"FAL, cepatlah! Apa yang lama sangat bersiap tu?" laung Hud dari tingkat bawah. Jam yang tergantung di dinding dipandang buat kali yang ketiga. Kemudian, keluhan kecil dilepaskan. Orang perempuan ni kalau bersiap, bagi 10 jam pun tak cukup!
Kemudian, kepalanya dialihkan semula memandang lelaki yang sedang duduk berhadapan dengannya.
"Tak apalah, bang. Biasalah orang perempuan. Nanti-nanti dia turunlah tu. Lagipun saya yang sampai awal. Kesian Falia, tak sempat nak bersiap." Ihsan bersuara menyebelahi gadis itu apabila Hud tidak berhenti-henti menggesa Falia supaya turun. Kasihan pula dia pada gadis itu.
"Kau tak payah nak menangkan sangat adik aku tu. Selagi aku tak jerit suruh dia turun, selagi tulah dia bersiap tak ingat dunia. Lagipun kau sampai on time, dia je tak siap-siap lagi. Sabar jelah eh, Ihsan?" bebel Hud kepada lelaki itu.
Terlukis senyuman di bibir Ihsan.
Bebelan Hud itu benar-benar membuatkan dia terhibur. Rasa kelakar pun ada. Padahal dia langsung tak complain walau sepatah perkataan sekali pun. Hud je yang tak berhenti membebel dari tadi.
"Tak apa, bang. Saya okey je tunggu. Serius. Lambat macam mana pun saya tetap akan tunggu," balas Ihsan sambil mengangkat secangkir teh yang dihidang buatnya. Sementara menunggu gadis itu bersiap, bolehlah dia membasahkan tekak dengan air teh yang dibancuh oleh Hud.
"Untung Fal dapat boyfriend yang memahami macam kau ni. Kalau lelaki lain ni, confirm dah kena tinggal."
Ihsan hanya senyum, tidak tahu mahu membalas apa.
"By the way, abang tak nak ikut sekali ke? Jomlah. Lagi ramai, lagi meriah," ajak Ihsan. Dia lebih daripada gembira andai lelaki itu sudi mahu mengikutnya menghadiri majlis yang diadakan di rumahnya.
"Abang boleh ikut ke?" Dengan teruja Hud menyoal.
"Eh, mestilah boleh. Kalau abang nak ikut, naik sekali dengan Ihsan jelah. Nanti balik Ihsan hantar."
"Kalau ikutkan hati abang, sekarang juga abang nak pergi. Tapi abang minta maaf sangat-sangat sebab abang dah ada plan dengan kawan nak keluar petang ni. Next time kalau ada rezeki abang pergi," balas Hud sebelum membuka telefon pintarnya untuk memeriksa notifikasi yang baru sahaja masuk.
Walaupun hati kecilnya ingin menyambut ajakan lelaki itu, namun disebabkan janji yang sudah dibuat bersama rakannya, terpaksa juga dia menolak. Tak best pula rasanya kalau cancel plan tiba-tiba macam ni.
Niat Ihsan untuk membalas kata-kata Hud itu terbantut apabila haruman minyak wangi yang dipakai oleh seseorang menusuk ke dalam hidungnya. Dia terus mengangkat kepala mencari si pemakai minyak wangi yang berjaya mencuri tumpuannya itu.
Apabila matanya sudah terkunci pada empunya badan, mulutnya perlahan-lahan terbuka apabila dia terpesona melihat penampilan gadis itu yang kelihatan sedikit berbeza daripada penampilan yang biasa dia lihat sebelum ini.
Matanya benar-benar terpukau melihat kemanisan gadis itu.
"Cantiknya..." Spontan perkataan itu keluar dari mulut Ihsan. Dengan gaun yang dihiasi corak bunga-bunga kecil berwarna pastel, ditambah dengan sweater berwarna kuning lembut dan dipadankan dengan sling bag sudah cukup membuatkan Ihsan terpukau. Tambah pula, ini kali pertama dia lihat gadis itu menggayakan rambut dengan gaya french braid di kiri dan kanan rambutnya.
"Thank you, tapi okey ke I pakai macam ni? Tak pelik ke?" Dengan teragak-agak Falia menyoal Ihsan. Bukan apa, dia takut jika pakaiannya tidak sesuai dengan majlis yang akan dihadirinya. Lagipun, Ihsan langsung tidak memberitahu tema pakaian yang sepatutnya dipakai olehnya.
YOU ARE READING
𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘
RomancePrinsip wanita itu satu sahaja. Dia tidak mahu terlibat dengan mana-mana dunia percintaan, berkahwin apatah lagi. Hidup ini sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika hidup tanpa pasangan. Kan lagi seronok hidup bebas tanpa perlu bergantung pada sesia...