Bab 15

207 13 1
                                    

"KHALISH nak kahwin." Tiga patah perkataan yang meluncur keluar dari mulut Khalish secara tiba-tiba itu menyentakkan mereka di meja makan. Kini, pandangan kedua-dua ibu bapanya mula tertumpu seratus peratus kepada anak bongsu mereka itu. Khalish lenggakkan kepala. Satu-persatu pandangan kedua-dua insan tersebut dibalas.

"Kenapa mama dengan ayah nampak terkejut sangat ni? Is it that shocking to hear that?" Khalish cuba bergurau, tidak mahu suasana sepi melatari mereka. Puan Darweena melemparkan pula pandangan ke arah si suami, bagaikan sedang mencari jawapan sebelum dia tumpukan semula pandangan ke arah Khalish.

"Dengan siapa? Khalish dah lama kenal dia ke?" tanya Puan Darweena.

"Kalau Khalish nak rahsiakan dulu boleh? Tunggu Khalish sendiri bawa dia datang jumpa mama dengan ayah."

"Kenapa nak rahsiakan?" Kini, Encik Khairuddin pula bersuara.

Khalish hanya balas dengan senyuman nipis. Dia lantas bangun dari duduk bersama pinggan kotor di tangan. "I have my own reason. Jangan risau, Khalish akan cuba usaha untuk bawa dia jumpa mama dengan ayah. Khalish masuk bilik dulu." Tidak menunggu sebarang balasan daripada kedua-dua ibu bapanya, jejaka itu melangkah menuju ke singki.

Sebaik sahaja kelibat si anak teruna hilang dari pandangan, Puan Darweena laju sahaja menyuarakan soalan.

"Abang rasa dia dah okay ke?"

"Maksud awak?" Sebelah kening dijongketkan. Tidak memahami apa yang si isteri maksudkan.

"Ish abang pun tahu kan Khalish tu macam mana."

"Macam mana apa?"

"Qalissa. Abang tahu kan Khalish tu sayang sangat dekat Qalissa sebab itulah sampai sekarang dia tak suka mana-mana perempuan sebab dia pernah cakap yang dia akan sayang Qalissa sorang je." Masih terngiang-ngiang lagi setiap butir bicara Khalish tatkala Qalissa mula pergi meninggalkan dunia. Betapa anak terunanya itu acap kali mengulang ayat yang sama bahawa dia tidak mampu lagi untuk menyayangi wanita lain sepertimana dia menyayangi gadis bernama Qaliisa itu jadi, manakan dia tidak terkejut dengan berita yang diterima?

"Kita doakan yang baik-baik saja untuk dia. Mungkin dia pun dah sedar sampai bila dia nak terus macam tu? Bukannya Qalissa akan hidup balik," ujar Encik Khairuddin pula. Jujurnya dalam diam dia juga turut bersetuju dengan ayat isterinya itu namun, siapa dia mahu menghalang niat baik si anak bongsu mereka itu? Jika dengan cara itu mampu mengembalikan semula cinta Khalish yang sudah lama mati buat kaum perempuan, dia relakan sahaja.

***

"SOLAT istikharah." Dua patah perkataan, tetapi sudah cukup untuk menarik sepenuhnya perhatian Haania. Seperti biasa, Puan Hamidah adalah tempat yang dituju tatkala kepalanya penuh dengan pelbagai inti persoalan.

"Ibu tanya sekali lagi. Nia suka Khalish?" Buat kesekian kalinya, soalan itu dilontarkan. Gadis itu pula diam sejenak. Tidak tahu mahu memberikan jawapan apa. Suka? Mungkin.

Tetapi mengapa semudah itukah dia jatuh cinta sedangkan dahulu kala, hati ini begitu keras sekali untuk jatuh cinta pada kaum Adam?

"Nia tak tahu. Nia takut benda ni cuma mainan perasaan..." luah Haania perlahan.

"Sebab itu ibu cakap, buat solat istikharah. Minta petunjuk. Dalam hidup kita ni, ada pelbagai pilihan, dan sebab itulah solat istikharah patut jadi jalan penyelesaian. Bila kita buat solat istikharah, insya-Allah, urusan kita akan dipermudahkan. Kadang-kadang jawapan dah ada depan mata tapi kita sendiri saja yang tak nampak. Bila kita buat istikharah dengan ikhlas kita akan rasa lega dengan pilihan kita. Sebab apa? Sebab kita buat pilihan tu berpandukan petunjuk Allah sebab Dia lah yang Maha Mengetahui. Di setiap pilihan yang kita buat, hanya Dia sahaja tahu sebab disebalik pilihan yang dibuat itu. Rasulullah SAW bersabda, 'Tidak akan kecewa sesiapa yang melakukan istikharah, tidak akan menyesal orang yang meminta nasihat, dan tidak akan miskin orang yang bersederhana." (Hadis Riwayat al-Tabrani)"

Anugerah Terindah [HIATUS]Where stories live. Discover now