Bab 14

206 15 0
                                    

"TERIMA kasih sebab sudi tolong," ucap Puan Hamidah saat mereka sedang duduk sambil menikmati makanan yang terhidang. Memang kebiasaan jika ada aktiviti gotong-royong, pasti di waktu malam, akan disediakan sedikit juadah makanan.

"Saya yang patut cakap terima kasih dekat ibu sebab bagi saya bermalam dekat sini," ujar Khalish pula.

"Apa terima kasih pulak. Hal kecik je tu. Lagipun dah lewat, takkan ibu nak bagi kamu bawa kereta malam-malam ni, bahaya. Ibu dapat tahu kamu masuk hospital haritu. Betul ke?" Dia hanya mendengar khabar angin sahaja. Tidak tahu hal lebih-lebih kerana Haania tidak membuka mulut. Khalish jatuhkan sedikit kepala sebagai balasan.

"Patutlah Nia gelabah macam tu..." ujar Puan Hamidah perlahan, namun sempat ditangkap oleh sistem pendengaran Khalish.

"Nia gelabah? Gelabah pasal apa?" Rasa ingin tahu mula timbul. Apa yang gadis itu gelabahkan? Gelabahkan akan dia ke?

"Waktu ada majlis dekat sini yang sepatutnya kamu datang tu, ibu tengok Nia tak berhenti-henti belek telefon. Macam tengah tunggu sesuatu. Mata dia pun sekejap macam tercarikan seseorang. Bila ada orang call laju saja dia jawab. Tak tahu la apa yang dicakap dekat telefon, Nia yang baru nak makan, terus tak jadi. Dia stop makan lepastu terus keluar katanya ada hal," cerita Puan Hamidah, satu persatu. Khalish yang mendengar hal tersebut sudah mula tersenyum suka.

Sebegitu risaukah Haania kepadanya tatkala kejadian itu berlaku? Tetapi mengapa bila mereka bersua muka, gadis itu tetap pamerkan wajah ketatnya? Seolah-olah langsung tidak berminat untuk bertentang mata dengannya.

"Kamu suka Nia?" Soalan yang dilontarkan itu membuatkan Khalish tersentak. Lamunan yang menyelubungi fikirannya terus lenyap. Dia tatap wajah paruh baya itu. Perlahan-lahan kepala dianggukkan.

Balasan anak muda itu membuatkan bibir wanita tua tersebut merekah dengan senyuman. "Betul kamu suka dia?"

Baru sahaja Khalish ingin membuka mulut, kata-kata dari Hadeef mula melintas di benak pemikirannya.

"Jangan dekati dia atas sebab muka dia sama macam Qalissa. Jangan bagi harapan dekat dia kalau kau masih lagi tak boleh nak move on dengan masa silam kau. Figure out your own feeling first before you make another move."

Melihatkan diam jejaka disebelahnya ini, Puan Hamidah kembali membuka mulut. "Kalau kamu memang betul-betul suka Haania, teruskan dengan langkah yang sepatutnya. Tapi satu saja ibu nak pesan, kalau kamu memang nakkan Haania, jaga lah dia elok-elok. Ibu tahu, dalam hidup Nia, dia tak pernah terfikir akan ada orang lain yang boleh sayangkan dia. Dalam hidup dia, yang dia terima kasih sayang adalah dari ibu sendiri saja. Lain-lain? Susah. Sebab itulah kalau memang betul-betul kamu sukakan Nia, buat apa yang patut. Sayangi dia dengan sepatutnya. Jangan pernah sakitkan hati dia sebab jiwa Nia dah sedia rapuh jadi ibu tak nak orang lain patahkan terus jiwa dia yang memang dah sedia tak elok tu," pesan Puan Hamidah lembut.

Sejujurnya dia takut tatkala memikirkan jikalau tibanya waktu dimana anak gadis itu akan jatuh cinta. Dia takut andai hati gadis itu yang sudah sedia goyah binaannya, mula runtuh jika jatuh ke tangan yang tidak dapat mengekalkan binaan tersebut.

Andai jejaka ini yang mampu mengekalkan binaan tersebut dan dia lah jodoh yang ditempa buat anak gadis tersebut, dia mungkin dapat melepaskan Haania dengan hati yang lapang.

***

"AKU nak masuk meminang Nia." Air yang baru sahaja ingin masuk melalui tekak kembali terkeluar tatkala mendengar ayat tersebut. Terbatuk-batuk dia jadinya. Tisu yang berada diatas meja pantas dicapai dan mulutnya dilap.

"Kau okay ke tak ni? Takkan aku bagitahu benda ni pun kau dah terkejut sangat?" tegur Khalish tatkala melihat perlakuan Hadeef itu.

Lelaki tersebut menghabiskan dahulu sisa batuknya sebelum kembali bersuara. "Seriously Khalish?"

Anugerah Terindah [HIATUS]Where stories live. Discover now