HUD: SUAMI IRIS (Bab 1)

51 1 1
                                    

TERASA belakang kainnya dipijak, Iris berpaling ke belakang. Ketika sengihan Hud melebar, dia merengus sakit hati. Tahu, serangan Hud sudah bermula. Tak berlengah walaupun seketika. Sedangkan dia belum pun bersedia, mengatur strategi jauh sekali.

Entahlah! Mindanya masih celaru. Menderita mengenangkan dalam lapan bilion orang di dalam dunia ini, kenapa mesti Hud yang menjadi suaminya. Padahal sesaat pun dia tak mampu berhadapan dengan Hud, apalagi untuk seumur hidupnya.

Dia... rasa payah. Ada masa-masanya, goyah! Tapi Hud, tetap tak akan dibiarkan terus-terusan tersengih seperti detik ini.

"Kau ni dah kenapa?" marah Iris sakit hati.

"Apa? Aku dah buat apa sampai kau nak marah-marah ni?"

"Kau sengaja, kan pijak kain aku?"

"Aku terpijaklah. Sorry..." Mulut Hud berkata maaf tapi kaki masih melekat di atas kain panjang milik Iris. Seinci pun tak bergerak. Sengaja mahu membakar hati Iris. Kalau lagi rentung hati Iris, lagi lapang hatinya.

Janjinya, bermula hari ini Iris tak akan dibiarkan hidup tenang kerana Iris telah mengacau-bilaukan hidupnya, keluarganya.

"Kalau macam tu lepaslah!" Iris cuba menarik hujung kainnya yang masih dipijak Hud.

Namun semakin ditarik, semakin berat.

"Tariklah sendiri," suruh Hud sambil menayangkan rupa selamba.

"Hud!" Tinggi suara Iris. Sakit hatinya naik berganda.

Hud yang hanya tunduk melihat skrin telefon bimbit, mengangkat muka. Nada tinggi Iris menampar telinganya. Matanya menombak mata Iris yang mencerlang garang.

"Suara tu boleh rendahkan sikit tak? Macam nak bagi sekampung dengar aje gayanya."

"Tak boleh!" jawab Iris pantas.

"Tak malu kalau orang kat luar dengar suara kau yang tak berapa nak sedap tu?"

"Lantaklah, aku tak peduli! Kalau orang tanya, aku kata kau yang cari fasal dengan aku," ugut Iris dengan muka berona merah.

Dia masih berusaha menarik hujung kainnya. Tetap juga gagal. Hud nampak bersungguh-sungguh benar hendak menyusahkan hidupnya.

Padahal ketika ini dia sudah cukup letih. Sejak mengenangkan dia dan Hud akan ada ikatan, bakal tinggal sebumbung, sebilik, sebantal, hidupnya tak pernah tenang. Tidurnya asyik terganggu. Malah ada masa-masanya, dia langsung tak dapat melelapkan mata kerana hatinya di dalam merusuh tak menentu. Tak mahu memiliki dan dimiliki Hud.

Hendak lari dari rumah, dia sudah cukup dewasa. Hendak membantah keras-keras, lain pula jadinya nanti.

"Kau memang jenis degil, kan?"

"Kalau kau tak sejenis degil macam aku, lepaskan kain aku."

"Kalau aku tak nak?" Hud cuba mencabar Iris.

"Aku jerit!" Iris balas cabaran Hud dengan cabaran juga.

"Ingat aku takut?" Hud tak mahu mengalah. Dia suami, dia tak boleh kalah di tangan Iris.

"Ingat aku tak berani?"

Raut Iris yang semakin merah kerana menahan marah, Hud renung dalam. Iris hari ni berbeza dengan Iris yang dia kenal 10 tahun dulu. Iris yang itu, tak pernah berani menatap matanya. Iris yang ini selamba sahaja menjegilkan mata padanya.

Iris yang itu sentiasa nampak selekeh dengan tudung putih sekolah yang senget. Iris yang ini kemas dengan tudung terletak elok di kepala.

Iris yang itu bila melangkah seperti terketar-ketar ketakutan. Iris yang ini langkahnya penuh gaya dan pesona.

Pesona?
Tersedar dia sedang memuji Iris, Hud mengetuk kepala sendiri. Yakin sesaat tadi, dia kehilangan akal yang waras.

"Hud!" Tinggi lagi suara Iris.

"Kau kalau tak menjerit tak boleh ke?"

Panjang keluhan Iris. Baju yang agak sendat membalut tubuh merimaskannya. Dia mahu mandi, dia mahu rehat, dia mahu tidur dan dia mahu lupa segala-galanya untuk seketika.

Jalan untuk mengelak daripada Hud memang sudah tertutup rapat. Kini, dia isteri Hud dan Hud, suaminya. Mahu atau tak, dia perlu terus mengorak langkah ke hadapan.

Gagal atau berjaya, pun dia malas memikirkannya buat masa ini. Dia sendiri tak pasti, mana satu ukuran kegagalan dan kejayaan untuknya. Terus di sisi Hud atau pergi daripada hidup Hud. Entah, dia letih!

"Dah dululah Hud, aku letihlah."

"Letih kenapa?"

"Malaslah aku nak cakap dengan kau ni," balas Iris dalam nada suara yang sedikit lemah. Sejujurnya, tenaganya sudah habis hendak terus berbalas kata dengan Hud. Lalu, perlahan-lahan dia tunduk. Namun belum pun sempat dia menyentuh kasut Hud, Hud pantas bergerak ke sisi kiri.

"Kau cuba buat apa ni Iris?" Hud beriak tegang dengan nada sedikit keras. Terkejut dengan tindakan Iris yang tak diduga.

Pantas Iris berdiri, namun kerana terburu-buru, gerakkannya tersasar sedikit. Mujur lengannya pantas dipaut Hud, lantas dipegang erat. Jika tak, tentu dahinya selamat mencium lantai.

"Kau ni kenapa Iris?"

"Aku letihlah Hud," ulang Iris sekali lagi. Lemah nada suaranya.

"Takkanlah letih sampai nak jatuh?"

"Kepala aku sakit."

"Apa?"

"Aku ngantuk nak tidur."

"Nak tidur?"

"Perut aku berbunyi, aku lapar."

Melihat kerut di muka Iris, dahi Hud ikut berkerut. Tak mengerti mana satu yang menjadi masalah terbesar Iris ketika ini. Letih? Ngantuk? Lapar? Tapi bila melihat keadaan Iris yang sedang memejamkan mata rapat-rapat walaupun dalam keadaan berdiri, dia merasakan ketiga-tiganya sama besar.

Tapi soalnya, Iris hendak melakukan mana dulu?

"Aku nak ayam goreng McD." Itu yang terpacul di mulut Iris.

"Kenapa kau nak makan benda alah tu masa-masa macam ni?"

"Aku macam dah lama sangat tak makan ayam goreng McD. Aku rasa aku rindu," balas Iris. Matanya dibuka seketika sebelum dipejamkan kembali.

Untuk jawapan Iris yang tak diduga itu, Hud terasa seperti hendak mengetuk kepala Iris kuat-kuat, biar lebam biru. Tak faham, macam mana Iris boleh rindukan McD sedangkan mata Iris tertutup rapat. Jelas sangat yang mata Iris lebih perlu diambil perhatian dibandingkan perut.

"Lebih baik kau pergi tidurlah. Dah teruk sangat kau ni aku tengok."

Tangan Iris yang masih dipegang, dilepaskan. Kemudian dia menolak belakang badan Iris. Yang mana satu Iris hendak buat dulu, dia tak peduli kerana bukan urusannya. Dia pun hendak membersihkan dirinya. Rimas dengan baju Melayu putih yang masih membalut tubuh. Walaupun kain yang dipilih mamanya selembut sutera, tetap juga dia rasa tak selesa.

"Aku nak makan dululah."

Iris buka mata yang masih berat. Dia memandang tepat ke arah katil yang seperti memanggil-manggil. Ikutkan matanya lebih perlu dibelai dibandingkan perut, tapi mengenangkan Hud juga ada di dalam bilik yang sama, dia akan bertahan.

"Tapi aku nampak kau macam dah tak boleh buka mata dah tu."

"Tak apa aku boleh tahan lagi."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 05, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

HUD: SUAMI IRISWhere stories live. Discover now