PROLOG

187 12 26
                                        

Siapa sangka Rasha kini merasai nikmat paling bahagia. Waktu pulang dari kerja. Dengar macam kecil, bukan? Oh, tidak selepas dia meningkat dewasa. Itu, belum lagi dengar cuti diluluskan.

Dulu, ketika masih lagi bergelar mahasiswi, terbayang-bayang indahnya nikmat gaji. Berangan hendak beli itu, ini, tanpa perlu menagih atau karang ayat manis pada mereka yang sudi. Rupanya, setelah bekerja, lain pula dari realiti.

Haih...

Dekat sangat jarak Zaith Bikerz, tempat kerjanya dengan rumah. Tak sempat Rasha hendak melayan drama melonkolisnya lama-lama. Pagar rumah sudah terpampang di hadapan mata.

Semua gara-gara lagu di corong radio ini lah. Emosinya mengikut rentak muzik bagaikan sesumpah yang menyesuaikan rona kulit dengan alam. Tak, sebenarnya dia memang begitu. Orang putih kata mood swing. Macam sekarang, mulut membebel tak puas hati. Sebab? Lagu kegemaran dimainkan semasa dia mahu tutup enjin kereta. Ish!

"Babah! Nak tahu tak?"

Sekelip mata, teruja memenuhi ruang hati sejurus sebelah kaki mendarat ke lantai garaj. Salam yang biasa diberi juga sudah hilang ke laut dalam. Matlamatnya hanya satu. Hendak cepat-cepat beritahu Babah!

PAP

"Care to explain, along?" Kaki yang baru sahaja melangkah pintu rumah, terpasung. Hujung bibir kembali jatuh. Mata dibawa ke panahan tajam mata Babah.

GULP

Perlahan-lahan Rasha menghampiri lipatan kertas yang dilempar ke meja tadi.

Ah, sudah!

"Kenapa buat keputusan diam-diam?" Suara garau itu sedingin salju tetapi tubuh Rasha mula merembes peluh. Nafas bagai tersangkut di kerongkong. Otak pula bekerja keras mencari alasan. Namun, sepatah kata pun tidak mampu dikeluarkan.

Bukan... Bukan berita ini yang sepatutnya sampai ke telinga Babah. Dia beria-ria ingin pulang bukan untuk bahaskan lipatan kertas yang tertera 'SURAT PERLETAKKAN JAWATAN' itu.

"Rasha Shanika Binti Raes!" Tubuh Rasha tersentak. Bulu roma di seluruh tubuhnya merinding.

"Kalau babah tak jumpa uncle Zaith hari ni, agak-agak perkara ni sampai tak dekat telinga babah?"

Dada Encik Raes berombak kencang. Tiada langsung ura-ura untuk bertenang. Tegarnya keputusan sebesar ini dibuat di belakangnya. Bukankah seorang bapa berhak tahu keadaan anak?

"Along... Along mohon sambung belajar. Baru je dapat keputusan yang along berjaya. Bulan depan daftar, babah." Berat mulut Rasha menjawab sambil jemarinya mula mengetil sesama sendiri.

"Sambung belajar?" Sedikit lagi hendak bercantum alis Encik Raes. Rasha yang sudah tiga tahun tamatkan zaman diplomanya hendak sambung belajar?

"Kau buat lawak apa ni, long?" Tawa encik Raes sinis menampar setiap inci ruang tamu yang dihuni mereka berdua sahaja saat ini.

"Along tak main-main, babah." Shanika gagahkan diri mengangkat wajah. Baru sesaat bertentang mata dengan raut bengis babah, dia pantas menunduk.

"Kau? Sambung belajar? Kenapa? Tak puas merengek masa diploma dulu?" sindir Encik Raes.

Liku-liku zaman diploma satu-satunya anak perempuan miliknya mula bermain di kepala. Tiada satu sinar kejayaan pun yang menghiasi perjalanan Rasha. Apatah lagi perkara yang membanggakan. Jadi, Zaith Bikerz solusi yang dia bentang buat Rasha.

"Along. Nak. Sambung. Belajar!" Semerta mata mereka bersabung. Setiap patah kata ditekan. Sekadar helah untuk menyembunyikan rasa yang berkecamuk memenuhi dada.

Jari Encik Raes menuding tepat ke arah wajah Rasha. "Ingat dengan siapa kau tengah bercakap sekarang ni, along."

Rasha palingkan wajah. Alih-alih itu yang dilontarkan padanya. Biadap. Itu sahajalah yang mereka nampak.

Jiwa yang hancur.

Diri yang sentiasa diperkecilkan.

Hati yang lelah mendamba sebuah penghargaan.

Saat itu, mana pergi empati mereka?

"Apa yang kau kejarkan? Kau bukannya boleh bawa pun masa diploma dulu." Telunjuk Encik Raes ditekan pada bahu anak. Beberapa kali sehingga Rasha buka mulut.

"Sebab tu Along sambung course lain. Jangan risau," ujar Rasha lemah.

"Jangan risau?" Sekali lagi, tawa sinis Babah menampar telinganya. "Buat apa aku nak risau? Kau tak akan pergi. Aku tak izinkan!"

Mata Rasha membesar, nafas mula memberat. Mata yang tadi memasang lagak angkuh, telah berkaca.

"Restu dalam menimba ilmu itu penting. Kau tahu, kan?" Bisik Encik Raes keras. Sinis, itu kuasa yang dia pegang sebagai bapa kandung Rasha. Keputusan akhir di tangannya. Jika dia kata tidak, maka tidak.

Rasha tarik nafas panjang. Mata dipejam ketat-ketat. Segala perisai emosi yang dia pasang, Rasha cabut semua.

"Sekali."

Encik Raes yang baru sahaja ingin meninggalkan Rasha dengan senyuman kemenangan, terhenti.

"Sekali ni je along minta dari babah." Rasha kepal tangan di sisi. Cuba mencari kekuatan untuk akhirnya lakukan apa yang dia mahu.

"Let me do what I want..." Jeda. Nafas yang dihela bergetar sebelum dia merayu lagi."Please..."

"Your whole life-"

"No! Not once in my life have I ever made a decision for myself! It always-" Bicaranya tersangkut dengan nafas yang ditarik.Mata terpejam rapat. Tubuhnya menggigil menunggu impak dari tangan babah yang berada di udara.

"Aku dah pesan, ingat dengan siapa kau tengah bercakap." Tangan yang diangkat tinggi tadi bertukar arah, meraup kasar wajah sendiri.

"Along minta maaf, babah. Along betul-betul minta maaf kalau keputusan along ni, umpama membelakangkan keluarga." Kedua lutut Rasha jatuh di permukaan lembut karpet.

Tolonglah! Tolonglah nampak dia benar-benar mahukan peluang ini.

"Tapi..." Liur ditelan payah. "Along masih tetap dengan pendirian, along. Ada impian yang along nak capai."

Rasha mendongak, dibiarkan bersabung dengan iris yang sama warna dengannya itu. Namun, bias cahaya dalam mutiara tua itu kelam. Hatinya semakin goyah.

Tak apa. Pujuk, Rasha. Pujuk.

"Tolong, babah." Rasha mula dengan senyuman kecil yang cuba dia tarik setelah berjuang dengan emosi yang bercambah.

"Tolong izinkan anak babah ni sambung belajar untuk mulakan langkah impian dia..." Hati yang bagai ditusuk sembilu itu sedaya upaya diabaikan. Dia terus merayu.

"Boleh ya, babah?"

"Sebesar mana impian kau, sampai sanggup hancurkan perjalanan orang lain?"

Dan, di saat jawapan itu meluncur tajam, hati Rasha hancur. Mahu sahaja dia menjerit, meronta, memohon agar lihat dia dari sudut yang berbeza tetapi yang cuma dia mampu hanyalah membisu.

Menelan setiap kata.

Mengunci setiap emosi.

Menahan diri dari hilang kendali.

Kerana... Jiwanya yang lali makin mati.

Bahagiaku KeranamuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang