"MACAM mana? Dah dapat maklumat tentang lelaki tu?" soal Afif. Mereka baru sahaja balik daripada unit forensik dan hotel. Unit forensik mengesahkan bahawa otak kecil itu bukan kepunyaan manusia tetapi haiwan. Syabil dan Afif menarik nafas lega kerana telahan mereka semalam salah.
Manakala, selepas melihat rakaman litar tertutup di lobi hotel, mereka mendapati ada seorang lelaki yang memakai serba hitam bersama sarung tangan membawa kotak tersebut. Setelah kotak itu diletakkan di atas kaunter, lelaki itu terus menghilang.
Mereka ingatkan suspek tersebut sudah cukup bijak, namun mukanya sempat dirakam oleh CCTV di tempat letak motosikal. Huh! Kau tunggu sajalah nasib kau selepas ini.
Naufal mengangguk. "Aidil Rifki. Lahir dekat Pahang tapi sekarang dia dekat Kuala Lumpur. Lagi satu perkara yang kau kena tahu, dia ni budak sekolah Seroja dulu."
"Aidil Rifki? Yang kena tangkap sebab kes dadah, tujuh tahun lepas?" tanya Afif lagi.
"Yup. Aku rasa, dia berdendam dengan bini kau. Sebab tu dia kasi hadiah dekat kau orang berdua." Sambung Naufal lagi. Syabil hanya diam dan mendengar setiap butir bicara mereka berdua tanpa sebarang kata.
"Aku tak rasa dia buat benda ni sorang-sorang. Mesti ada orang lain jugak."
Naufal dan Syabil bersetuju dengan Afif.
"Betul!"
"Ayah," panggil Adib. Dia berjalan terkedek-kedek mendekati Syabil.
"Ya, kenapa?" Adib diletakkan di atas ribanya. Dikucup lembut pipi tembam anak kecil itu.
"Jom naik vroom vroom!" ajak Adib. Dia bosan kerana tiada sesiapa yang bermain dengan dia seharian ini. Ibunya dan mak ngah asyik berulang-alik ke dapur dan ke bilik sahaja. Tiada pun yang mahu bermain dengannya harini.
"Jom." Syabil turun daripada pondok bersama Adib.
"Eh, kau orang dah habis bincang kan?" soal Syabil. Terlupa pula tentang rakan-rakannya itu. Anak punya pasal.
"Dah. Kau pergilah main dengan anak kau tu. Sejak dia dah ada ayah, mana dia nak ingat lagi dekat pak ngah dia sorang ni." Afif buat-buat merajuk. Dia menjeling Adib.
Adib ketawa. "Hahaha! Macam budak-budaklah pak ngah ni. Kan ayah?"
"Haah, macam budak-budak. Kalau nak anak, pergilah minta kat bini sendiri. Dengan anak saudara sendiri pun nak merajuk. Hampeh!" kata Syabil.
"Betul, betul, betul." Celah Naufal.
Afif menjeling lelaki di sebelahnya itu. Perut Naufal disikunya, perlahan. "Kau diam. Dahlah aku nak masuk dalam. Nak jumpa isteri aku. Kau duduklah sorang-sorang kat luar ni. Kutlah ada anak dara rumah sebelah datang merisik kau nanti."
"Bye!"
Kata-kata Afif hanya masuk di telinga kanan, keluar di telinga kiri. Naufal turut bangun meninggalkan pondok kecil itu. Lebih baik dia berehat di dalam bilik. Seharian mereka berada di luar hari ini membuat tubuhnya berasa tidak bermaya. Sempatlah dia tidur satu jam sebelum masuk maghrib.
Ini kalau ibunya tahu dia tidur waktu petang, mesti pecah telinganya kena bebel.
TANGAN naik memeluk tubuh. Kepala disandarkan pada dinding dapur. Afif melihat Seroja yang tekun membuat kuih kegemarannya, karipap. Dia berasa tenang melihat gadis itu membuat kerja tetapi dalam masa yang sama dia bimbang. Isterinya itu betul-betul okey atau hanya berpura-pura?
Tangan dilingkarkan pada pinggang Seroja dan dagu direhatkan di atas bahunya. Satu kucupan diberikan pada pipi gadis itu.
"Ya Allah, Fifi! Terkejut saya." Seroja memandang Afif dengan pandangan yang penuh tanda tanya. Lelakinya itu mahu apa datang ke sini? Karipap pun belum siap dikelim.
"Kenapa?"
"Kenapa apa?" soalan Seroja dibalas dengan soalan. Afif mengeratkan lagi pelukannya.
"Kenapa datang sini? Karipap belum siap lagi," tutur Seroja.
"Ohh, saja. Nak bermanja dengan Bunga." Afif tersenyum. Hidungnya sengaja dimainkan di pipi Seroja.
"Fifi, nanti kak long masuk dapur. Janganlah macam ni," kata Seroja. Dia menjeling tajam suaminya. Nanti terkejut kakaknya melihat kemesraan mereka berdua di dapur ini. Nasiblah ketika ini umi dan abah tiada di rumah kerana pergi menziarahi adik abah di Baling.
"Tak nak," balas Afif.
Seroja mencalit tepung gandum di hidung mancung suaminya. "Degil."
"Hahaha! Yang degil tu Bunga, Afif ni seorang yang mendengar kata okey!"
Seroja turut meletuskan tawa. Ada-ada sahaja suaminya itu.
"Bunga... okey?" soalan itu tiba-tiba terpacul keluar daripada mulut Afif.
"Kalau tak okey pun, saya kena okey. Tak akanlah saya nak hidup dalam ketakutan selama-lamanya. Lagipun, ramai orang yang boleh temankan saya waktu ni. Jadi, saya kena kuatkan semangat. Kan?"
"Kalau Bunga nak menangis lagi, menangis saja pada aku. Aku selalu ada untuk seka air mata Bunga," ujar Afif pula.
"Nanti saya lap hingus dekat baju Fifi sekali. Boleh tak macam tu?" Seroja ketawa.
"Untuk isteri Afif semua boleh." Tawa mereka bergema di ruang itu.
"Ehem!" Sengaja Afifah berdeham. Kalau tidak, mereka berdua tidak sedar kehadirannya di dapur.
Afif melepaskan pelukan pada tubuh Seroja. Dia bersandar dengan santai di tepi meja.
"Eh, along. Tak ikut ke Abang Syabil vroom vroom dengan Adib?" usik Afif. Kalau seharian tidak mengganggu hidup kakaknya itu, tidak lengkap rasanya.
"Dah kenapa nak kena ikut. Baik along buat ni," balas Afifah. Tangan yang baru dibasuh dilap dengan tuala kering untuk menolong Seroja mengelim karipap.
Afif yang sedang bosan tidak tahu mahu membuat apa, turut membuat kuih itu. Dia menguli dan menimbang adunan doh. Manakala, Afifah dan Seroja mengisi doh dengan kari ayam dan memintalnya.
Siap sahaja kerjanya, teko di tempat letak pinggan diambil. Mahu membuat teh 'o' panas. Karipap sedap dimakan jika diminum bersama teh petang-petang begini. Kopi 'o' juga tidak dilupakan kerana umi dan abahnya itu minat akan kopi. Hanya anak-anaknya sahaja yang tidak minum.
"Arif! Tolong beli gula sat," arah Afif kepada adik bongsunya yang sedang mengambil barang di stor belakang. Adalah tu projek yang hendak dia lakukan. Adiknya itu otak geliga. Ada sahaja benda yang akan dihasilkan olehnya kalau keluar bertemu dengan rakan-rakan. Maklumlah, budak seni bina.
"Okey," jawabnya ringkas. Kalau dengan Afif, memang tidaklah dia mahu membantah. Mahu tulang belakangnya yang patah.
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Acción"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...