HAURA ingin bangun dan mahu meninggalkan bilik ini secepat mungkin saat dia melihat Carl sedang duduk dia atas sofa. Dia mahu pergi dari sini sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Hujan masih lagi kedengaran di luar sana namun tidak selebat tadi. Tetapi belum sempat dia berbuat demikian, pintu bilik diketuk dari luar. Dia dan Carl saling berpandangan di antara satu sama lain. Hatinya sudah mula rasa berdebar. Ditambah pula dengan keadaan Carl yang sangat meragukan. Carl pula bangun untuk membuka pintu. Dia yakin staf chalet ini datang untuk memberikan pakaian. Dia ada bermesej dengan salah seorang staf tadi. Pintu bilik dibuka, serentak wajah dua lelaki berkopiah berserta dua staf chalet yang menunduk sudah berdiri di muka pintu. Carl menggenggam penumbuk. Shit!!!
"Assalamualaikum. Maaf kami dari pejabat agama, mendapat maklumat dari penduduk kampung melaporkan yang encik sedang berdua-duaan tanpa ikatan yang sah." Jelas lelaki berkopiah itu. Tadi mereka ada menerima panggilan telefon dari seseorang. Kerana itu lah mereka muncul di chalet ini. Haura jatuh terduduk di atas lantai. Wajah ibu dan ayahnya muncul di ingatan. Ya Allah.... apa dosa dia? Carl meraup wajahnya. Permainan apakah yang sedang Haura mainkan?
Carl mematikan talian telefon. Dia baru sahaja berhubung dengan Datuk Mahmud dan Datin Rozi menceritakan hal yang telah berlaku. Bebelan Datin Rozi di talian tidak diendahkannya. Yang menjadi persoalan mengapa Haura hanya mendiamkan diri? Mengapa gadis itu tidak berusaha menjelaskan perkara yang sebenar? Dia tahu dia bersalah berduaan dengan Haura tanpa ikatan yang sah tetapi dia hanya menolong gadis itu yang pengsan di hadapan biliknya. Salahnya hanya kerana dia bertuala. Dia sudah tidak mempunyai pakaian untuk dipakai. Ini semua gara-gara staf terlupa meletakkan pakaiannya semula setelah dicuci.
Kini dia sudah sah menjadi suami kepada Haura Elina Binti Hamid. Selepas mereka ditangkap khalwat itu, terus sahaja ayah Haura menyatukan mereka berdua berwalikan wali hakim. Atas sebab apa dia tidak pasti, tetapi melihat pada wajah ibu dan ayah Haura boleh dia katakan Haura merupakan anak angkat pasangan suami isteri tersebut.
Haura duduk berteleku di beranda rumah. Dia hanya mengenakan sepasang baju kurung rona kuning. Tiada busana rona putih yang diimpikan jika dia bernikah. Selendang masih melilit kepalanya. Hatinya turut menangis. Sejak kejadian tadi ibu dan ayahnya sudah menjauhkan diri daripadanya. Sudah puas dia memohon ampun dan maaf. Jam sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Pegawai dari pejabat agama juga sudah lama pulang. Kini hanya dia, Carl, ibu dan ayahnya beserta beberapa orang kampung. Yang lagi pelik mengapa Puan Badriah dan Mirza turut berada bersama. Masing-masing sudah mula beredar.
Puan Badriah berdiri di hadapan Haura. Gadis itu masih menangis.
"Mak bersyukur kamu tidak jadi kahwin dengan Haura. Mak tahu Haura ini bukan dari keturunan yang baik!" Bentak Puan Badriah tidak peduli akan Puan Laila dan Encik Fuad. Dia puas. Tadi dia lah yang menelefon pejabat agama memaklumkan akan Haura dan lelaki itu berduaan di dalam bilik. Dia nampak Carl mendukung Haura masuk ke dalam bilik.
"Mak... apa ni?" Soal Mirza. Mengapa emaknya perlu memulakan sengketa?
"Apa maksud kamu Yah?" Encik Fuad pula menyoal. Entah mengapa tiba-tiba wanita itu berkata sedemikian. Carl hanya mendiamkan diri di bawah rumah.
"Abang Ad tak tahu ke si Haura dengan si Mirza ni dah lama bercinta?"
Puan Laila merenung tajam ke arah Puan Badriah. Jadi selama ini cerita yang didengarinya itu memang benar?"Mak, sudah la tu." Mirza berusaha menarik emaknya pulang. Dia tidak mahu emaknya menambah bara yang sedia ada. Cukup lah dengan apa yang sudah berlaku.
"Kamu diam Mirza! Biar mak luahkan semuanya hari ni. Sebenarnya dari dulu lagi Yah tak berkenan dengan budak Haura ni. Yah tak nak dia jadi menantu Yah. Yah nak wanita yang baik akhlak dan keturunannya. Yah tak nak menantu Yah dari kalangan orang yang tidak tahu asal usul!"
"Yah!!!" Jerkah Encik Fuad.
"Orang yang kamu mengata tu adalah anak aku. Anak aku dari hubungan yang sah! Kalau kamu tak percaya kamu boleh tengok surat beranak dia. Aku didik anak aku baik-baik Yah. Aku bagi dia didikan agama yang cukup. Cuma mungkin ni balasan Allah dari kesilapan aku yang lalu." Dia tidak suka orang ramai menyalahkan Haura. Haura lahir daripada ikatan perkahwinan yang sah.
"Kalau anak abang Ad baik tak adalah dia perangkap anak orang kaya tu dan tinggalkan Mirza!"
"Mak!!!" Jerit Mirza. Dengan kekuatan yang ada dia menarik emaknya pulang. Puan Badriah tersenyum puas. Kini Haura sudah berkahwin dan dia boleh menarik nafas lega. Mirza sudah lelah dengan perbuatan emaknya itu. Dia tidak menyangka emaknya akan membongkarkan ikatan dia dengan Haura dulu.
Haura bangun mendapatkan ibunya yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
"Ibu... demi Allah bu Rara tak perangkap lelaki ni ibu. Demi Allah..." tangan Puan Laila cuba diraihnya namun ibunya menolak tidak mahu disentuh.
"Ayah, demi Allah Rara tak perangkap dia ayah. Tolong percayakan Rara." Haura merayu pada keduanya dia tidak mahu mereka percaya dengan setiap apa yang diceritakan Puan Badriah.
"Betul kamu bercinta dengan Mirza?" Soal Puan Laila. Dia inginkan kepastian. Haura terdiam. Dia tidak tahu samada mahu mengaku atau sebaliknya.
"Aku tanya betul ke kau bercinta dengan Mirza!!!" Jerkah Puan Laila. Selama ini tidak pernah ibunya beraku kau. Air matanya laju mengalir.
"Be.... be...betul ibu." Jawab Haura tergagap-gagap. Ya, akhirnya dia berterus terang dengan kedua ibu bapanya. Hatinya terasa lega. Selama ini dia menyimpan semuanya sendiri. Carl merenung tajam ke arah isterinya. Jadi apa yang dikatakan wanita tadi adalah benar? Haura meninggalkan Mirza dan memerangkap dirinya hanya kerana harta? Carl tersenyum sinis. Cantik belum pasti sempurna.
Puan Laila masuk ke dalam rumah, sesaat kemudian dia muncul bersama beg di tangan. Tubuh Haura diseret hingga ke bawah. Beg pakaian itu dilemparkan ke tanah. Dia sudah nekad. Tergamak Haura menipu dirinya selama ini. Kerana harta, Haura sanggup berbuat sedemikian. Tidak cukupkah dengan apa yang mereka ada selama ini?
"Ibu, jangan buat Rara macam ni ibu. Rara merayu. Demi Allah Rara tak perangkap dia." Kaki Puan Laila dipeluk kuat. Encik Fuad hanya mampu memandang. Hatinya juga turut terluka. Tergamak Haura memalukan dan menduakan mereka.
"Mulai hari ni, kau bukan lagi anak aku. Aku tak ada anak yang malukan aku sampai macam ni sekali. Aku dah tak nak tengok muka kau lagi. Sekarang berambus dari sini! Jangan sesekali kau jejakkan kaki dekat rumah aku!!!" Puan Laila menarik tangan suaminya masuk ke dalam rumah. Dan pintu dikunci rapat. Tidak diendahkan tangisan dan pujuk rayu anaknya. Hatinya hancur lumat hanya kerana Haura. Kurangkah kasih sayang terhadap Haura? Tidak cukupkah didikan yang mereka berikan kepada anaknya itu?
Haura sudah meraung kuat. Dia tidak kuat untuk menerima semua ini. Dia tidak bersalah.
"Allah..... ibu Rara merayu ibu. Tolong Rara bu. Rara tak salah bu. Tolong buka pintu ni ibu. Ibu...."
Sekuat mana pun dia merayu pintu masih tidak dibuka. Dia terduduk di beranda rumah. Tegarnya hati Puan Badriah melakukan ini semua terhadap dirinya. Menuduh dia melakukan perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Meskipun dia miskin, dia tidak akan sesekali menggadaikan maruahnya! Tanpa Encik Fuad dan Puan Laila siapalah dia.....
YOU ARE READING
Takdir TERCIPTA
Romans( 2nd story ) Mereka dipertemukan dalam keadaan yang mengaibkan. Dan diatas kesilapan itu, dia dihukum tanpa sempat dirinya adili. 'Perempuan macam kau hanya sesuai digantung tak bertali. Kau tak layak hidup bahagia setelah apa yang kau buat dekat a...