BAB 38

11K 419 27
                                    

Walaupun hari sudah menyingsing pagi, Laila masih lagi berbungkus di dalam selimut. Tuan Mizan sudah beberapa kali keluar masuk bilik tetapi Laila tidak menunjukkan tanda-tanda ingin bangun.

Bukannya Laila tidak sedar waktu Tuan Mizan bangun solat subuh tapi dia berpura-pura masih tidur dan disebabkan dia tidak cukup tidur semalam, akhirnya dia terlelap lagi sekali.

Pukul sembilan pagi, Laila terjaga lagi sekali bila terasa tilam di sebelahnya bergerak. Matanya dibuka bagi mengitai Tuan Mizan yang keluar dari bilik tidur. Satu keluhan dilepaskan.

Laila melentang memandang siling bilik tidur. Mengantuknya sudah hilang tapi dia belum bersedia untuk bangun.

Peristiwa semalam kembali bermain di fikirannya. Laila memegang dadanya yang terasa sakit. Sangkanya dia boleh hidup bahagia di dalam keluarga Tuan Mizan tetapi hujan di tengahari. Air mata yang bergenang di kelopak mata diseka.

'Apa nak jadi dengan kau ni Laila.' Omel Laila di dalam hati. Macam mana dia nak keluar dan berdepan dengan mereka semua. Rasa benci pada Faizal, rasa bersalah dengan Ika dan rasa malu dengan Tasya.

Laila memejamkan matanya bila pintu bilik dibuka dari luar. Berpura-pura masih tidur. Tuan Mizan yang baru lepas mandi menghampiri katil. Bau sabun mandi dari tubuh Tuan Mizan menyapa hidung Laila.

"Laila....." Panggil Tuan Mizan tetapi Laila tidak menyahut. Matanya dipejam rapat.

"Laila... dah pukul sepuluh ni. Laila tak nak bangun lagi ke?" Tanya Tuan Mizan lembut.

Tuan Mizan melabuhkan punggungnya di birai katil. Tangannya mengusap kepala Laila lembut. "Laila, sakit perut ke?" Pelik melihat Laila yang belum bangun dari tadi. Jarang sangat isterinya berperangai malas begitu.

Dalam terpaksa, Laila buka juga matanya. Apa lagi alasan yang dia boleh berikan? "Tak. Cuma perut ni tak selesa sikit."

"Biar aku sapu minyak angin."

"Tak payahlah. Sikit je ni. Nanti okey la tu."

"Okey apa kalau dari tadi asyik terbaring je."

"Mungkin sebab banyak berjalan kot. Macam rasa penat sikit."

"Okey tapi lagi sepuluh minit kena bangun. Perut tu kena isi juga nanti masuk angin, lagi susah."

"Tapi Laila belum lapar."

"Aku tak nak dengar alasan. Sepuluh minit je tau." Suara Tuan Mizan sedikit tegas menandakan Laila tidak boleh lagi berdalih. "Nanti aku datang balik. Jangan nak termenung pulak."

Tuan Mizan bangun lalu melangkah keluar. Pintu  bilik ditutup rapat.

Muka Laila mula berubah sebaik sahaja kelibat Tuan Mizan hilang di sebalik pintu, air matanya mula bergenang. Hatinya rawan. Tetapi dia tidak mampu untuk bercerita dengan Tuan Mizan, akhirnya dia tersepit sendirian.

Laila menarik selimut sehingga menutupi kepalanya.  Cuba dikawal emosi yang terganggu sejak semalam. Air mata yang membasahi muka cepat-cepat dilap bila telinganya menangkap bunyi pintu bilik dibuka. Adakah sudah cukup sepuluh minit yang diberikan oleh Tuan Mizan? Kenapa dia terasa terlalu sekejap?

"Laila.... bangun." Tuan Mizan menyelak selimut yang menutupi kepala Laila.

Dengan berat hati, Laila gagahi juga untuk bangun. Matanya memandang Tuan Mizan yang sudah duduk dibirai katil.

"Minumlah milo suam ni dulu. Buat alas perut." Ujar Tuan Mizan seraya memberi mug kepada Laila.

Laila yang tidak menyangka dengan layanan Tuan Mizan yang tetap baik dengan dirinya, tersentuh hati. Mug di tangan Tuan Mizan diambilnya. "Terima kasih."

SUNTI UNTUK TUAN MIZAN (C)Where stories live. Discover now