10

40 6 1
                                    

"Si Aisyah tu bukan ke selalu keluar berjalan sana sini dengan si Aathif? Kenapa tak berkahwin dengan budak tu?" Imah yang baru sahaja meneguk air mula bertanya-tanya.

Siapa je yang tak kenal dengan Imah? Di kampung ini, dia lah ahli yang terpaling busybody dengan semua orang. Sampai kan, cerita dalam kain pun dia tahu.

"Ish kau ni, cuba lah cover mulut tu sikit. Kita dah lah datang makan dekat rumah dia, nanti kalau dia terasa dengan kita, aniaya kita kena cari dia dekat Mahsyar nanti," ujar Wati.

Nasi disuakan ke dalam mulut. Walaupun dia juga terkejut dengan berita Aisyah berkahwin dengan Hanif, itu tidak menghalang dia untuk datang makan.

Makanan percuma, siapa je tak nak?

"Hmm, ye ye je kau. Dia bukannya tahu pun kita mengumpat pasal dia," balas Imah.

Selesai sahaja makan, dia bangun dan menuju ke tong yang berisi air basuh tangan. Sedang matanya melilau mencari kelibat pasangan pengantin, matanya jatuh ke arah Aathif yang memparkir kereta.

Laju sahaja dia membasuh tangan, dan berlari anak menuju ke arah Wati. Bahu rakannya itu ditepuk-tepuk. Terkadang, Wati sendiri tak mengerti mengapa Imah suka sangat jaga tepi kain orang. Kalau ditegur, mula lah mulut Imah melenting tak tentu pasal.

"Wati," panggil Imah.

"Ha, apa dia?"

"Tu, sana tu," kata Imah, menjuih bibir ke arah Aathif yang sedang membuka pintu kereta.

"Ha, kenapa?" Tanya Wati lagi.

"Kau rasa tak apa yang aku rasa?"

"Nak rasa apa? Makanan ni? Rasa sedap je," jawab Wati selamba.

"Bukan, tu budak si Aathif tu. Selamba je datang. Siap bawa hadiah lagi. Agaknya, ada apa-apa tak, ek?" Ujar Imah.

"Mungkin dia dijemput untuk datang. Bukan macam kita ni, tak dijemput pun, kita datang," jawab Wati.

"Alahai. Kita ni hidup berjiran. Kampung kita ni tak besar mana pun. Kalau bab makanan pun nak berkira, nanti masa nazak, susah tau. Silap-silap, orang sekeliling tak nak datang jenguk sebab masa kita hidup dulu, kita kedekut dengan orang sekeliling," bebel Imah.

'Dah mula dah perempuan tua ni' Getus Wati dalam diam.

"Cuba lah kau bawa bersabar. Kalau kau nak tahu sangat kenapa Aathif tu datang, kau pergi lah tanya dia. Kau jangan kacau aku, tak tenteram hidup aku nak makan bubur kacang ni," balas Wati. Wanita tua itu mula menyuap bubur kacang yang dibuat sendiri oleh Asma ke dalam mulut, membiarkan Wati sendirian.

Kelam kabut saja kelakuannya, dah lah tak ada kena mengena dengan hidup Imah, suka sangat nak ambil tahu tu, dah kenapa? Silap-silap, masa Imah nazak, tak ada siapa datang jenguk disebabkan mulut puaka perempuan tu.

"Kalau aku pergi sergah dia, belum tentu si Aathif tu nak jawab soalan aku. Biar je lah, nanti lama-lama aku tahu juga," kata Imah.

"Daripada kau duduk tunggu aku habis makan, apa kata kau bersembang dengan jiran-jiran kita yang ada dekat sini? Nanti, tak ada lah kau bosan menunggu aku," cadang Wati.

"Aku tunggu kau je lah, Wati. Kita ni dah lah datang senyap-senyap. Nanti tak pasal-pasal jadi buah mulut orang, mana aku nak letak muka? Malu aku nanti," pangkah Imah.

"Eh, kau ada perasaan malu lagi ke?"

"Eh kau ni, mesti lah. Takkan tak ada pula," jawab Imah. Dahinya berkerut, seakan-akan tidak percaya dengan soalan yang diajukan.

"Ye lah, aku ingatkan perasaan malu kau tu dah dibuang jauh-jauh sejak kau suka sangat menyibuk dengan urusan orang lain," jawab Wati.

"Eh, eh, eh. Sedap mulut kau ye"

"Hehehehe," ketawa Wati.

Seketika, pasangan mempelai kelihatan sedang menjamu selera membuatkan Imah mencebik bibir. Walaupun sederhana, dia boleh nampak yang semua orang tiada masalah dengan situasi begini.

Sedangkan pada hari perkahwinan anak perempuannya setahun yang lepas, buat majlis grand pun, masih ada masalah yang menimpa.

"Elok sangat la tu dia kahwin dengan Doktor Hanif, daripada si Aathif tu, apa pun tak ada"

"Dah apa pasal kau cakap macam tu?" Mata Wati dituju ke arah Aisyah yang pada ketika ini kelihatan sangat cantik.

"Ye lah, Doktor Hanif tu dah sah-sah lah boleh sediakan semua untuk Aisyah. Kalau Aathif tu, aku rasa, rumah pun dia tak mampu nak beli. Kalau nak tunggu Aathif tu pacak khemah megah, agaknya, masuk umur 30 pun belum tentu boleh kahwin lagi," jawab Imah.

"Rezeki masing-masing, Mah. Jodoh tu pula dekat tangan Allah. Kau bukannya tahu pun, apa perancangan Tuhan tu untuk si Aathif. Mana tahu, tiba-tiba ada anak orang berada suka dekat budak tu, kahwin juga dia nanti," balas Wati.

"Ye ye je kau. Aku rasa, anak orang kaya pun tak akan pandang muka dia," balas Imah. 

"Ye lah, Mah. Kau je lah yang paling tahu pasal perancangan Tuhan. Kalau Tuhan tu dah takdirkan sesuatu, memang akan jadi juga," kata Wati.

Dia mula mengeluarkan telefon, menangkap beberapa gambar Aisyah dan Hanif sebelum bangun dan menggalas beg tangan.

"Sejak bila kau jadi ustazah ni?" Tanya Imah tak puas hati.

Kalau boleh, dia mahu dia sahaja yang betul. Dia mahu orang rasa setiap kata-kata yang dia utarakan itu, cepat atau lambat, akan terjadi juga.

Entah sejak bila Wati mula berbalah dengannya, dia sendiri tidak tahu. Mungkin, Wati juga sudah malas nak sebulu dengan dirinya yang suka bergosip sana sini.

"Sejak-sejak rasa hidup ni dah tak lama, aku rasa, ada baiknya kita sibuk dengan hal kita. Nanti kalau tiba-tiba malaikat datang cabut nyawa, tak ada lah roh liat nak tinggalkan jasad," balas Wati.

Dia berjalan menghala ke Asma yang sedang sibuk bersembang dengan tetamu yang hadir. Selepas bersalaman, dia berjalan pula ke arah pasangan pengantin.

"Cantik Aisyah harini. Beruntung Doktor Hanif dapat pasangan macam Aisyah," puji Wati seraya bersalaman dengan wanita itu.

Aisyah hanya melemparkan senyuman palsu. Hanif juga tersenyuman manis. Dia lah yang paling bahagia sekali.

"Mana tak beruntung, Aisyah dah cantik, ayu, sopan pula tu," kata Wati lagi.

"Cik Wati dah makan ke?" Tanya Aisyah. Kebahagiaannya hilang dalam masa satu hari, mana kan dia mampu mendengar pujian dari orang sekeliling.

"Dah. Acik datang dengan Cik Imah. Kau tahu lah si Imah tu, kalau tak menyibuk hal aku, dia menyibuk hal orang lain," jawab Wati, bibir dijuihkan ke arah Imah yang berdiri tidak jauh daripada mereka.

"Makanan semua sedap kan, Cik Wati? Tak ada yang kurang kan?" Tanya Hanif.

"Tak ada pun. Semuanya sedap-sedap belaka," balas Wati lagi.

"Wati, dah ke tu?"

"Aku nak bersembang sekejap pun tak boleh. Okay lah, acik nak beransur dulu. Selamat pengantin baru ye, Hanif dan Aisyah. Semoga rezeki kau orang berdua melimpah ruah. Semoga rumah Asma ni, meriah dengan suara budak-budak," ucap Wati.

"Acik jangan risau. Bab anak, saya uruskan," terjah Hanif sambil ketawa girang.

Aisyah diam. Perasaan gemuruh tiba-tiba sahaja muncul. Apa lagi yang dirancangkan oleh Hanif?

[O.G] SAYANGKU, AISYAH Where stories live. Discover now