"KAU betul ni, tak nak aku teman kau sampai ke rumah?" soal Najla buat kali ke berapa pun dia tidak tahu. Seroja ini, degil juga orangnya. Kita risaukan dia, tapi dia kata dia okey sahaja kalau berseorangan. Sudahlah sekarang jam menghampiri pukul 9:30 malam. Jalan untuk pulang ke rumah Seroja selalunya sunyi dan gelap.
Seroja mengangguk lagi.
"Serius ni? Kalau kau takut, aku ikut kau dengan kereta aku dari belakang," ucap Najla.
"Ya... Aku serius. Jangan risaukan aku. Kau tu, bila nak balik? Nanti mak kau tak senang duduk dekat rumah menunggu kepulangan anak dara kesayangan dia ni," bidas Seroja. Najla ini asyik memikirkan tentang dia saja. Diri sendiri, dia tidak ambil tahu pula.
"Wey, alamak! Habislah aku, kena bebel balik nanti." Najla mula gelisah. Maknya mesti akan membebel panjang nanti. Boleh pula dia terlupa bahawa malam ini ada makan-makan bersama keluarga besar di rumah.
"Lagi sekali aku nak tanya. Betul ni kau boleh balik sorang-sorang malam ni?" Najla menyoal lagi. Dia sudah bersandar pada keretanya yang bersebelahan dengan kereta Seroja.
"Ya Nur Najla. Aku okey. Selama ni pun aku balik malam sorang-sorang. Okey je," jawab Seroja. Dia sudah terbiasa membuat semua benda seorang diri. Sebelum ini, okey saja kalau dia balik pada waktu malam tanpa ditemani oleh sesiapa. Najla tak pernah risaukan dia seperti sekarang.
"Sebelum-sebelum ni, lain. Tapi, harini kan kau..." ucapannya tergantung. Dia tidak mahu kawannya teringat kembali kejadian pagi tadi.
"Kenapa? Sebab harini aku jumpa mayat?" soal Seroja tanpa menapis ayatnya.
Najla menggerakkan kepalanya ke bawah dan ke atas secara perlahan-lahan. Kepala yang ditundukkan, dipanggung semula untuk melihat reaksi Seroja. Namun, rakannya itu hanya tersenyum nipis.
"Sumpah aku cakap, yang aku memang takut dengan apa yang aku nampak pagi tadi. Tapi takkanlah aku nak hidup di dalam ketakutan selama-lamanya, kan?" Fikirannya dari pagi sehingga sekarang, masih dihantui dengan rupa mayat yang dijumpainya tadi.
Dengan keadaan badan yang berlipat kerana disumbat di dalam bagasi, kepala pula terkulai dan hampir putus daripada badan kerana terdapat kesan torehan di belakang leher membuatkan Seroja hampir memuntahkan segala isi perutnya yang kosong melihat keadaan mangsa pembunuhan itu.
"Kau tahu tak, mayat yang kau jumpa tadi tu sebenarnya mayat pelajar medik yang hilang yang aku ceritakan pagi tadi," ucapan Najla mematikan lamunan Seroja yang sedang teringat kembali kejadian pagi tadi.
Matanya terbuntang besar, tangan diletakkan di mulut. Perlahan dia mengucapkan lafaz istirja'.
"Innalillahiwainnailaihirojiun." Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.
Ummu Salamah R.A berkata bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang membawa maksud,
"Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, "Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji'uun allahumma'jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya).' melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik".
(Riwayat Muslim 918)
KETIKA kereta yang dipandu tiba di jalan yang kiri kanannya hanya dikelilingi hutan rimba dan gelap, rentak jantungnya bertukar menjadi laju. Penyaman udara yang hanya dibuka pada tahap satu, terasa semakin sejuk. Meremang bulu romanya. Seroja meneruskan pemanduan walaupun fokusnya agak terganggu.
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Боевик"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...