‧₊˚🖇️✩ : 34

551 64 3
                                    

"FALIA, tolong opah boleh tak?" Hajah Rahayu bersuara sebaik sahaja terlihat cucu perempuannya yang baru sahaja selesai mandi. Menggeleng kepala dia lihat perangai gadis itu sepanjang berada di rumahnya. Punyalah liat nak bangun pagi, sampaikan dah naik berbuih mulutnya mengejut gadis itu berkali-kali.

Jam pun sudah menunjukkan pukul 10.50 pagi. Matahari pun dah mula terpacak naik. Kalau dekat rumah ni, agak-agaknya pukul berapalah gadis itu bangun?

Falia, Falia. Apa nak jadi ni?

"Tolong apa, opah?" tanya Falia lantas mendekati tubuh wanita tua itu. Nasib baik dia sudah selesai mandi terlebih dahulu.

"Tolong opah ambilkan daun kesum dengan daun selom dekat belakang rumah boleh? Oh, ambilkan sekali bunga kantan. Opah nak masak asam pedas ikan pari dengan kerabu daun selom hari ni." Hajah Rahayu memberi arahan.

Kelu lidah Falia tatkala mendengar arahan tersebut.

Daun apa?

Ya Tuhan, manalah dia reti bab-bab daun ni. Setakat sayur-sayuran yang memang dikenali ramai dia tahulah. Kalau dah masuk daun-daun serta ulam-ulaman memang dah lari daripada kepakarannya.

Melihatkan cucunya yang tidak memberi sebarang respon, Hajah Rahayu kembali bersuara.

"Boleh tolong ke tak ni? Ke tak tahu macam mana rupa daun kesum dengan daun selom?" Hajah Rahayu menduga. Tengok wajah cucu perempuannya yang pucat lesi itu pun dia sudah boleh agak. Haih, orang perempuan zaman sekarang ni memang tak masuk ke dapur dah ke?

Falia mula menyeringai.

"Bukan tak tahu, opah. Cuma jarang masak guna daun tu. Itu yang tak reti sangat," jawab Falia, terpaksa berbohong demi kesenangan hati wanita itu. Kalaulah opah tahu yang dia memang tak berapa pakar dan malas memasak di rumah, pasti telinganya terpaksa menghadap leteran wanita itu 24 jam.

"Tak apa, masa nilah nak kenal daun-daun tu semua. Falia ada handphone kan? Google jelah gambar-gambar daun tu. Kalau salah pun tak apa, sekurang-kurangnya kamu tahu kesalahan kamu. Dah, pergilah ambil dekat belakang." Bekas berwarna merah turut diberikan kepada gadis itu.

Falia tiada pilihan lain. Walaupun rasa seperti ingin meminta pertolongan daripada abangnya, namun dibatalkan sahaja niatnya.

Entah-entah abang pun tak tahu bezakan daun tu semua, fikirnya.

Lagipun dia masih bengang dengan tindakan abangnya. Memang taklah dia nak minta tolong abangnya ketika ini. Pujuk dulu baru dia maafkan!

Kemudian, dia bergegas ke halaman rumah untuk menyelesaikan misi yang diberikan oleh opahnya.

Ceh, misilah sangat.

Matanya kini tertumpu kepada satu per satu hasil tanaman yang berada di hadapannya sambil jari-jemarinya lincah menari-nari di atas skrin telefon.

"Yang mana satu daun kesum ni? Semuanya sama je," rungut Falia apabila semua tanaman tersebut dilihat sama pada mata kasarnya.

Yang dia tahu cuma bunga kantan sahaja sebab terang-terangan bunganya berwarna merah jambu.

Kusut memikirkan daun-daun yang diminta oleh opahnya, Falia terus merapati salah satu hasil tanaman yang dirasakan pokok kesum. Saat tangannya mahu memetik daun tersebut, muncul satu suara menegur perbuatannya dari belakang.

"Salah tu. Itu pokok ulam raja."

Falia terus berpaling ke belakang.

Aduh, mamat ni lagi! Memang tak boleh tengok orang senang betullah dia ni. Ada sahaja nak mengacau ketenteramannya.

"Tak payah sibuk hal orang boleh tak?" tutur Falia sambil bercekak pinggang.

𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘Where stories live. Discover now