BAB 16

7 3 0
                                    

POV REINE

Aku memerhatikan rupa aku di hadapan cermin. Sumpah, kalaulah Hardi Pradana Indurasmi itu bukan klien aku, agaknya sudah ada kepala yang berlubang dek menyuruh aku melakukan perihal yang tidak-tidak.

Alkisah, awal pagi tadi yang menjadi hari pertama rasmi aku berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada Hardi, lelaki itu awal-awal sudah menghantar pemandunya untuk menjemput aku dari rumah ke pejaba jejaka berkenaan. Aku kira mungkin aku perlu berkhidmat di pejabat Hardi dahulu hari ini...

Ternyata perkiraan aku meleset sama sekali. Aku dibawa 'berbincang' oleh Hardi di meja pejabatnya. Aku dipelawa Hardi untuk memegang watak sebagai kekasihnya sepanjang dia menyelesaikan tugasnya di sini bertepatan dengan tempoh aku sepatutnya menjadi pengawal peribadinya. Barulah aku faham kenapa Hardi memilih seorang gadis sebagai pengawal peribadinya. Usahawan dari seberang itu punya rancangan sendiri rupanya.

"Cik Rin?" Seruan nama aku dari luar itu mematikan terus perihal yang menghuni kepala aku. Pasti pekerja butik ini gelisah memikirakan aku yang tidak keluar-keluar dari bilik persalinan butik ini sejak tadi.

"Sekejap!" Aku menjerit perlahan. Dress yang dipilihkan oleh Hardi yang semuanya sudah aku cubakan di badan aku, aku bawa keluar sekali. Dress berwarna merah merona yang tersarung di badan aku tidak sempat hendak aku buka.

Ahh lantaklah!

"Baju ni nampak sangat cantik pada Cik Rin!" tegur pekerja wanita yang sejak tadi ditugaskan mengiringi aku memilih pakaian untuk dicuba. Aku hanya mempamerkan senyuman palsu sahaja walaupun aku rasa pujiannya ikhlas untuk aku.

"Cik Rindiani decide nak yang mana?" Soalan susulan itu menyebabkan dahi aku berkerut sedikit. Aku agak terganggu dengan nama samaran yang pandai-pandai sahaja Hardi bubuh untuk aku di hadapan butik ini tadi. Walaupun pangkal nama itu ada sedikit sama bunyinya dengan pangkal nama sebenar aku, tetap aku rasa tak selesa.

Itu satu lagi sebab kenapa aku rasa hendak menghadiahkan sebutir peluru ke kepala Hardi.

"Semua muat ke?" Entah dari celah mana, Hardi menghampiri aku dan petugas tadi. Wajahnya mempamerkan riak mesra bersama senyuman manis sampai ke telinga. Corner dimplenya bahkan terpapar jelas.

"Muat." Aku menjawab ringkas. Kedengaran acuh tidak acuh sahaja. Pun begitu, Hardi ketawa kecil mendengar balasan aku. Selamba sahaja, dia mengambil beberapa helai pakaian yang aku gantungkan pada lengan aku sejak tadi lalu dia serahkan semuanya kepada petugas yang entah apa namanya pun aku tidak tahu.

"We will take all. Termasuk yang di kaunter itu sekali." Hardi memberi kata putusnya bersama senyuman manis. Petugas tersebut sedikit terkejut namun cepat-cepat dia mengangguk dan beredar dari posisinya. Meninggalkan aku dan Hardi di tempat kami.

Hardi memandang aku dengan kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Dia dengan berbaju batik hari ini, tampak maskulin benar di mata sesiapa yang melihat. Wajah asli keturunan seberang itu lembut dan nyaman namun di sebalik kelembutannya, aku dapat menggarap paksaan dari senyuman manis seorang Hardi.

Berasakan ego aku tercabar, aku menentang pandangannya. Tajam. "I don't know being your bodyguard would allow me to get this much." Aku bertanya defensif. Dalam kepala aku, aku sudah terbayang pengakhiran pakaian-pakaian feminin yang dia bayarkan untuk aku di toko ini.

Tong sampah rumah aku pasti penuh balik nanti.

"I don't know either. Luckily you are the first." Hardi membalas dalam nada mesra. Senyumnya masih belum luntur dari wajah jejaka itu membuatkan aku muak. Rasa hendak sahaja aku beri dia sedas dua penampar biar bibir itu lumpuh terus dari tersenyum.

RENÉE Where stories live. Discover now