Bab 19

263 17 0
                                    

MATA Haania tercelik luas. Tangan menggagau mencari telefon pintarnya. Saat objek itu berjaya dicapai, skrin dinyalakan. Sudah pukul 6:20 pagi. Baru sahaja dia ingin turun, terasa seperti ada sesuatu yang menindih bahagian perutnya.

Sudah hampir seminggu mereka berkahwin dan esok mereka akan berpindah ke rumah yang Khalish katakan. Tangan si suami yang memeluk erat pinggangnya itu ditepuk buat beberapa kali. Pada awalnya dia terkejut juga apabila dirinya dipeluk sedemikian rupa. Setiap kali ditolak, pasti tangan lelaki itu akan kembali memeluk pinggangnya membuatkan dia pada akhirnya membiarkan sahaja.

"Awak bangun," ujarnya. Wajah Khalish dipandang. Lelaki itu masih lagi pejamkan mata.

"Khalish, bangun. Solat Subuh..." Sekali lagi, dikejutkan suaminya itu. Kali ini, barulah mata Khalish terbuka meskipun sipi-sipi sahaja. Jelas masih nampak lagi mengantuk itu. Dia alihkan tangan lelaki tersebut lantas posisi diubah kepada duduk.

"Sekarang dah pukul berapa?" Dengan suara yang baru sahaja bangkit dari tidur, Khalish bertanya.

"Pukul 6:20, bangunlah. Nanti takut terlambat pula. Saya pergi ambil wuduk dulu." Punggung ingin diangkat namun tubuhnya kembali terbaring apabila pinggangnya terasa di tarik. Menjerit kecil Haania jadinya.

"Five more minutes..." gumam Khalish perlahan. Tangan masih lagi kekal utuh memeluk pinggang si isteri.

"Tak bolehlah awak. Nanti tak pasal-pasal kita terlepas solat Subuh." Ditolak perlahan sekali lagi tangan kekar milik suaminya itu sebelum dia mula turun dari katil lantas berdiri menghadap Khalish yang masih lagi enak dibaluti selimut. Alat kawalan jauh bagi penghawa dingin itu diambil lantas butang off ditekan manakala kipas siling pula dibuka. Sejuk-sejuk macam inilah lagi orang rasa liat mahu bangun Subuh.

Dapat Haania lihat Khalish mengeliat sebelum lelaki itu juga turut duduk di atas katil. "Garanglah awak ni..."

Tidak berkedip mata Haania jadinya. "Saya garang?" Dia cuma suruh bangun Subuh sahaja. Apa yang garangnya?

Khalish hanya tersenyum. Suka lihat muka bingung Haania itu. "Awak pergilah ambil wuduk dulu. Kejap lagi saya pulak."

"Awak jangan nak sambung tidur eh?" Haania bercekak pinggang. Meledak tawa Khalish jadinya.

"Tak, sayang. Pergilah." Padahal memang terselit sedikit niat mahu buat begitu tadi. Tapi kalau sudah diberi amaran sebegitu, tak jadilah pula.

Haania memandang wajah Khalish. Ada keraguan di situ sebelum dia berlalu masuk ke dalam bilik air. Ini kalau dia keluar kemudian nampak Khalish pejam mata, memang dia simbah air terus gamaknya.

***

"AWAK nak pergi mana?" tanya Haania setelah dia naik ke bilik usai sahaja membantu mama menyiapkan sarapan di bawah. Mata kemudian tidak lepas memandang baju jersi yang tersarung pada tubuh Khalish itu.

"Dah dekat seminggu tak berjoging. Nak pergi jog kejap. Nak ikut?" Dibetulkan sekejap rambut di hadapan cermin. Wajah si isteri dipandang melalui pantulan objek tersebut. Wanita itu sekadar menggeleng.

"Awak nak breakfast dulu ke nak jogging dulu?" soal Haania lagi. Mana tahu jikalau Khalish mahu mengisi perut terlebih dahulu.

"Of course breakfast first, sayang. Tak elok jogging dengan perut kosong."

"Tapi nanti lepas awak jogging tak lapar balik ke?" Bukankah jikalau selepas sahaja melakukan aktiviti bersenam seperti jogging itu, perut akan kembali meragam?

Anugerah Terindah [HIATUS]Where stories live. Discover now