasal perempuan tu."

Sekali lagi Zuha mengangguk. Dengan langkah gontai dia terus berlalu ke bahagian belakang kafe untuk berehat.

HER BEAUTIFUL COMFORT (BAKAL TERBIT) | PBAKL 2025Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang