"JANICE,"
Gadis bermata sepet yang sedang mengesat gincu di tepi bibirnya menoleh ke arah rakannya yang diberi nama Sephia Jane itu. Sejak tengahari tadi lagi dia perasan, Sephia kelihatan muram saja. Ada juga niat mahu bertanya, tetapi takut pertanyaan itu malah menyinggung hati seorang lain rakannya, Izara, yang selalunya sama-sama duduk semeja dengan dia dan Sephia. Cumanya Izara belum sampai lagi. Ada kesesakan lalu lintas agaknya.
Sempat Janice berfikir, angin Sephia kurang baik disebabkan kejutan Izara buat Nael semalamkah? Janice percaya Sephia tiada apa-apa perasaan terhadap Nael, tetapi tipulah kalau hubungan antara Izara dan Nael takkan menjejaskan tali persahabatan Sephia dan Nael. Wajarlah kalau dia merasa sedikit kehilangan meski baru sehari berlalu.
"Mesti dia ingat aku bodohkan?" Ucap Sephia, masih termenung jauh.
Janice meletakkan tisu bernoda merah yang dia renyuk-renyukkan ke atas meja. Dia mahu memberi jawapan tetapi atas dasar apa tutur kata Sephia yang satu itu? Dia berperang dingin dengan Nael lagikah? Atau... 'dia' yang dimaksudkan itu langsung tiada kena-mengena dengan Amar Nael?
"Kita cakap pasal siapa ni?" Tak mahu pening kepala, Janice terus bertanya; alang-alang sementara Izara masih tiada.
"Nusayr." Jawab Sephia.
Janice menghembus nafas lega. Oh... Amar Nusayr! Baguslah kalau tiada kaitannya dengan Nael. Meski usia persahabatannya, Sephia dan Izara belum sampai satu semester, tetap saja akan merunsingkan kepala jika ada di antara mereka yang bermasam muka kerana hal sepele; cinta.
"Kenapa dia nak fikir macam tu?" Tanya Janice lagi.
Sephia mengeluh panjang dan terus menongkat dagu. Pandangannya masih tertala ke barisan motosikal yang diletakkan berhampiran meja yang mereka duduki. Tiba-tiba, dia teringat semula penghujung sesi kelas tambahannya bersama Nusayr di bangunan milik Wildlife Guardians pagi tadi.
Sambil menikmati sarapan pagi di kafeteria syarikat itu, dia mengerjakan tugasan daripada Nusayr berkenaan satu eksperimen. Tapi ulangkajilah sehabis mana pun, benaknya tetap tak boleh 'menghadam' soalan yang dicetak pada sekeping kertas itu. Nusayr pula semestinya perasan Sephia sedang 'bergelut' dengan otaknya yang lembab.
"So? Dia suruh kau bawa balik, cuba jawab kat rumah?" Soal Janice.
Sephia menggeleng. "Dia kata dia nak jumpa lepas kelas nanti. Mungkin nak sambung jawab soalan tadi."
Janice mengangguk faham tetapi tetap saja dia kurang faham mengapa Sephia tiba-tiba membuat kesimpulan sendiri yang Nusayr menganggapnya bodoh. Sephia murid, Nusayr pula guru. Bukankah normal untuk seorang murid berpengetahuan cetek? Lalu bukankah memang tugas seorang guru untuk menyampaikan pengetahuannya yang luas kepada murid? Jadi apa yang tidak normal dalam situasi itu sampaikan Sephia berfikir dirinya begitu kecil jika hendak dibandingkan dengan Amar Nusayr?
"Aku dahlah tak cerdik, tak cantik pula tu." Sephia menyandarkan dahinya pada permukaan meja lalu dengan suara yang tenggelam, dia menyambung "Mesti dia tak suka akukan?"
Janice tak dapat menahan keluhannya. Belakang Sephia dia usap perlahan. Hanya itu cara yang dia tahu untuk menenangkan Sephia. Mahu berlebihan dalam berkata-kata pun dia sendiri belum pernah berada di tempat Sephia; jatuh suka yang serius kepada seseorang. Setakat jatuh suka buat lima detik, adalah. Tapi untuk serius, rasanya lambat lagi.
Deruman enjin motor memeranjatkan mereka berdua. Sephia yang masih mengenang nasib pun turut mendongak dan menoleh ke arah sebuah motosikal Yamaha GT50. Pemiliknya semestinya Amar Nael. Di kampus mereka, memang hanya Nael seorang yang menunggang GT50 tetapi hari itu, dia tak datang bersendirian. Ada penumpang yang rangka tubuhnya jauh lebih kecil dibandingkan dengan Nael.
YOU ARE READING
OVERRATED
Teen FictionSephia Jane sudah lama menaruh hati terhadap jirannya yang pendiam, Amar Nusayr. Nekad mahu memenangi hati jejaka itu, dia sampaikan sanggup menyambung pelajaran dalam Environmental Science, bidang yang sama Amar Nusayr pernah ceburi. Usahanya tak s...