Kamal mundar-mandir di kaki lima dewan bersalin Hospital Alor Setar. Penat berdiri, dia duduk. Penat duduk dia berjalan. Berkecamuk fikirannya. Apakah yang sedang berlaku?
Orang ramai yang keluar masuk dengan urusan masing-masing tidak dihiraukan. Dia hanya memikirkan keadaan isterinya. Kenapa kali ini lain macam pula keadaan isterinya? Tidak seperti selalu. Anak mereka sudah tiga orang, mudah sahaja bersalin. Cukup bulannya. Tiada masalah.
Kamal terjengah-jengah ke dalam dewan bersalin setiap kali pintu di luar terbuka. Tidak kelihatan sesiapapun. Anak-anak di rumah sudah disuruh tidur, usah menunggu. Tidak tahu pukul berapa Dahlia akan melahirkan.
Kamal menyandar di kerusi yang terletak di ruang legar dewan bersalin itu. Dia baru saja balik dari Kuala Lumpur. Mereka sama-sama menikmati makan malam yang dimasak sendiri oleh isterinya. Takkanlah keracunan makanan pula? Dia juga makan makanan yang sama, tiada pula ada tanda-tanda keracunan. Anak-anak juga begitu.
Allahuakbar! Apa yang berlaku? Semoga anak-anak duduk baik-baik di rumah. Allahuakbar! Dia terlupa hendak telefon orang tuanya dan mentuanya. Mereka perlu tahu keadaan Dahlia.
"En. Kamal Ariffin, Kamal Ariffin!" panggil seorang perempuan.
Kamal mengangkat tangan dan berjalan mendekati seorang perempuan muda yang berpakaian berwarna biru tua itu. Tertulis namanya Dr. Haslina.
"Saya Kamal Ariffin, doktor," kata Kamal memperkenalkan diri. Rambutnya yang tersisir rapi dibetulkan lagi dengan jari-jemarinya.
"Encik kena tandatangan surat izin bedah isteri encik. Kami terpaksa bedah sebab kandungan masih tidak cukup bulan dan bayi tiada kederat nak bantu proses bersalin normal. Keadaan ibu pula sangat lemah," cerita Dr. Haslina.
Kamal terdiam. Bedah?
Sudah tiga kali isterinya melahirkan anak, isterinya tidak pernah dibedah. Apa masalahnya? Kalau menurut Dr. Haslina, sebab anaknya tidak cukup bulan. Berkerut dahinya. Terasa berat kepalanya. Dalam fikiran sudah timbul macam-macam persoalan.
Dia terlupa bertanya, berapa lama isterinya akan dibedah. Hari semakin larut malam. Selama mana dia harus menunggu di situ. Tubuhnya terasa letih, matanya sudah mengantuk. Anak-anak di rumah entah jadi apa. Kenapalah masa ini pula nak bersalin. Tak boleh ke tunggu esok ke, lusa ke, bebel Kamal dalam hati.
"Tunggu isteri bersalin ke dik?" soal seorang lelaki yang duduk di kerusi berhampiran Kamal.
"Ya bang! Anak keempat, kena bedahlah pula sebab tak cukup bulan. Baru tujuh bulan," cerita Kamal.
"Alahai, kesiannya kena bedah. Kalau bedah susah nak jaga ketika pantang. Takut-takut terkasar sikit, jahitan terbuka," sampuk seorang perempuan yang duduk di sebelah lelaki tadi.Kamal mengerut dahi. Takut pula dia mendengar cerita perempuan itu.
"Ya dik, boleh menanah, berdarah, ada yang mati kerana terkena jangkitan kuman. Kalau bedah memang kena jaga betul-betul," cerita seorang lagi perempuan yang duduk sebaris dengan lelaki dan perempuan itu tadi.
Semakin takut Kamal mendengarnya.
"Boleh bawa mati ya?" soal Kamal. Ingin tahu lebih lanjut."Bersalin normal lebih mudah jaga berbanding bersalin melalui pembedahan dik. Tapi kalau ada masalah, tak boleh buat apalah. Macam kes adiklah," kata lelaki itu lagi.
"Kenalah jaga isteri itu betul-betul dik. Dia yang melahirkan anak-anak untuk kita. bertarung nyawa tu. Umpama leher di hujung tanduk. Boleh mati tiba-tiba sebab terkena jangkitan pada luka pembedahan kalau tak jaga betul-betul," nasihat perempuan itu kepada Kamal.
Kamal hanya tersenyum dan mengangguk perlahan. Terasa berserabut kepalanya. Susah nak jaga isterinya nanti. Sebelum ini, dalam pantang isterinya jaga diri sendiri. Selepas bersalin sahaja, isterinya sudah masak sendiri, jaga anak sendiri. Tiada masalah. Anak-anak sihat saja.Isterinya masih berurut, jaga makan minum. Masih makan ubat akar kayu. Masih berbengkung, bertungku. Itu ketika bersalin normal. Bagaimana kalau dibedah? Dengar cerita ketiga-tiga orang itu membuatkan tubuhnya berasa seram sejuk.
"Jangan risau sangat dik. Doakan yang baik-baik saja, ya," nasihat lelaki itu.
Kamal mengangguk. Dia tidak risau. Dia cuma bimbang saja. Uh!Dua jam berlalu begitu saja. Entah berapa kali dia terlelap dan terjaga. Orang yang duduk di kerusi itu juga sudah bertukar beberapa kali. Hanya dia yang tidak bergerak-gerak lagi. Kamal melihat jam di tangannya. Sudah pukul 1.00 pagi.
Kelibat isterinya masih tidak kelihatan. Lama lagi ke? Keluh Kamal.
Sebaik sahaja pintu dewan bersalin itu terbuka, besar mata Kamal, panjang lehernya menjengah, kalau-kalau yang keluar itu adalah isterinya. Kamal berdiri sambil mencekak pinggang."Waris Dahlia Yasmin Binti Khalil," laung jururawat yang menarik katil Dahlia.
"Nanti encik ikut saya untuk azankan bayi ya," ujar jururawat itu lagi.Kamal mengangguk. Ya, dia kena azankan anaknya nanti. Bermakna anaknya lelaki. Alhamdulillah, ucap Kamal dalam hati. Dia mengikut sahaja langkah jururawat yang menarik katil isterinya menuju ke wad.
Kemudian jururawat itu membawanya menuju ke wad NICU, dia dibawa masuk setelah membersihkan tangan. Diminta memakai pakaian khas untuk masuk ke bilik rawatan jagaan rapi itu.Dia terus mengazankan anak yang baru lahir itu.
Dilahirkan pada 31 Januari 2000, pada jam 2.45 pagi. Beratnya hanya 1.4 kg sahaja. Kamal terkedu melihat keadaan anak yang baru dilahirkan itu. Terlalu kecil. Wajah si kecil comel, sama seperti abang-abang dan kakaknya."Mari kita keluar encik. Tak boleh lama-lama di sini. Encik boleh lihat anak encik di luar sana," ujar jururawat yang bertugas.
Kamal mengangguk dan melangkah keluar dari bilik itu dengan mata berkaca.Tiada apa yang boleh dilakukan ketika itu. Dahlia sudah tidur sewaktu dia keluar dari bilik isterinya. Dia juga tidak boleh masuk menjaga Dahlia. Wad tempat Dahlia dirawat adalah untuk perempuan sahaja. Lelaki tidak dibenarkan menunggu. Biarpun dia adalah suami Dahlia.
Kamal memandu pulang ke rumah. Esok dia akan datang lagi melawat Dahlia. Sepanjang perjalanan dari hospital ke rumah, fikirannya menerawang entah ke mana. macam-macam ada dalam fikiran. Apatah lagi melihat keadaan anaknya itu. Mampukah anak itu hidup, detik hati kecil Kamal. Melihat kondisi anaknya membuatkan dia semakin bimbang. Dahlia pula masih lemah.
Ya Allah! Kau selamatkanlah isteriku, doa Kamal dalam hati. sebak dadanya. Anaknya pula kelihatan sangat lemah. Air mata lelakinya gugur juga. Tidak sanggup dia melihat keadaan kedua-dua insan yang istimewa dalam hidupnya itu berada dalam keadaan menyedihkan.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, dia tidak henti-henti berzikir dan berdoa untuk keselamatan keluarganya..
YOU ARE READING
AKU JUGA PUNYA HATI
Mystery / ThrillerSINOPSIS Antara CINTA dan TAKDIR, jiwa antara Kamal dan Jamaiyah hampir bertaut hingga ke jinjang pelaminan, namun hati Dahlia tercuri oleh pesona Kamal yang tak terjangkau, cinta pandangan pertama. Persahabatan, cinta, dan rahsia yang selama ini di...