Hampir senja barulah dia balik ke rumah arwah Mak Yah yang terletak tidak jauh dari rumah banglo keluarga kandungnya. Bukan dia tidak mahu bermalam di rumah orang tuanya tetapi dia tidak mahu mengeruhkan hubungan emak, ayah dan adik-beradiknya, terutama Abang Farhan. Menyebut nama itu buat jantungnya berdegup kencang.
Rumah itu masih utuh, bersih dan terjaga kerana dijaga oleh Pak Su Halim. Sesekali Pak Su akan suruh anak-anaknya yang balik bercuti tidur di rumah itu. Dia, boleh tinggal di rumah itu bila-bila masa kerana tanah dan rumah itu telah ditukar kepada namanya oleh arwah Mak Yah.
"Mak Yah tak nak Maliq duduk merempat. Biarpun Maliq bukan anak Mak Yah, tapi Maliq kena ingat, Mak Yah sayang Maliq macam anak sendiri. Mak Yah yang jaga Maliq sejak bayi lagi," kata Mak Yah sambil menyerahkan geran rumah dan tanah tersebut kepada Maliq.
"Mak Yah, terima kasih kerana jaga Maliq," ucap Maliq. Dia menunduk.
Keluarganya sendiri tidak mengambil tahu akan dirinya. Maliq berasa beruntung kerana dikurniakan seorang saudara sebaik arwah Mak Yah dan keluarganya. Mereka tidak menyisihkannya.
Rumah itu tidak banyak berubah. Semua susun atur seperti set kerusi di ruang tamu, ruang makan dan dapur masih sama biarpun sudah beberapa tahun Maliq tidak balik. Lepas maghrib dia bercadang hendak ke rumah Pak Su Halim yang dekat dengan surau dan tanah perkuburan. Esok pagi boleh ziarah kubur Mak Yah.
Mak Dahlia berkali-kali memujuk dia agar tidur di banglo itu. Maliq menolak dengan baik. Dia tidak mahu bertemu muka dengan Abang Farhan. Dia takut melihat wajah bengis abang kandungnya itu.
Pelbagai alasan diberi agar dia tidak dipaksa tinggal di banglo itu. Kenapa dia hendak tinggal di rumah ada orang yang membencinya? Ayah juga dingin saja. Tidak rancak berbual dengannya.
Maklumlah mereka tidak pernah menjaganya. Jumpa hanya sesekali. Setelah dia dewasa inilah dia berani datang ke rumah itu. Itupun masih terselit rasa takut dan bimbang. Bimbang akan dipukul. Takut akan dicederakan lagi oleh Abang Farhan.
Wajah Mak Yah di mana-mana di dalam rumah itu. Antara sebab dia tidak mahu pulang ke kampung kerana akan teringatkan arwah Mak Yah. Wanita yang sudah dianggap seperti ibu sendiri memanjakan dia. Membelai dan menjaganya dengan penuh kasih sayang ketika dia kecil, sehinggalah dia dewasa.
Mak Yah banyak berkorban untuknya. Ketika dia sakit akibat kemurungan dan tekanan yang teruk, Mak Yahlah yang membawanya ke hospital, cari tempat berubat. Hanya kerana ingin melihat dia sembuh.
"Mak Yah nak tahu sebab-sebab yang menyebabkan Maliq tertekan. Maliq tak suka tinggal dengan Mak Yah ke, sehingga berasa tertekan sangat?" soal Mak Yah ketika mereka menikmati makan tengahari.
Maliq memandang wajah Mak Yah. Dia menunduk."Beritahulah Mak Yah. Mungkin Mak Yah boleh tolong?" soal Mak Yah lagi.
Maliq mengeluh. Perlukah dia bercerita? Tidak mungkin. Ini soal maruah dirinya. Kalaulah Mak Yah tahu, dia takut Mak Yah akan bertindak di luar dugaan.
Cukuplah Mak Yah pernah mengamuk di hadapan rumah banglo itu gara-gara dia dipukul oleh Abang Farhan sehingga bengkak mata dan mukanya. Maliq tidak dapat bayangkan jika Mak Yah mendapat tahu apa yang telah dilakukan oleh Abang Farhan terhadapnya.
"Hei, Kamal! Kau tengok apa anak sulong kau dah buat pada anak aku ini! Keluarlah tengok apa anak kau buat pada adik dia ni!" jerit Mak Yah di hadapan banglo itu.
Tidak pernah Maliq melihat Mak Yah marah-marah. Selama tinggal dengan Mak Yah, wanita itu tertib dan sopan orangnya. Sejak menjaga dan melindunginya sikap Mak Yah berubah sama sekali. Pantang orang menghinanya, Mak Yah akan bangkit menegur dan melawan demi dirinya.Sebaik sahaja terlihat kelibat Abang Farhan, Mak Yah mencapai ranting kayu pokok rambutan, Mak Yah terus menyerang Abang Farhan dan memukulnya sehingga berbirat tubuh dan kaki Abang Farhan.
"Kau ganggu adik kau lagi, Mak Yah tidak teragak-agak kerat tangan kau!" kata Mak Yah.Abang Farhan jatuh terduduk di tanah. Dia menangis kesakitan.
Mak Yah menarik tangan Maliq dan pulang ke rumah.
"Mak Yah, Maliq rindu Mak Yah!" luahnya sambil memeluk gambar pengasuhnya itu.
Terlalu banyak kenangannya dengan Mak Yah. 20 tahun dia bersama Mak Yah. Tanpa Mak Yah hidupnya sunyi dan sepi. Maliq berkira-kira ingin habiskan cuti semnya sehingga Maliq nampak wajah emak semakin ceria.
Mungkin semakin sembuh. Dia tidak ingat tentang keadaan emaknya yang sakit teruk. Selepas melahirkannya, emak tidak dibenarkan mengandung lagi. Dia ingat-ingat lupa masalah kesihatan emak. Kerana masalah kesihatan emaklah dia terpaksa diasuh oleh orang lain.
Usai solat maghrib dia terus ke rumah Pak Su Halim, adik arwah Mak Yah. Sudah lama dia tidak menemui bapa saudara sepupunya itu.
YOU ARE READING
AKU JUGA PUNYA HATI
Mysterie / ThrillerSINOPSIS Antara CINTA dan TAKDIR, jiwa antara Kamal dan Jamaiyah hampir bertaut hingga ke jinjang pelaminan, namun hati Dahlia tercuri oleh pesona Kamal yang tak terjangkau, cinta pandangan pertama. Persahabatan, cinta, dan rahsia yang selama ini di...