•••
RENÉE
—reborn, born again.
l'histoire se répètePOV DELIMA
Tok tok tok
Ketukan di pintu bilikku hanya dihadiahkan dengan pandangan kosong oleh aku.
"Neng..." Suara Mbak Kyati kedengaran menyapa khabarku dari luar.
Mendengar nadanya yang agak lirik itu, aku mengeluh perlahan. Sejak aku pulang malam semalam, aku terus berkurung di dalam bilik tidurku. Langsung tiada berkeinginan hendak keluar dan bertemu dengan sesiapa meskipun Mbak Kyati. Aku tahu, malam itu juga ada anak-anak buah ketua kampung yang mencari aku namun Mbak Kyati pintar menyembunyikan keberadaanku. Wanita itu tampak sahaja lembut tetapi tegasnya bukan biasa-biasa.
Untuk itu, aku berterima kasih kepada Mbak Kyati meskipun dia bukan ibu kandungku.
Pintu diketuk lagi.
Aku tahu... Mbak Kyati risaukan aku. Pasti dia sendiri tidak lena malam tadi dek memikirkan keadaan aku. Pun begitu, aku tidak tahu hendak menghadapnya bagaimana. Walaupun aku yakin dia tidak akan memaksa aku untuk bercerita, tetap juga pastinya dia diam-diam hendak tahu tentang apa yang terjadi.
Jawapanku... aku tidak tahu. Aku tidak tahu mengapa aku berkelakuan aneh seperti malam tadi. Aku tidak pasti atas sebab apa, jiwa aku seperti membakar hangus saat sentuhan demi sentuhan lelaki asing berkenaan bercumbu dengan kulit mulus milikku.
Nadim Rajuna...
Siapa dia? Ada apa dengan dia? Mengapa dengan dia?
Sudah semalaman juga aku tidak mampu lena bahkan sepicingpun dek memikirkan segala macam perihal yang terjadi malam kelmarin. Namun begitu, setiap soalan yang aku ajukan kepada benakku sendiri bagaikan menumpuk tanpa satu pun terjawab. Persoalan-persoalan yang terhasil dek kemunculan Nadim membentuk satu kotak kosong yang besar di dalam kepala aku hingga hampir-hampir kepala aku pecah memikirkannya.
"Neng Delima."
Aku tersentak. Sepantas kilat, kepalaku berpaling menghadap ke arah pintu. Itu... bukan suara Mbak Kyati. Suara itu garau dan getaran kotak suara milik entah siapa itu sepertinya tidak berapa familiar dalam bejana ingatanku.
"Siapa?" Aku melaung kuat. Posisiku yang tadinya duduk bersimpuh di atas katilku, kini beralih ke arah birai katil. Tangan aku mencapai penyanggul yang sedia terletak di meja kecil berhampiran dengan katil. Cekap tangan aku menyanggul rambut aku sendiri.
"Sudah ora kenal sama suara aku?" soal suara itu lagi. Kali ini, lebih garau dan lebih sini.
Tanganku yang sedang menyanggul di belakang kepala, terkaku.
"Mungkin, kalau neng metu saka kamarmu (keluar dari bilikmu), neng bakal kenal siapa aku." Lelaki itu bertanya lagi. Nadanya masih sama namun Bahasa Jawanya agak janggal didengari.
Aku mengetap bibirku rapat. Detak jantung aku menggila tanpa dipinta. Sanggul tersiap elok sementara tanganku sudah jatuh di atas riba sendiri. Dia— tetamu penghulu malam tadi. Dia...
Nadim Rajuna.
"Kamu harus keluar sekarang atau kangmas ini bakalan mengsa (paksa) kamu agar keluar, neng."
Aku masih tidak berkutik. Aku buntu! Tidak tahu sama ada hendak mengalah ataupun terus kekal dengan keadaan aku waktu ini. Diam-diam aku tertanya. Ke mana Mbak Kyati? Adakah Mbak Kyati sendiri yang membenarkan si jejaka masuk ke rumah kami?
Mengingatkan aura si jejaka, bulu roma aku merinding. Jangan cakap—
"Neng..." Suara lirih Mbak Kyati kedengaran lagi. Entah kenapa saat ini aku rasakan bahawa suara itu seakan sedang mendayu kepadaku.