PART 1

1.2K 54 0
                                    

"Tika kasih dan sayang itu adalah sebuah rasa yang indah, Akankah aku merasakan keindahan rasa itu?"

Rangkap terakhir dari helaian diari Bunga Arazhea diakhiri dengan Tanda soal.

Pen dakwat cair diletakkan di sisi diari. Ditutup diari itu perlahan dan diletakkan di bawah bantal sebelum pandangan Arazhea dihala ke arah tingkap kecil di biliknya.

Ruangan bilik sempit dan kecil itu dihuni oleh seorang gadis bernama Bunga Arazhea. Tiada katil empuk seperti katil Araleya yang ada hanyalah satu tilam bujang dan satu bantal kecil. Tidak ada comforter tebal yang melindungi tubuh dia dari kesejukan, yang ada hanyalah selimut nipis yang kian meluntur dari warna asalnya dan beberapa helai baju dan kain batik yang kemas terlipat di rak baju.

Malam Arazhea hanya bertemankan bunyi kipas kecil pemberian daripada Humaira merangkap kawan baiknya. Disebabkan kipas dinding rosak beberapa bulan yang lepas, terpaksalah dia menggunakan kipas kecil bersaiz lebih kurang kepala dia.

Mengadu pada papa pun tiada guna. Malahan, Bunga Arazhea pula yang dipersalahkan. Dituduh merosakkan kipas untuk mendapat kipas yang baharu. Geram juga dia, Kalau dia baiki sendiri nanti, silap haribulan dengan banglo papa meletup sekali.

Kelengkapan di bilik Arazhea terlihat sederhana saja, namun cukup lengkap bagi Bunga Arazhea, kerana di situ adalah ruangan untuk dia berehat dan juga tidur. Suis lampu di dinding Arazhea tutup sebelum dia kembali bersandar di dinding bilik. Membiarkan cahaya bulan untuk menerangi ruangan yang gelap.

"Mama! Ara rindukan Mama. Hanya mama yang sayangkan Ara. Hanya mama yang anggap Ara anak mama." Arazhea pegang kemas sekeping gambar di tangan. Gambar sebuah  keluarga yang kelihatan bahagia. Seorang lelaki dan seorang perempuan yang sedang memegang dua bayi kecil. Direnung gambar tersebut seketika. Kemudian diletakkan di dada. Menghilangkan rasa rindu yang tidak dapat dibendung.

"Dah 16 tahun mama! 16 tahun mama pergi tinggalkan Papa,Ana dan Ara. Ara sakit mama! Ara sakit sangat. Ara tak kuat untuk semua ni." Tersedu sedan Bunga Arazhea.

"Tapi, kalau mama ada mesti mama suruh Ara jangan mengalah kan?" Bunga Arazhea angguk dua kali.

"Ara takkan mengalah. Ara kuat! Ara mesti kuat! Mama berkorban untuk selamatkan Ara malam tu. Dan untuk itu, Ara pun perlu berkorban kan, mama." Air mata yang membanjiri dibiarkan tanpa di seka. Dibiarkan air mata itu menitik hingga ke baju.

Begitulah kehidupan Bunga Arazhea. Setiap malam dia akan meluah rasa di ruangan gelap itu. Melepaskan setiap rasa perit sehingga dia lelap melayari alam mimpi.

Bagi Bunga, mimpi bagaikan momen yang indah berbanding dunia nyata. Bagi Bunga juga, dunia nyata bagaikan neraka untuknya. Neraka yang dibina oleh Papa dan kakak kembarnya sendiri.

Neraka yang berjaya mengurungnya sebagai tahanan di rumah itu selama 21 tahun.

Beberapa detik kemudian kedengaran bunyi dengkuran halus Bunga di ruang bilik sempit itu. Gambar yang Bunga pegang erat kian terlepas dan longgar dari pegangan.

Milik Tuan Malique Where stories live. Discover now