BAB 12 -Hati Yang Juga Tersakiti.

59 8 1
                                    

Di kampung.

Farhan membantu ayahnya mengangkat
emaknya dan diletakkan di atas katil selepas dimandikan.

Emak kena serangan strok selepas terjatuh ketika
melihat Maliq. Entah apa yang emak nampak sehingga
emak pengsan. Dia mengeluh kesal. Kalaulah Maliq
tidak balik tentu keadaan emak yang sudah semakin
pulih itu tidak seteruk hari ini.

Mereka sudah melarang Maliq pulang ke
kampung biar apapun berlaku. Sejak Maliq lahir, emak
tiba-tiba diserang sakit, kata arwah mak tok, emak
sakit meroyan, tiba-tiba murung, suka marah-marah,
menangis dan ketawa tanpa sebab. Kadang-kadang
bercakap seorang diri. Sering berasa kecil hati dengan
ayah dan menuduh ayah nak berkahwin lagi. emak
juga tidak menghiraukan Maliq yang masih bayi dan
menyusu itu.

Puas ayah membawa emak berubat, merata- rata
tempat ayah pergi. Pantang ada orang beritahu tempat
berubat, pasti ayah akan bawa emak. Ayah ingin melihat emak ceria seperti dahulu. Dia juga ingin melihat emak memasak, bergurau-senda dan bermain-main bersama.

Bagaikan mimpi buruk sahaja. Ribut yang
datang menghancurkan seluruh kebun ayah, begitulah
penyakit yang menimpa emak, seperti ribut yang
menghancurkan kegembiraan dan kebahagian keluarga mereka. Tiada lagi senyuman, gelak ketawa emak.

Tiada lagi usikan emak. Tiada lagi belaian manja daripada emak. Semuanya sepi, semuanya berubah sekelip mata sejak kelahiran Maliq. Pelbagai cara perubatan alternatif mereka usahakan, tetap tiada sebarang perubahan.

Emak tetap seperti itu. Akhirnya semua berputus asa
dan berserah kepada takdir.

"Kita bawa emak ke rumah Haji Abdullahlah
ayah. Mungkin emak akan sembuh semula macam
dulu," ajak Farhan.

Kamal menggeleng. Keadaan Dahlia kali
ini bukan disebabkan rasukan atau penyakit lama
menyerang, tetapi kerana tekanan yang keterlaluan
menyebabkan dia menghidap darah tinggi. Tekanan
darahnya terlalu tinggi sehingga diserang angin ahmar
atau strok. Dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan
lagi. Sudah berpuluh tahun dia menghadapi keadaan
seperti itu.

Ujian yang tidak pernah reda, sejak Maliq
lahir, keluarga ini tidak pernah bahagia. Dugaan terlalu banyak, penderitaan yang tidak terucap. Semua orang sengsara. Farhan mengeluh.

Dia memandang mulut emak yang herot, tangan emak lembik sebelah. Kaki emak juga lemah. Kenapa semua ini terjadi. Baru setahun dua emak pulih dari sakit yang dialami sejak kelahiran Maliq. Kini, ditimpa penyakit lain pula.

"Kita bawa emak ke hospital ayah. Takkan nak
biar emak macam itu aje," cadang Farhan.

Kamal menggeleng lagi.

Farhan mengetap bibir. Rasa geram dengan
sikap selamba ayah, seolah-olah tidak mahu mengubati penyakit emak.

"Emak dah terlalu banyak terseksa dan
menderita sakit. Biarkan dia macam tu. Kalau pergi
hospital entah apa yang akan mereka lakukan lagi.
Cukuplah!" kata Kamal.

Farhan faham perasaan ayahnya, tapi berpeluk
tubuh takkan membantu emak. Hanya berharap emak
sembuh sendiri, adalah mustahil.

"Ayah, abang long, emak macam mana?" sapa
Irfan Zaki yang baru tiba. Dia ada urusan di luar daerah. Terlalu sibuk dengan urusan kerjanya.
"Macam itulah," balas Farhan. Dia duduk di
sofa sambil mata tidak menjauh dari melihat wajah
emak yang cengkung itu.

Irfan Zaki mendekati Dahlia. Dia memegang
dan mengusap lengan dan jari-jemari emaknya.
"Ayah tak nak bawa emak ke hospital ke?" soal
Irfan Zaki pula.

Kamal yang duduk di kerusi tidak jauh dari
Dahlia, menggeleng perlahan.

Irfan Zaki mengerut dahi. Kenapa pula?

Soalnya dalam hati sendiri. Dia memandang Farhan.
Farhan hanya menggeleng.

Irfan Zaki mengeluh.

Farhan menyuap emak makan bubur nasi
berlaukkan isi ayam. Disuap perlahan-lahan. Mata
emak tidak berkedip. Makan sahaja tanpa ada apa-apa
reaksi. Sekalipun belum menegur Farhan biarpun dia
berada di hadapan emaknya, malah menyuap bubur
nasi. Emak seperti tidak melihat dia yang berada di situ.

Ayah keluar entah ke mana, katanya ada
urusan. Irfan Zaki sudah kembali ke rumahnya.
Nadia Hana tidak datang lagi kerana menguruskan
keperluan suaminya terlebih dahulu. Tinggallah Farhan menguruskan emak yang terlantar tidak boleh bergerak itu.

Sewaktu emak sihat. Emak adalah seorang ibu
yang amat penyayang. Menguruskan rumah dengan
sempurna. Seluruh kawasan rumah dijaga rapi. Dalam
rumah sudah pasti tiptop kebersihannya. Biarpun
beberapa kali dia mengulang cerita yang sama. Dia
rindukan emaknya yang dahulu. Emak sebelum lahirnya Maliq.

Emak yang periang. Rajin bercerita. Rajin
berbual dengan dia dan adik-adiknya. Mengajar mereka membaca, menulis dan mengira. Emak jugalah yang mengajar mereka menghafal sifir. Emak yang pandai memasak. Sudah lama dia tidak menjamah masakan emak. Sejak emak sakit, emak tidak pernah lagi mengisi ruang di dapur.

Kenapa kau lahir Maliq?

Kalaulah emak tidak
mengandungkan Maliq tentu sekarang emak sihat
walafiat. Dia pula sudah pasti telah berumah tangga.
Tiada siapa yang mahu bersuamikannya. Apatah lagi dia anak sulung, emak pula sakit. Tiada seorang perempuan yang sanggup menjaga emak.

Malah, ada yang sanggup letakkan syarat tidak mahu tinggal di rumah ini dan menjaga emak yang sakit itu. Dia terpaksa menolak jodoh yang dicadangkan kepadanya oleh seorang jiran sekampung. Biarlah dia membujang sehingga akhir hayat asalkan dia dapat menjaga emak sepenuh hati.

Sejak emak sakit, dia tidak ada perasaan
sayang kepada Maliq. Bagi dia, Maliqlah yang telah
memusnahkan kebahagian keluarga ini. 'Kalaulah Maliq tak lahir, kalaulah Maliq tak hadir dalam keluarga ini...'

Ayat itulah yang sering bermain dalam fikirannya. Dia
bencikan suasana muram ini.

Pada musim perayaan seperti Hari Raya
disambut ala kadar sahaja. Ayah tidak bersemangat
untuk meraikannya. Apatah lagi setelah tok dan tok
wan meninggal dunia. Jiwa ayah seperti telah terbang
meninggalkan keluarga ini. Ayah masih mengusahakan
kebun buah-buah dan durian itu hanya kerana ingin
merawat sakit emak, dan membesarkan mereka tiga
beradik.

Ayah juga tidak mempedulikan Maliq.
Maliq dijaga oleh orang lain. Tiada siapa yang sudi menjaga Maliq kecuali Mak Yah, sepupu ayah.
Mak Yahlah yang menguruskan segala keperluan Maliq.

Ayah atau emak langsung tidak mengambil tahu tentang Maliq. Membesarlah Maliq di bawah jagaan Mak Yah yang tidak berkahwin itu.

Farhan mengeluh, mengenang kisah dahulu,
buat hatinya sakit. Sakit sangat. Lukanya tidak pernah
sembuh. Parutnya masih bernanah sehingga ke hari ini.

Lebih-lebih lagi keadaan emak tidak pernah membaik.
Sudah lebih dua puluh tahun lebih kut!
Berbakul-bakul ubat emak makan untuk
menghilangkan rasa tertekannya. Sekejap baik,
kemudian kembali pula penyakit tersebut. Semua
orang jadi letih mengharapkan emak akan sembuh
sepenuhnya.

Semua berharap akan terjadi satu keajaiban kerana sudah lama mereka menjaga emak yang tidak tentu arah emosinya.

Nasib baik ada juga yang sudi mengambil Nadia
Hana sebagai isteri. Jika tidak nasib Nadia Hana sama
sepertinya. Jadi bujang terlajak.

Begitu juga Irfan Zaki, masih ada yang sudi bersuamikan adik keduanya itu. Farhan mengeluh. Bekas mangkuk yang masih ada sisa
bubur diletak atas meja sisi. Mulut emak dibersihkan
dengan tisu. Perlahan-lahan emak memejamkan mata.
Farhan memerhatikan sahaja sehingga emak
tertidur.

AKU JUGA PUNYA HATIWhere stories live. Discover now