Bab 7 - Jangan Sesekali Kau Ambil!

64 11 0
                                    

Janji tetap janji. Dia sudah berjanji hendak bersarapan dengan emaknya. Biarpun hatinya berat untuk melangkah masuk ke dalam rumah banglo itu.

Hatinya diulit resah. Kecut perutnya sebaik terlihat banglo keluarganya itu. Terbayangkan wajah Abang Farhan yang tersenyum sinis memandangnya selepas kejadian terkutuk itu. Peristiwa yang tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayatnya.

​Malam tadi bertemu Pak Su Halim, banyak cerita yang mereka kongsikan bersama. Pak Su Halim turut menitip sedikit wang belanja biarpun dia menolak, Pak Su Halim memaksa dia menerimanya.

​Maliq berdiri di hadapan pagar rumah banglo itu. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan, dia tarik lagi nafasnya untuk menenangkan diri. Dadanya berasa sakit, jantungnya berdegup kencang. Terasa lemah lututnya. Sebelum keluar dia sudah telan ubat anti-kemurungan. Namun, masih terasa sesak nafasnya. Dia kuatkan hati.

"Maliq! Maliq!" panggil seseorang.

Maliq menoleh, dia memandang ke arah rumah mak saudara sepupu ayahnya. Seorang perempuan sebaya emak sedang melambai-lambai ke arahnya. Perempuan itu datang mendekat. Maliq berhenti berjalan. Dia menapak masuk ke dalam kawasan rumah itu.

"Bila kau balik? Kau nampak sihat?" soal mak saudara ayah itu.

"Sampai kelmarin lagi Mak Farah, Alhamdulillah," jawab Maliq.

"Mak kau macam mana? Semakin sihat ke?" soal Mak Farah sambil matanya memandang kiri, kanan, macam takut-takut.

"Alhamdulillah, nampak tu sihatlah," jawab Maliq sekali lagi.

Mak Farah mendengus kasar.

"Ini ada minyak urut, kau beri pada mak kau ya, Mak Farah dengar dia sering sakit kaki dan badan."

Maliq memandang minyak angin yang diberi oleh Mak Farah. Dia membelek botol berwarna hitam itu. Kenapa beri kepada dia? Kenapa Mak Farah tidak terus pergi ke rumah dan beri sahaja kepada emak.

"Jomlah ke rumah, Mak Farah beri sendirilah pada emak." Dahi Maliq berkerut.

Kenapalah macam pelik sahaja sikap kakak sepupu ayahnya itu.

"Hish! Kau kan nak balik ke rumah. Apa salahnya tolong bagi? Lagipun emak kau bukan sihat betul lagi. Mak Farah tak nak mengganggu emak kau," kata Mak Farah.

"Yalah. Nanti Maliq bagi kepada emak," ujar Maliq, tidak mahu memanjangkan perbicaaan mereka berdua.

Minyak angin yang disimpan dalam botol berwarna hitam bertukar tuan. Dia menyambung perjalanannya ke rumah banglo keluarganya. Maliq mendekati pintu utama. Dia memberi salam dan mengetuk daun pintu. Tidak berapa lama kemudian daun pintu dibuka perlahan.

"Ayah," sapa Maliq.

"Kau bawa apa tu?" soal Kamal. Matanya tepat memandang botol kaca berisi minyak angin yang ada di tangan anak bongsunya itu.

"Minyak angin, Mak Farah bagi, dia suruh bagi pada emak," jawab Maliq jujur.

"Buang! Jangan bawa masuk rumah!" suruh ayah tegas.

Dahi Maliq berkerut. Buang? Kenapa pula? Soalnya dalam hati.

"Tapi ayah ...."

"Buang!" jerkah ayah.

Maliq tersentak. Dia terkedu. Botol minyak angin itu dipandang lama. Kemudian dia memandang ke arah rumah sepupu ayah, Mak Farah yang terjengah-jengah di sebalik pokok pisang di tepi rumahnya.

"Kau jangan masuk, selagi kau tak buang minyak itu, faham!" Kamal membelakangkan Maliq. Kemudian memandang Maliq semula.

"Kau juga jangan nak ambil dan pakai minyak angin itu," Kamal memberi amaran.

Maliq mengangguk-angguk tanda faham. Dia memandang sekali lagi ke arah rumah Mak Farah. Sunyi dan sepi. Bayang Mak Farah pun tidak kelihatan lagi. Mana dia nak buang minyak angin itu? Laut jauh. Sungai ada tetapi keruh.

​Pening kepala dia memikirkan situasai yang sedang berlaku. Takkan minyak angin pun jadi masalah? Lagipun yang beri itu adalah kakak sepupu ayah. Ahli keluarga jugalah. Bukan orang lain.

​Maliq meletak minyak angin itu di tepi pagar botol dan dia melangkah masuk ke dalam rumah. Emak sedang duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen. Ayah ... mungkin di biliknya atau ada di mana-mana dalam rumah itu.

​"Mak!" sapa Maliq.

​Dahlia menoleh, tiba-tiba dia menjerit macam orang terkena sampuk. Terjerit-jerit seperti ketakutan dan melihat sesuatu.

​"Kenapa Lia? Lia!" soal Kamal yang baru keluar dari bilik air.

​Maliq berdiri kaku di hadapan emaknya.
​Kamal memandang Maliq. Dia mengetap bibir. Dia menolak Maliq menjauhi Dahlia.

​Maliq hampir terjatuh, nasib baik sempat berpaut pada tiang yang ada di tengah rumah antara ruang tamu dan ruang makan.

​Dahlia pengsan.

​Kamal panik.

​Maliq terpinga-pinga. Apakah emaknya terkena sihir?

Apakah manusia tidak tahu bahawa orang yang bermain dengan sihir ini adalah berdosa besar? Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang mendatangi bomoh lalu meminta sesuatu daripadanya, tidak diterima solatnya empat puluh hari" (Muslim: 2230)

​Maliq menunduk kesal.

AKU JUGA PUNYA HATIWhere stories live. Discover now