Kehadiran Aathif sekeluarga membuatkan Aisyah bimbang. Dari cara pandangan sahaja, Aisyah tahu mungkin ada seorang dua yang tertanya-tanya tentang rumah yang dia diami ini.
Sejurus Aathif perkenalkan ibunya, Khatijah kepada Aisyah, Aisyah terus bersalaman dengan bakal ibu mertuanya itu.
"Jemput duduk sementara saya bawakan air," tawar Aisyah sebelum mengundurkan diri untuk ke dapur.
"Ibu Aathif," kata Aathif.
Asma yang sedang bersalaman dengan saudara-mara Aathif yang lain, kini berpelukan pula dengan Khatijah.
"Saya Khatijah. Boleh panggil Ijah je," perkenal Khatijah.
"Saya Asma," balas Asma sambil tersenyum lebar.
Walaupun tetamu yang datang berkunjung hanya lah 7 orang sahaja, namun jantungnya terasa berdebar kencang. Sudah lama rasanya rumah Asma tidak semeriah ini. Sejak kematian si suami, rumahnya terasa kosong dan sunyi.
Sementara menunggu Salman, abang kepada Asma, Aisyah menolong si ibu menghidang makanan. Salman satu-satunya saudara rapat Asma yang masih menjenguk mereka setiap bulan. Sebagai tanda hormat, Asma menjemput Salman untuk mewakilkan diri bagi pihak mereka.
"Makan lah dulu ye. Ni semua Aisyah yang masak," pelawa Asma.
"Aisyah masak? Mesti sedap ni," ujar Aathif.
Dia orang pertama yang bangun dan terus menuju ke meja. Walaupun dia baru sahaja bersarapan di rumah, mendengar sahaja apa yang dikatakan Asma, membuatkan Aathif terasa lapar.
"Laju je Aathif," kata Khatijah. Mereka ketawa melihat kelakuan Aathif, kayak anak kecil yang tak sabar mahu merasa setiap hidangan yang ada di atas meja.
"Aisyah masak semua sedap-sedap. Rugi kalau tak rasa semua ni," balas Aathif sebelum menyuap makanan ke dalam mulut.
Senyuman Asma masih terbentuk di bibir. Selang beberapa minit, kehadiran Salman membuatkan Aisyah tersenyum gembira.
Perlahan lelaki berusia 60-an itu masuk ke rumah dan bersalaman dengan semua yang ada. Sambil menunggu mereka habis menjamu selera, Salman sempat bersembang dengan Ilyas.
"Rasanya Puan Asma dan Aisyah dah tahu akan maksud kedatangan kami. Maklum lah kedua-dua pihak telah berhubung sejak dari zaman sekolah menengah lagi," mula Ilyas dengan senyuman mesra di bibir.
Aisyah senyum dalam diam. Hasratnya tercapai. Entah mengapa, dia terasa bangga dengan pencapaian yang dilakukan oleh Aathif.
"Banyak perkara telah disepakati, tapi sebagai syarat dalam memuliakan adat dan majlis, kami teruskan juga dengan adat mulia kita bersama. Adapun hajat kami yang utama ialah untuk bertanyakan sama ada puteri tuan rumah ini yang bernama Nurul Aisyah Sofia sudah berpunya atau belum? Jika belum berpunya, alhamdulillah. Maka kami ingin sekali memetik bunga di taman bak kata orang dulu dulu, atau dalam bahasa agama, kami datang adalah untuk meminang Nurul Aisyah Sofia bagi pihak anak saya, iaitu Muhammad Aathif Anaqi," tambah Ilyas lagi.
"Saya Salman, pakcik kepada Aisyah ingin mewakilkan diri bagi pihak anak saudara saya. Memandangkan masing-masing pun sudah sepakat ingin mengambil langkah seterusnya dalam hubungan ni, saya memberi peluang kepada Aisyah untuk memberikan kata sepakat untuk bertunang dengan Aathif," balas Salman.
Semua yang hadir kini memandang Aisyah. Berdetak laju jantung apabila terasa diri menjadi perhatian ramai.
"Aisyah, mahu kah Aisyah bertunang dengan anak saya, Muhammad Aathif?" Tanya Khatijah.
"Saya sudi bertunang dengan Aathif," balas Aisyah.
Aathif tersenyum girang. Masing-masing mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak. Sesi menyarung cincin dimulakan. Selesai dengan itu, Aisyah bersalaman dengan Khatijah.
"Alhamdulillah lah ye. Makcik senang hati terima kamu sebagai bakal isteri kepada anak makcik. Makcik harap sangat tak ada apa-apa masalah yang berlaku di kemudian hari," kata Khatijah sambil mengelus lembut bahu Aisyah.
Selepas sahaja Khatijah bangun dari kerusi, saudara-mara Aathif yang lain pula datang bergambar dengan Aisyah. Satu demi satu pujian Aisyah terima dengan hati yang terbuka.
Jam yang sudah melewati pukul 5 petang memberi arahan untuk Ilyas sekeluarga. Dia menghirup habis air kopi panas sebelum bangun dari duduknya.
"Memandangkan majlis pertunangan Aisyah dan Aathif telah pun tamat, mari lah kita beransur pulang," ujar Ilyas.
"Nanti kalau ada apa-apa, Abang Man telefon je saya," kata Ilyas.
"Baik, baik. Tak ada masalah. Ha, Aathif. Pak Man nak ingatkan sikit, walaupun dah bertunang, perlu ingat batas hubungan tu. Jaga air muka mak ayah ye," nasihat Salman.
"Baik, Pak man," balas Aathif, mengangguk faham sambil tersenyum.
Masing-masing mula menuruni anak tangga. Hanya Aisyah, Asma dan Salman berada di halaman rumah. Entah mengapa, Aisyah terasa sangat gembira pada hari ini.
Dia terlalu teruja dengan apa yang berlaku, sehinggakan tangannya masih dilambai-lambai walaupun mereka sudah pun keluar dari perkarangan rumah.
×××
Gigi diketap kuat. Panas bahang membuatkan lelaki itu semakin marah. Senyuman di bibir wanita itu terasa seperti kilat memanah jiwa.
Kenapa bukan diri dia?
Kenapa memilih Aathif?"Kenapa kau sanggup tolak aku mentah-mentah? Apa kurangnya aku dekat mata kau?"
Niatnya yang tadi ingin datang ke rumah Aisyah dengan membawa buah tangan, dihentikan dengan begitu sahaja.
Sampai sahaja dia di simpang rumah Aisyah, beberapa buah kereta menangkap perhatian Hanif. Salah satu kereta adalah milik Aathif. Perlahan-lahan, dia mengekori kereta mereka sebelum berhenti tidak jauh dari rumah Aisyah.
Tahu lah dia bahawa Aisyah telah pun bertunang. Jika tidak, mengapa keluarga Aisyah berlapang dada menerima kehadiran mereka yang jelas bukan saudara maranya?
Keretanya dipandu keluar. Sebungkus plastik berisi buah-buahan, dibuang ke dalam tong sampah sebelum dia masuk semula ke dalam kereta.
"Tunggu lah, Aisyah. Aku tahu cara nak dapatkan kau," ujar dia sendirian.
Laju kereta itu dipandu, menuju ke tempat yang telah lama dia tak jejaki. Ada satu perkara yang perlu dia lakukan. Dan dia dapat rasa yang perkara itu tidak akan mensia-siakan rancangannya.