Mata merenung tepat ke arah seorang lelaki yang memandangnya tajam. Langsung dia tidak gerun dengan tatapan tersebut. Malahan pula, dia masih boleh berdiri tegak bersama dada yang menghela nafas tenang. Jika orang lain, mungkin mereka sudah lemah lutut hendak menghadap salah seorang anggota polis yang memegang pangkat tertinggi di daerah itu. Tetapi tidak bagi dia, Fareeq Isyraf. Baginya, tiada apa yang perlu dia takutkan.
"Kamu tahu kenapa kamu dipanggil ke sini?" Suara Datuk Jefri bergema di corong telinga. Mata masih merenung tepat ke arah lelaki tersebut. Langsung tidak berganjak.
"Tak, Datuk." Ringkas sahaja dia menjawab.
"Kamu ingat kejadian beberapa hari lepas di kawasan sini?"
Dahi Fareeq berkerunyut tebal. Otak ligat memikirkan kembali peristiwa yang telah berlaku beberapa hari ini. "Kejadian ragut?"
Datuk Jefri angguk seraya senyum tipis. "Saya kagum melihat keberanian kamu melawan penyamun tu semua walaupun mereka semua bersenjata. Dan semuanya kamu berjaya tumbangkan walaupun masa tu terdapat beberapa orang lelaki yang datang menyerang."
Fareeq menyepi. Baginya, tiada apa yang perlu dikagumkan. Kebetulan dia berada di situ dan ternampak seorang wanita yang diragut oleh beberapa orang lelaki yang bersenjata. Tanpa sedar, dia mendekati mereka semua dan menumpaskan segala serangan. Segalanya berlaku di luar kesedarannya. Sebagai seorang manusia yang mempunyai keperimanusiaan, dia harus membantu daripada hanya terus lihat tanpa berbuat apa-apa.
"Apa pekerjaan kamu?"
"Saya cuma pelayan kedai makan, Datuk." Tanpa rasa malu, dia membalas. Apa nak dimalukan? Asalkan ianya rezeki yang halal, tidak perlu dimalukan.
Datuk Jefri tampak terpempan. Mungkin tak percaya dengan kata-kata Fareeq. Mana mungkin seorang lelaki yang hanya pelayan kedai makan mampu berlawan sebegitu hebat?
"Kamu ada belajar seni pertahankan diri?"
Fareeq angguk. "Waktu saya di kampung, saya memang belajar seni pertahankan diri. Tapi, cuma asas. Tak lebih daripada tu." Balasnya lagi, tenang tetapi serius.
"Berapa umur kamu?"
"Dua puluh tahun."
"Dua puluh tahun dan bekerja di kedai makan? Kamu bekerja sambil belajar?" Semakin lama, dia semakin berminat untuk mengetahui kisah hidup pemuda di hadapannya ini.
"Tak, Datuk. Saya tak sambung belajar lepas sekolah."
"Kenapa?"
"Keluarga saya keluarga yang susah. Saya perlu cari duit untuk biaya yuran persekolahan adik saya." Tiba-tiba fikirannya melayang mengingatkan keluarga di kampung. Biarpun kehidupan mereka serba serbi kurang, dia sentiasa bersyukur dengan rezeki Tuhan kerana dia percaya Allah akan memberi yang lebih baik. Biarlah sekarang dia berusaha untuk mendapat sesuatu yang lebih baik itu.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐉𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍𝐍𝐘𝐀
Romance[ Book 7 ] Fareeq Isyraf- Dia lelaki yang tidak akan bertolak ansur dengan keingkaran. Setiap arahan mahupun perintah, tidak diberi pilihan selain patuh. Namun, ketika dia diberikan arahan, dia juga harus patuh biarpun harganya harus dibayar seumur...