"AKU nak melamar kau, Kayra!"
Mataku membuntang memandang wajah tampan di hadapanku. Habis semua pelanggan memusatkan pandangan ke arah kami. Sudah seperti kami buat jenayah pula di sini.
Nasi berlauk masak merah ayam yang telah siap dibungkus itu, kuhulurkan kepada mak cik yang sedari tadi menunggu pesanannya. Senyuman janggal diukir tatkala melihat cara tatapan mak cik merenung kami berdua. Haih mak cik, cara tengok tu lain maciam.
Aku jeling lelaki disebelahku ini, boleh pula dia tayang senyuman tak bersalah. Rasa macam nak tonyoh saja lauk masak merah ni dekat muka dia. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba datang melamar depan kedai aku juga. Kang tak pasal-pasal mak cik ni fikir bukan-bukan pasal aku.
"Amboi, segak betul ya laki kamu ni! Cepat-cepatlah kahwin ya. Mak cik doakan yang baik-baik aja!" Tersengih saja aku mendengar ucapan dari mak cik. Kelat lidah hendak membalas. Mana mungkin aku dan lelaki ni berkahwin.
Setelah memastikan bayangan mak cik itu berlalu pergi, aku langsung mengheret lelaki itu ke tempat yang agak jauh dari pelanggan.
"Kau buang tebiat ke, Fawwaz? Datang terjah tanpa salam, tiba-tiba melamar!"
"Betullah aku nak melamar kau!" Katanya dengan bersungguh.
Besar kecil, besar kecil sahaja mataku memandang dia dari atas hingga bawah. Mamat ni sudahlah pakai baju helok mengalahkan artis. Dengan baju turtleneck hitam dipadankan bersama seluar bercorak kotak berwarna Khaki. Tak ubah seperti pemakaian ala-ala artis Korea. Tak boleh tahannya cermin mata hitam yang tergantung elok di batang hidung. Fulamak, macam mana tak pancing perhatian orang ramai kalau begini gayanya? Tak silap haribulan nanti keluar gosip tentang aku dilamar oleh artis tak bernama.
"Cakap. Apa yang kau nak sebenarnya? Aku bukan baru kenal kau sehari."Aku memandang dengan sebelah mata sambil tangan memeluk tubuh. Kahwin dengan mamat otak sengal ni? Mustahil terjadi sebab dia dan aku adik beradik susuan. Dari segi hukum saja sudah haram, apalagi yang dapat memungkinkan?
"Cik Kayra memang paling cerdas dan bijaksana. Macam tahu-tahu saja hamba datang ingin melamar Cik untuk—"
"Kalau pasal tawaran jawatan daripada orang tua tu. Sorry, aku tak berminat. Kau boleh balik sekarang." Laju aku mencantas ayatnya lalu kaki diorak kembali ke kaunter. Aku perasan bayang Fawwaz mengekori aku dari sisi. Haish, mamat ni tak faham bahasa melayu agaknya.
"Sampai bila kau nak berniaga sahaja? Kalau kau terima jawatan tu bukan setakat gaji tinggi yang kau dapat, pelindungan pun kau dapat, Villa sebuah pun kau dapat. Apa yang tak cukup lagi? Ke kau tolak tawaran ni sebab kau bencikan orang tua tu?"
"Aku rasa yang bencikan orang tua tu kau, bukan aku. Entah-entah setiap hari kau dengan dia masih bertekak lepas aku dah tarik diri. Yalah siapa yang nak hentikan kauorang kalau bukan aku."
"Tak payah cakap, asal nampak muka aku je ada je yang dia tak puas hati." Fawwaz memeluk tubuh lalu menyandar punggung pada meja.
"Sudah tu, kau tolak tawaran sebab apa?"
"Entah. Aku cuma tak tertarik dengan tawaran tu. Aku selesa dengan kehidupan aku sekarang." Balasku sambil tangan cekap membungkus makanan-makanan yang dipesan dari dalam talian. Selain daripada membuka kedai di tepi jalan, aku juga berniaga di dalam talian melalui aplikasi Fooder. Dengan cara ini aku dapat menarik lebih ramai pelanggan sekaligus memudahkan mereka yang mahu membeli jualanku.
Sudah genap dua tahun aku membuka kedai makan yang beroperasi tengah hari hingga petang. Alhamdulillah duit yang aku dapat daripada hasil kerja cukup untuk menampung kehidupan seharianku.
YOU ARE READING
Rahsia di bawah Rembulan
ActionTajuk: Andai Rembulan Berbicara/Bayang-bayang malam "Bulan itu tetap terang meminjam cahayanya walaupun di tengah kegelapan. Bila aku fikir begitu, baru aku tersedar. Masih ada peluang untuk kita mencari ketenangan meskipun sekeliling kita penuh den...