Malam itu, Nadia tidak dapat melelapkan matanya. Lantas dia bangun dari katilnya. Matanya meliar, melihat segenap biliknya. Jam digital di meja sisi katil diliriknya. Sudah jam 2.24 pagi. Empat jam sudah berlalu dan dia masih belum tertidur setelah pulang berjalan di bandar.
Otaknya masih kusut memikir susuk yang mengintainya di badan tadi.
“Aku yakin memang ada yang pandang aku tadi. Tapi siapa?” Dia merebahkan balik badannya. Badannya bergolek ke sini sana, cuba untuk tidur kembali. Namun gagal.
Dia terus turun daripada katilnya. Diregang-regangkan tubuhnya. Jam tangan di meja sisi itu dipakai. Kakinya melangkah ke almari, pakaian silatnya dicapai. Pakaian tidurnya diganti. Kemudian, pintu dipulas perlahan. Dia mengerling sekitarnya. Semestinya keadaan rumahnya suram gelita sekarang. Namun dia tidak kisah, terus melangkah keluar daripada biliknya.
Langkahnya laju menuju ke tujuannya. Pintu bilik itu dipulas. Suis lampu diketiknya. Serta-merta terserlah isi ruangan itu. Itu bilik latihan tertutup, yang semestinya ibunya kerap menggunakan bilik itu perkasakan persilatannya. Nadia tahu tentang bilik ini sejak semalam, ketika dia menyelinap seperti ini – merayap segenap rumah ketika yang lain tertidur pulas.
Terdapat banyak peralatan di situ – semestinya ada juga senjata tajam tersedia. Kagumnya lagi, ibunya masih menyimpan kain cindai pemberian nendanya sehingga kini.
Nadia melakukan pemanasan badan lalu tubuhnya terus lincah bergerak – mengeluarkan segala ilmu silatnya.
Setelah puas bergerak bebas, dia kemudian mengambil kayu yang disusun rapi di sisi ruangan. Diukur dahulu kepanjangan kayu itu mengikut tingginya. Saiz yang selalu digunakannya lebih kurang empat jari bawah bahunya. Namun semua kayu itu panjangnya tidak sesuai keinginannya.
“Alah… Tak ada pula saiz yang aku nak…” keluhnya. Matanya meliar memandang senjata lain yang tergantung di dinding. Namun matanya tiba-tiba membulat memandang jam dinding.
“Alamak- Dah pukul 4.35? Balik bilik dululah.” Laju dia berlari anak ke pintu bilik itu. Dia menekan suis lampu – ruangan kembali gelap seperti sebelumnya. Pintu dipulas perlahan, dia mengerling sekeliling sekali lagi – memastikan tiada sesiapa yang bangun ketika itu.
Setelah dia rasa selamat, barulah dia meninggalkan bilik lalu kembali ke bilik tidurnya.
Masuk sahaja ke biliknya, terus dia membersihkan diri lalu terus duduk di sisi katil. Secara langsung dia menguap – barulah terasa mengantuk. Jam meja dilirik, hampir jam 5.10 pagi. Dia bangun kembali untuk mengambil wuduk. Sejadah dibentang, kain telekung disarungkan. Takbir diangkat, dia menunaikan solat fardu Subuh. Seusai selesai, barulah dia merebahkan badan ke katil. Langsung dia tertidur pulas bersama-sama kain telekung.
YOU ARE READING
Rahsia Di Sebalik Kembali
ActionRAHSIA DI SEBALIK KEMBALI Nadia Adila, seorang remaja biasa yang asalnya tinggal bersama datuk dan nendanya, Tok Omar dan Nek Na di kampung. Genap tiga tahun dia tinggal bersama kedua orang tua itu, ibunya, Raudhah kembali membawanya pulang ke tanah...