Pandangan dilontarkan ke luar kafe. Mindanya seakan kosong ketika ini. Bahkan dia langsung tidak menyedari kehadiran Ikmal yang sudah pun labuhkan duduk di hadapannya.
Ikmal hanya tersenyum sumbing. Jelas terpancar kelesuan di wajah Zuha. Nampak seperti sarat dengan masalah. Sudah tentu berkaitan dengan hal tengah hari tadi."Zuha..."
Teguran Ikmal mematikan lamunan Zuha. Serta-merta senyuman diukir buat lelaki itu. Aroma spaghetti carbonara yang telah terhidang di hadapannya menyebabkan perutnya tiba-tiba rancak berkeroncong.
"Sedapnya." Zuha mula mencapai sudu dan garpu dan terus menjamah makanan tersebut.
"Oh, ya. Terima kasih sebab sudi gantikan tempat aku untuk pagi ni. Aku minta maaf sangat sebab dah menyusahkan kau."
"Tak apa, Zuha. Kau pun dah banyak tolong aku sebelum ini. Tapi boleh aku tahu apa yang dah jadi sebenarnya? Kau ada apa-apa masalah ke?"
Laju Zuha menggeleng seraya menghabiskan kunyahannya.
"Tak ada pun, Ikmal. Cuma ada salah faham sikit. Tapi jangan risau. Semuanya dah selesai," jawab Zuha. Dia malas untuk memanjangkan cerita. Mujurlah Farid masih mahu bertolak ansur malah ada kawan yang sanggup membantunya. Itu pun sudah memadai buat Zuha.
"Baguslah kalau macam itu. Aku fikir kau sakit sebab tiba-tiba aje tak masuk syif pagi ni."
Gadis itu sekadar tayang sengih. Tak sangka pula Ikmal boleh terfikir hingga ke situ. Tapi Zuha sedar, dia tidak boleh menyalahkan Dian 100% sedangkan dia juga bersalah dalam hal ini. Dia tidak sepatutnya mudah percayakan orang lain lebih-lebih lagi hal penting seperti itu.
"Lagi satu, aku harap kau tak terlalu rapat dengan Dian. Aku bukan nak menghasut tapi semua orang tahu perangai dia macam mana. Sampai sekarang, cuma kau aje yang masih sanggup berkawan dengan dia."
Kening digaru sekilas. Bila difikirkan semula, Zuha tidaklah terlalu rapat seperti yang dikatakan oleh Ikmal. Mungkin mereka kelihatan begitu kerana Dian kerap berbual dengannya terutamanya jika mereka bekerja pada syif yang sama.
"Aku taklah rapat sangat dengan dia. Tapi tak apalah. Aku anggap kata-kata kau sebagai peringatan."
Wajah Ikmal dipandang sekilas. Meskipun Ikmal lebih muda daripadanya, Zuha tetap menghormati dan menerima teguran lelaki itu dengan baik. Sementelah, dia sudah menganggap Ikmal seperti adiknya sendiri.
"Aku dengar cerita kau ada menulis blog, betul ke?" soal Ikmal sambil menyisip sedikit iced latte miliknya.
Uhuk!
Dada Zuha terasa perit dek penangan soalan Ikmal. Buru-buru dia menyisip iced americano di hadapannya bagi mengurangkan rasa perit itu.
"Ma…mana kau tahu?"
"Dian ada cerita. Katanya seronok bila ada kawan yang sama minat dengan dia. Yalah, dia kan penulis novel juga."
Dalam diam, Zuha mengetap bibir. Hatinya kembali berkocak dengan rasa kecewa. Dia baru saja hendak melupakan apa yang berlaku tapi kini timbul pula masalah lain. Geram sungguh! Padahal Dian sudah berjanji untuk merahsiakannya.

ANDA SEDANG MEMBACA
HER BEAUTIFUL COMFORT (BAKAL TERBIT) | PBAKL 2025
RomanceStatus: complete (Previous title: Her Beautiful Consolation) Zuha Mahfuzah x Zuhayr Muqri [Karya ketiga dari snowdreamm] Blurb: Di sebalik senyuman Zuha, tersembunyi luka lama yang masih berdarah. Hidupnya tenang namun seakan sepi, di mana sepi itu...