•••
RENÉE
—reborn, born again.
l'histoire se répètePOV DELIMA
Kain selendang organza yang direhatkan pada bahu aku sejak tadi, aku kemaskan. Kesejukan malam ini mencengkam hingga ke tulang sulbiku. Bulu romaku berdiri sesekali saat pawana malam bertiup kencang sementara aku menanti Nadim di pengkalan jeti kampung kami.
Mbak Kyati sudah meninggalkan aku sendirian beberapa katika yang lepas. Aku sendiri yang meminta Mbak Kyati agar meninggalkan aku sendirian. Kononnya, aku ingin berfikir masak-masak dan menenangkan diri. Kalau pun pendirian aku berubah, aku mahu berbicara berdua dengan Nadim tanpa orang ketiga. Soal keselamatan kalau aku diapa-apakan... aku tahu Mbak Kuati tak runsing tentang itu. Dia tahu apa kemahiranku. Kemahiran zahir dan batinku.
Dia hanya takut perasaan aku melemahkan diriku sendiri.
Aku mengangkat dagu. Kepalaku menghala ke dada langit yang berhiaskan taburan bintang. Susuk purnama menjadi pusat pemerhatianku. Senyuman aku terbentuk segaris saat buruj berbintang enam turut sama bergemerlapan mengapit rembulan yang menjadi penyeri di dada langit.
Melodi lautan menjadi peneman aku malam ini. Sambil-sambil itu, tangan aku memeluk tubuh sendiri. Bahuku yang hanya ditutupi dengan sehelai baju kebaya tipis dan selendang organza aku usap-usap perlahan.
"Kamu datang juga, Delima."
Aku pantas berpaling wajah ke belakang sebaik sapaan suara garau itu menyapa gegendang telinga aku.
"Aku datang untuk kepastian, bukan bermakna aku percayakan kamu." Bagaikan dapat menghidu bicara yang seterusnya dari lelaki itu, aku pantas membidas perihal yang aku pasti sedang terpasak di dalam fikirkannya waktu ini.
Aku datang untuk membuktikan bahawa kepercayaan aku tidak dipersiakan. Bukan kerana aku percaya kepada jejaka asing yang dalam darahnya tidak mengalir keturunan Jawa Tengah sepertiku. Mbak Kuati pesan, jangan pernah percaya pada orang luar. Oleh sebab itu, aku... tidak akan pernah jatuh pada tipu helah Nadim Rajuna, lelaki yang tiada aku kenal asal usulnya.
"Menariknya... setia orang wedo ama mas Solo memang mengagumkan." Nadim ketawa perlahan sebelum berjalan melepasi aku sedang pandangan aku masih mengikat dan mengkori gerak tubuhnya. Dia berdiri di hujung jeti. Matanya melilau ke tengah lautan di hadapan kami.
"Ojo sesuka atimu ngejatuhin kanun ama orang Jowo Tengah, kangmas." Aku memberi amaran tegas dalam nada yang lembut. Selendang organza yang hampir terlurut dari bahuku, berkibar-kibar saat puputan pawana daripada laut menamparnya. Kesejukan malam ini langsung tidak berupaya membekukan hatiku yang sudah berapi-api mendengar tawa sinis Nadim Rajuna.
Nadim Rajuna berpusing badan menghadap aku. "Baiklah... kalau begitu, aku akan menganggap kamu berbeda dari cewek-cewek lainnya, Delima. Sebelum kita berangkat ke tanah seberang agar matlamat kita masing-masing tercapai, ada satu perkiraan perlu kita sepakati. Sepenuh ati." Nadim menghadiahkan senyum kepadaku. Sepasang anak mata pku bagaikan ditambat oleh anak mata helang kepunyaannya.
Dari ekor mata, dapat aku lihat mampirnya sebuah jong pedagang berlabuh benar-benar di hujung jeti tempat kami menanti sejak tadi. Beberapa orang anak kapal sudah mula menutup layar agar jong itu tidak sasar kemudi. Ada juga anak kapal yang sedang membuka pintu dan menurunkan papan yang akan menjadi laluan masuk aku dan Nadim.
Aku jadi tertanya sendiri.
Siapa... Nadim Rajuna ini agaknya?
"Opo?" Aku bertanya lagi. Kembali memasakkan sepasang anak mata aku kepada lautan pandangan si jejaka berkumis nipis ini.