Bab 5
"Puan."
Teguran itu membuatkan Hayla menoleh sekilas kepada Salmah. Sekejap saja sebelum pagar besar di hujung sana kembali menjadi tatapan mata. Ternanti-nanti kemunculan Mercedes Benz milik Zafrel di situ. Sambil berdiri, tangan asyik menggaru lengannya yang gatal. Berbintat digigit nyamuk yang sentiasa kebulurkan darah manusia.
"Tuan belum sampai? Dah lama sangat puan tunggu dekat luar ni."
Salmah kini berdiri di sisinya. Sama-sama melontar pandangan ke pagar utama yang masih sepi. Pertanyaan Salmah membuatkan mulut Hayla berdecit geram. Sakit hati tak terkata. Gara-gara terlampau takut dengan ugutan Zafrel tempohari, sampai sejam lebih dia tercongok dekat luar rumah begini. Sebab dia tahu amaran lelaki itu bukan sekadar omong kosong.Kalau Zafrel kata nak pukul jika dia terlambat, makanya memang betul-betul dia akan dipukul. Tapi itulah. Dah lama dia tercongok dekat sini, menunggu macam tiang, orang yang pandai mengugut tak reti-reti pula nak muncul. Kakinya sudah naik lenguh berkawad dan mundar mandir di ruang porch ini sejak tadi.
"Banyak nyamuklah puan dekat sini. Apa kata kalau puan masuk dan tunggu Tuan Zaf dekat dalam? Takkanlah Tuan Zaf nak marah kan? Lagipun dia sendiri yang terlambat nak jemput puan." Ujar Salmah mencadangkan.
Kasihan sungguh dia melihat Hayla. Dia yang baru keluar ini pun dah sibuk mengibas dan menepuk-nepuk lengan yang disakat nyamuk. Bayangkan berapa lama Hayla dah menanti dekat sini. Tak ke stres dan sakit hati?
"Memanglah saya nak masuk, Kak Sal. Tapi takut bila saya masuk, tiba-tiba Tuan Zaf pulak sampai. Teruk saya kena marah nanti. Tuan Zaf dah pesan suruh saya tunggu dekat luar siap-siap, tak boleh lambat." Dengan riak kecewa Hayla membalas. Kaki yang bersarung kasut tumit tinggi terasa semakin sakit. Lenguh sampai ke betis.
"Puan dah cuba call tuan? Mana tahu dia terlupa nak jemput puan malam ni."
"Dah banyak kali saya call, tapi tak berangkat." Hayla mendengus perlahan. Tak boleh dielak, dia hanya terbayang kesibukan Zafrel yang masih leka mengulit Julia. Itulah namanya berseronok tak ingat dunia. Tapi agak pelik juga kerana suaminya jarang menolak arahan Haji Nordin. Kalau Haji Nordin kata kena datang ke sesuatu majlis, makanya Zafrel memang wajib datang. Tak boleh tidak.
"Agaknya Tuan Zaf dah pergi rumah Tengku Mukhriz tak? Takkanlah sampai dekat dua jam lewatnya, puan." Salmah cuba menyedapkan hati puannya. Airmuka gadis itu yang resah dipandang penuh rasa simpati.
"Entahlah, Kak Sal. Tak apalah, saya tunggu aje dekat sini."
Salmah terdiam. Mengeluh dengan perasaan semakin kasihan. Sebenarnya dia dan Junaidah agak kagum dengan ketabahan gadis muda ini melayari hidup berumahtangga. Bukan sembarangan orang boleh bertahan dengan sikap panas baran Tuan Zafrel.
Panas baran sudah satu hal. Hal lain pula, lelaki itu masih berselingkuh dengan kekasih lamanya. Semua orang di dalam rumah ini tahu tentang hubungan gelap Tuan Zafrel. Lagipun semua itu bukan lagi rahsia kerana mereka terang-terangan menunjuk. Malah Cik Julia sendiri pernah datang ke sini mencari majikan mereka. Bukan main menggedik dan mengada-ngada lagi. Dasar muka tak tahu malu. Meluat sungguh!
Salmah sudah lama berkhidmat dengan keluarga Tuan Zafrel. Jadi hubungan Tuan Zafrel bersama Cik Julia memang sudah lama dia tahu. Dari waktu dia bekerja sepenuh masa di rumah banglo Haji Nordin lagi. Memang dia sering menjadi saksi drama percintaan merpati dua sejoli itu. Maklumlah cinta dihalang oleh orang tua.
Bagaimanapun setelah Tuan Zafrel mengahwini Hayla, dia diarah menjadi pembantu di sini bersama Junaidah. Diminta membantu puan muda mereka yang masih belum biasa menyesuaikan diri hidup di kota. Tapi tak sangka pula Tuan Zafrel masih setia bersama Cik Julia. Padahal dah punya isteri yang jauh lebih muda dan cantik jelita.
YOU ARE READING
I PROMISE
RomanceReady stock di ttshop Aciklana tq ****** Bergelar isteri sejak berusia sembilan belas tahun, Hayla tak pernah bahagia. Malah cukup terseksa tatkala menjadi mangsa keganasan suaminya sendiri. Perbezaan usia yang ketara membuatkan Zafran begitu keras...