BAB 40

63 10 0
                                    

TANPA berlengah, Farhan berwajah dingin terus melangkah laju menunggu lif bersama pekerja lain. Dalam hati berdoa supaya pintu lif segera dibuka dan berharap tidak satu lif dengannya.

Zureen hanya memerhati perjalanan Farhan ke lif tanpa memandangnya sekalipun. Pintu gelangsar besar dipandang kembali. Dia yang kehilangan jejak abang penghantaran sedang berbelah bahagi. Antara terus berada di sisi suami atau jejaki abang penghantaran demi kepastian.

Mata beralih pada lif, kesemua pintu masih tertutup rapat. Tampaknya ada peluang jika mahu melihat kelibat abang penghantaran. Zureen berlari keluar meninggalkan lobi. Tercungap-cungap dia sambil mata melilau mencari kelibat seseorang. Jelas sekali, orang itu telahpun sudah lama beredar.

Tinggal beberapa orang saja masih menanti lif kosong. Kemudian, salah satunya pintu terbuka. Berpusu-pusu pekerja masuk ke dalam lif termasuk Farhan.

Harapan Zureen musnah. Dia kesuntukan masa kerana menunggu pintu lif dibuka sementara menjejaki seseorang. Sekali lagi Zureen berlari mengejar lif. Dari jauh sepertinya pintu lif hampir ditutup dan langkahnya dipercepatkan. Hanya lif itu saja yang baru dibuka.

"Tunggu!" Jerit Zureen.

Satu anggota tangan menyeluk ke dalam lif. Maka pintu lif dibuka semula. Walau berjaya namun terasa sakit lengan Zureen dihimpit pintu lif. Semua mata memandang ke arahnya kecuali Farhan memandang dinding lif sahaja.

"Puan Zureen, masuklah." Pelawa Durga, pekerja wanita berbangsa India.

"Terima kasih. Minta maaf ya semua." Sambil memasuki lif itu dan pintu telah ditutup.

Tiba di tingkat mereka, laju Farhan memintas jalan Zureen dan meninggalkan lif. Zureen memandang Farhan sambil keluar lif dengan penuh serba salah.

Bunga ros merah jambu diletakkan atas meja. Zureen merebahkan tubuhnya di kerusi seraya menghembus nafas. Memandang hairan bunga tersebut. Kebiasaan bunga untuk diberikan hadiah adalah bunga ros merah dan tulip. Yang dia dapat luar biasa.

Beribu soalan bermain diminda. Mengapa bunga ros merah jambu? Siapakah pengirim sebenar? Apakah maksud orang itu memberikan hadiah ini kepadanya?

Ros? Ia seperti nama samarannya 'Mawar' sewaktu belajar forensik di kolej dahulu. Hanya orang tertentu sahaja boleh memanggil nama samarannya itu. Mustahil orang itu mengenali Zureen?

Jika bukan Farhan, siapa? Haziq? Semenjak Zureen bergelar isteri, bukan kata sejambak, sekuntum bunga pun tak pernah diberikan. Biarpun masih ada sisa cinta Zureen, dia tahu batasnya.

Ya, kesemua jenis bunga membawa maksud tersendiri. Apa yang dia ketahui, ros merah jambu bermaksud syukur. Perkara apakah yang telah dilakukan hingga orang ini bersyukur?

Ketukan pintu membuatkan lamunan terhenti. Pantas mata tertancap pada seseorang di hadapan pintu.

"Papa panggil meeting." Dingin Farhan dan berlalu pergi.

Setelah pekerja hadir dalam mesyuarat, Tengku Hussain memulakan perbincangan.

Renungan mata serius Farhan tertumpu pada mata Zureen dihadapannya. Zureen tak nak kalah. Dia juga membalas renungan Farhan. Apa dia nak takut? Dia tidak berbuat salah. Soal bunga bukanlah daripada Haziq.

"Memandangkan pihak atasan dan syarikat lain tidak mengenali CEO baru kita, jadi saya akan mengadakan satu majlis." Arah Tengku Hussain.

"Majlis apa itu Tengku?" Soal Sohaimi selamba.

"Majlis pelantikan CEO baru kitalah. Takkan majlis cukur jambul anak kamu pulak!" Jelas Tengku Hussain manakala Sohaimi tersengih sendiri.

"Saya setuju Tengku. Lagipun ramai sudah bertanya, siapa CEO baharu kita?" Luah Luna.

Renungan RinduWhere stories live. Discover now