"Kejap lagi Aisyah balik. Hanif boleh lah kenal-kenal dengan Aisyah kejap lagi"
Asma yang dari tadi sibuk dengan menyediakan makan petang buat Hanif turut menunggu kepulangan Aisyah dari Tadika Seri Murni.
"Makcik tak payah la masak banyak-banyak. Saya pun ada beli kuih tadi. Nanti membazir pula," kata Hanif.
"Halah, apa lah sangat... Tak ada susah pun. Makcik gorengkan bihun aje. Meh-meh, jemput makan dulu sementara tunggu Aisyah," ajak Asma.
"Boleh lah saya makan dulu. Perut pun dari tadi dah berkeroncong. Bau je bihun goreng makcik ni, terliur saya dibuatnya," balas Hanif selamba.
Asma hanya tersenyum melihat gelagat Hanif yang laju sahaja melabuhkan punggung di kerusi.
"Bihun ada, ayam goreng ada. Ambil lah apa yang Hanif nak makan," ajak Sama sambil menghulurkan pinggan ke arah Hanif.
Laju sahaja tangan lelaki itu mencedok bihun goreng dan mengambil seekor ayam.
"Ya Allah, sedapnya makcik masak ni. Patut lah jualan makcik laku. Sedap teruk ni," puji Hanif.
Sejuk pula hati Asma apabila makanan dipuji sebegitu. Bukan selalu masakannya dipuji. Memerah pula wajahnya apabila Hanif memuji masakan ala kadar Asma.
"Makan lah. Jangan asyik puji je. Merah-merah muka makcik kamu buat ye, Hanif," ujar Asma tersipu malu.
Sedang menunggu Hanif siap makan, Asma sekejap-sekejap melihat jam di dinding. Risau juga jika Aisyah masih tak pulang sedangkan waktu bekerja anak perempuannya itu hanya dari jam 6 pagi hingga 5 petang.
"Aisyah ke mana ye agaknya? Sepatutnya pukul 5.30 petang tadi dah balik rumah dah," kata Asma.
"Ada urusan dekat tadika lah tu," balas Hanif selamba sambil mengunyah bihun goreng.
"Biasanya Aisyah akan bagitahu kalau ada apa-apa urusan dekat tadika. Tapi dari tadi Aisyah tak telefon pun," kata Asma lagi.
Dia bangun dari duduknya. Baru sahaja tangan ingin mencapai telefon yang diletakkan di atas meja kopi, derapan kaki Aisyah menaiki anak tangga jelas kedengaran.
"Assalamualaikum," ucap Aisyah perlahan.
"Waalaikumussalam. Lambat balik, Syah? Ada urusan ke dekat tadika?" Tanya Asma.
"Tak. Aathif singgah tadi dekat tadika. Dia hantar makanan," jawab Aisyah selamba.
Wajah Asma berkerut. Hanif yang mendengar hanya diam tak berbicara. Ini merupakan kali pertama dia jejak kaki ke dalam rumah Asma, takkan dia dengan selamba badak je nak soal menyoal Aisyah?
"Siapa ni?" Tanya Aisyah. Bungkusan makanan diletakkan di atas meja.
Segelas cawan diambil dan diisi dengan kopi kemudian diteguk dua tiga kali untuk menghilangkan haus.
"Ni Hanif. Bakal suami kamu"
Tersedak Aisyah mendengar jawapan daripada Ibu. Cawan yang berisi air kopi diletakkan kembali.
"Hah?"
"Bakal suami kamu. Nama dia Hanif. Doktor praktikal dekat klinik baru kampung kita ni," kata Asma.
Membuntang mata melihat Ibu yang menepuk-nepuk bahu Hanif. Apakah? Biar betul? Tercegat Aisyah melihat Hanif yang tersenyum memandang dirinya.
"Ibu ikut Aisyah masuk dapur kejap," ujar Aisyah sambil laju melangkah turun ke dapur.
"Nanti makcik datang balik," kata Asma kepada Hanif.
"Dah kenapa, Syah?" Tanya Asma.
"Apa semua ni? Ibu tahu Aisyah tengah bercinta dengan Aathif. Yang Ibu bawa entah siapa-siapa masuk rumah kita ni, dah kenapa?" Tanya Aisyah.
"Ibu tak suka Aathif. Kalau nak dibandingkan, Hanif lagi bagus dari lelaki tu. Dah lah kerja pun tak ada, siapa nak sara Aisyah kalau Aisyah berkahwin dengan Aathif?" Balas Asma.
"Itu bukan urusan Ibu. Aisyah tak pernah pun nampak Hanif dekat mana-mana klinik, tiba-tiba Ibu kata dia doktor? Aisyah tak nak si Hanif tu," putus Aisyah. Tubuh dipeluk tanda protes.
"Aisyah nak ke Aisyah tak nak ke, Ibu tak peduli. Ibu dah berkenan dengan Hanif. Lagipun, Hanif dah ada semua. Ada rumah, ada kereta, ada kerja, ada pendapatan. Tak macam Aathif. Kosong," balas Asma.
"Ibu! Aisyah tak nak Hanif. Tu keputusan muktamad Aisyah," kata Aisyah sebelum berlalu pergi.
Dia perlu berterus terang dengan Hanif. Dan sejurus selepas Hanif keluar dari rumah, dia perlu beritahu Aathif pula.
"Hanif, aku nak bercakap dengan kau sekejap," kata Aisyah. Riak wajah langsung tidak mesra.
"Ada apa?"
"Ikut aku"
Aisyah mula menuruni anak tangga menuju ke halaman rumah diikuti Hanif dari belakang.
Sejujurnya, dia tak berkenan betul dengan Hanif. Entah mengapa, ada satu vibe buatkan Aisyah rasa ingin menjauh daripada Hanif.
"Aku dah ada boyfriend," kata Aisyah sambil memeluk tubuh sendiri.
"Okay. Lepastu?" Tanya Hanif, kurang faham.
"Lepastu, aku nak kau kata dekat Ibu yang kau tak suka aku. Aku tak nak kau..."
"Tapi, aku suka kau," pintas Hanif.
"Aku tak peduli. Aku akan berkahwin dengan boyfriend aku dan aku tak nak kau jejak kaki dalam rumah ni lagi," balas Aisyah.
Sepasang mata Hanif ditenung dalam, mengharapkan yang Hanif akan setuju dengan apa yang dia cuba sampaikan.
"Tak boleh. Apa kurangnya aku dengan Aathif?" Tanya Hanif.
"Ouh, so kau tahu nama boyfriend aku? Bagus. Aku pilih Aathif daripada kau. Aku dah bercinta dengan dia sejak sekolah menengah lagi. Kitaorang pun dah buat keputusan untuk berkahwin tahun ni. Jadi, please. Aku harap kau faham kenapa aku tak nak kau," jawab Aisyah.
Hanif diam sejenak. Dia cuba untuk bertenang. Dia faham, mungkin ini kali pertama dia berbicara dengan Aisyah, dan ketara sungguh yang Aisyah sendiri masih sayangkan teman lelakinya.
"Aku boleh buatkan kau bahagia, Aisyah. Aku dah ada rumah, dah ada kerjaya. Aku janji, hidup kau tak akan sia-sia kalau kau kahwin dengan aku," janji Hanif.
"Cukup, Hanif. Aku tak minat kau. Aku hanya sayangkan Aathif seorang sahaja," bentak Aisyah.
"Okay, fine. But, you're going to regret this. Just wait and see," ugut Hanif perlahan.
Langkahnya diaturkan ke arah kereta. Hatinya membara. Dia perlu berjumpa dengan Aathif.
"Hanif, Hanif nak ke mana tu?"
Asma yang dari tadi hanya melihat dari atas, segera turun mendapatkan Hanif. Gerak kaki lelaki itu cukup membuatkan dia tahu yang Hanif mahu balik.
"Biarkan dia, Ibu," ujar Aisyah, menghalang Asma dari memujuk Hanif.
"Kamu cakap apa dengan dia, Syah?" Tanya Sama.
"Aisyah bagitahu apa yang perlu dia tahu. Lepasni, ibu jangan pandai-pandai nak aturkan calon suami untuk Aisyah. Jangan sampai Aisyah lari rumah dan kahwin dengan Aathif dekat mana-mana," ugut Aisyah.
Aisyah mula menaiki tangga dan terus masuk ke dalam bilik. Telefon digapai untuk menelefon Aathif.
"Astaghfirullah hal azim," balas Asma.
Sampai begitu sekali Aisyah membuat keputusan. Hanya disebabkan seorang lelaki, anaknya itu sanggup mengugut untuk lari dari rumah.
Dia perlu membuat sesuatu. Dia perlu satukan anak perempuannya itu dengan Hanif. Baginya, siapa lagi yang boleh menjaga Aisyah dengan baik kalau bukan calon suami yang Asma sendiri pilih?