Langit mendung menebal di dada langit. Hutan yang mengelilingi kawasan itu sunyi bukan kerana ketiadaan kehidupan, tetapi kerana wujudnya satu tempat yang begitu rahsia, sehingga peta pun enggan mencatat keberadaannya.
Pusat Latihan Kuat Diri, atau lebih dikenali dalam dunia bawah tanah sebagai PLKD, bukan sekadar pusat. Ia adalah medan. Tapak bina untuk pejuang tanpa identiti. Tapak tumpah darah untuk membunuh kelemahan dalam diri manusia.
Bangunannya suram berkelabu. Bumbungnya rata, dindingnya konkrit kasar. Tidak ada penanda arah. Tidak ada sambutan mesra. Hanya satu pintu besar yang bila tertutup, dunia luar seolah-olah lenyap sepenuhnya.
Fayyana dan Chelif, dua gadis muda, melangkah masuk ke dalam kompleks itu dengan dada yang masih mendebar. Pakaian serba hitam menampakkan siluet tubuh mereka yang kecil, namun mata mereka membawa bara yang belum padam.
Pintu belakang bangunan utama ditutup rapat.
Tiada ucapan salam. Tiada pendaftaran. Hanya suara berat yang memecah sunyi:
“Turunkan beg. Berdiri dalam barisan. Pandang ke depan.”
Arahan dilontarkan tanpa emosi. Lelaki itu jurulatih pertama mereka mengenakan baju celoreng kelabu gelap, sepasang but berkulit tebal, dan memegang satu rotan besi yang tampak seperti bekas luka.
Setiap langkah mereka diperhati. Setiap hela nafas dinilai. Fayyana tahu, dari detik itu, kelemahan bukan sahaja tidak akan diselamatkan malah akan dihukum.
Sesi Penilaian Awal: Patahkan Ego.
Peserta disusun berderet di tengah lapangan. Seorang demi seorang diminta berdiri menahan baldi air ais di atas kepala sambil lutut dibengkokkan dalam posisi separuh mencangkung.
Fayyana terasa tulang pinggulnya menjerit, namun dia tidak berganjak. Gigi dirapatkan, mata dikunci ke hadapan.
Suara jurulatih bergema lagi.
“Siapa yang lutut tersentuh tanah, kamu akan dibawa ke Bumbung. Siapa ke Bumbung, bersedialah untuk dipanggang.”
Tiada yang mahu tahu makna kata ‘dipanggang’. Tapi semua percaya. Kerana suara jurulatih itu tidak pernah berdusta.
Chelif, di sebelah Fayyana, sudah berpeluh lencun. Nafasnya berat. Tapi bila dia menoleh, dia melihat Fayyana masih teguh. Tidak terjejas. Lalu dia menyerap kekuatan itu dan berdiri lagi.
Mereka bertahan.
Satu jam kemudian, hanya sembilan daripada dua puluh peserta yang masih berdiri.
Dan dari sembilan itu, Fayyana dan Chelif berada di hadapan.
---
Latihan Fizikal: Kuatkan Tulang, Lunturkan Emosi.
Tanpa tidur yang cukup. Tanpa makanan yang lazat. Hanya sekeping roti kering dan air masak. Setiap hari mereka dipaksa bangun seawal subuh tetapi bukan untuk solat, bukan untuk senaman ringan sebaliknya untuk mengangkat baldi air sepanjang dua kilometer laluan berbukit.
Baldi itu perlu dijunjung, bukan digalas. Bahu mereka melecet. Tapak kaki Fayyana berdarah. Tapi dia tidak mengeluh.
“Kalau lutut kau goyah hari ini, kepala kau akan tunduk pada masa depan,” bisik Fayyana pada dirinya.
Mereka diarahkan mengangkat dua batang kayu balak seberat tujuh kilogram setiap satu, dan berjalan mengelilingi perimeter PLKD sebanyak lapan pusingan. Tanpa henti. Tanpa air.
Ramai yang tersungkur.
Siapa gagal melengkapkan pusingan?
Dihumban ke sangkar Ferdy.

ANDA SEDANG MEMBACA
MI ENEMIGO, MI AMOR [og]
RomanceTengku Altezza Zayyan x Nur Fayyana Indira Pertemuan singkat antara Altezza dan Fayyana membuatkan masing-masing bingung. Siapa sangka? Mereka tertukar bagasi di lapangan terbang!! ketika itu, kapal terbang selamat mendarat di kelantan, dan itulah...