15

20 4 1
                                    

"Harini ada nak pergi mana-mana ke?"

Asma yang baru menyiapkan sarapan pagi buat Hanif dan Aisyah sekilas memandang mereka berdua yang duduk di meja makan.

Aisyah memandang Hanif. Dari awal subuh tadi, dia sudah berfikir untuk bagaimana dia menggelar Hanif. Abang? Suami? Sayang? Huh, rasanya memang tak lah dia nak panggil perkataan sayang tu.

"Entah. Hanif apply cuti tiga hari je. Doktor yang ganti Hanif tu tak dapat nak take over lama-lama sebab mak mentuanya masuk hospital. Jadi, tak ada siapa nak jaga anak di rumah," jawab Hanif.

Nasi lemak yang masih lagi berasap disenduk ke dalam pinggan. Sementara Aisyah yang menunggu di sebelah, mula menuangkan air ke dalam cawan untuk diberikan kepada si suami.

"Kalau tak keberatan, Ibu nak ajak Hanif beli barang sikit dekat pekan. Nak beli barang basah untuk bulan depan," kata Asma. Punggungnya dilabuhkan di kerusi berhadapan dengan lelaki itu.

"Boleh. Hanif pun tak ada nak buat apa sekarang. Mungkin petang sikit nak ajak Aisyah bawa Hanif jalan-jalan kampung," setuju Hanif.

"Hari ni Rabu ada pasar malam dekat pekan sana. Dulu Aisyah suka jalan-jalan dengan Aathif dekat sana," kata Asma.

Seketika, sudu yang baru sahaja mau disua ke dalam mulut terhenti apabila telinga menangkap nama lelaki yang sangat tak disukai.

Aisyah memandang si ibu sebelum mata dialihkan ke arah Hanif yang sudah berubah muka.

"Aathif?" Tanya Hanif.

Dari ekor mata lelaki itu, Aisyah dapat agak apa yang sedang bermain di fikiran Hanif. Walau dia baru sahaja berumahtangga, dia dapat teka perangai sebenar suaminya itu. Banyak buruk dari baiknya.

Mana kan tidak, mendengarkan nama Aathif sahaja sudah membuatkan raut wajah Hanif berubah, inikan pula jika bersua muka dengan lelaki itu. Mungkin, dekat situ sahaja Hanif bertumbuk dengan Aathif. Siapa tahu, kan?

"Dulu ya lah Aisyah suka ke sana sini. Malu ibu dibuatnya sebab jiran-jiran asyik bercakap pasal Aisyah. Tapi, sekarang Hanif ada. Boleh lah Hanif bawa Aisyah berjalan pula," kata Asma.

Sebenarnya, dia sendiri tak mahu membuka cerita lain kepada sesiapa. Namun, entah mengapa mulutnya laju sahaja menyebut nama bekas kekasih Aisyah.

Sempat juga dia melihat Aisyah yang sudah panik. Jika anak perempuannya itu sudah merasa sedemikian, mahukan dia pula bersikap selamba? Pasti Asma juga merasa tak senang duduk.

Ya lah. Sekarang Hanif adalah menantu kepada dia dan suami kepada anak perempuannya, Aisyah. Dia perlu berjaga-jaga dalam menutur kata. Takut juga dia jika Hanif terasa hati, dah satu hal Asma perlu memujuknya pula.

Hanif diam. Nasi disua ke dalam mulut. Wajahnya langsung tidak memandang Asma mahupun isterinya, Aisyah. Laju sahaja dia menghabiskan makanan sebelum bangun dan pergi ke dapur sambil membawa pinggan kosong miliknya.

"Ibu ni. Kenapa nak cakap pasal Aathif?" Bisik Aisyah, ton suaranya sedikit tinggi.

"Ibu nak cakap benda lain, tapi terkeluar benda lain," jawab Asma.

"Ibu jangan cakap pasal Aathif dekat dia. Hanif tak suka Aathif. Nanti Aisyah yang kena marah pula," tegas Aisyah mengeluarkan amaran.

Dia segera bangun dari kerusi dan melangkah mendapatkan Hanif. Dia perlu terangkan apa sebenarnya nak mahu dikatakan oleh Asma. Jika tidak, pasti lelaki itu akan berfikiran negatif. Mungkin juga overthinking.

"Cari apa?"

"Buta ke?" Balas Hanif. Pinggan yang telah dibasuh diletakkan di rak.

"Tak marah kan?" Tanya Aisyah.

Separuh daripadanya hanya ingin membiarkan sahaja si suami merasa sakit hati. Jika diikutkan, memang patut pun Hanif berasa sedemikian. Memang menjadi fakta bahawa Aisyah dan Aathif selalu sahaja ke pekan. Tak kira lah untuk berjalan saja atau membeli apa-apa.

"Kau ingat aku ada masa ke nak dengar pasal kisah silam kau?" Tanya Hanif.

"Tak..."

Hanif mula melangkah keluar dari dapur. Lagaknya seperti seorang yang sudah lambat mahu ke kerja. Tertanya-tanya Aisyah dibuatnya.

"Nak ke mana?"

"Nak jumpa member. Kau tak ada member kan? Kau duduk je rumah jaga mak kau," ujar Hanif seraya melangkah pergi.

Aisyah diam. Siapa kata dia tak punya kawan? Walau tak ramai, dia juga mempunyai dua atau tiga rakan yang boleh dia percayai. Namun, rakan-rakannya sekarang ni bukan ada di kampung pun. Masing-masing tengah sibuk dengan kerja.

Lantak lah. Tak ada kehadiran Hanif dalam rumah pun dah boleh buat Aisyah senang hati. Tak perlu lah dia asyik nak baca raut wajah lelaki itu. Boleh lah dia sambung membuka hadiah-hadiah yang diberikan oleh tetamu bersama ibu.

"Hanif nak ke mana?" Tanya Asma.

Aisyah kembali duduk di kerusi bersebelahan Asma. Secawan teh diambil dan diteguk perlahan.

"Nak keluar sekejap. Nanti ibu siap-siap lah. Pukul 4 petang macam tu, kita pergi pekan," kata Hanif.

Kunci kereta dan dompet diambil sebelum dia keluar menuju ke kereta, membiarkan Aisyah dan Asma diam tak terkata. Aisyah pandang Asma, Asma pandang Aisyah. Mana nya nak dapat jawapan, kan?

"Makan lah, bu. Hanif pergi jumpa member dia tu," ujar Aisyah seraya mempelawa si ibu untuk bersarapan.

"Hanif marah ke?" Tanya Asma.

Sesuap nasi dimasukkan ke dalam mulut. Aisyah juga mula bersarapan. Malas dia mahu melayan kerenah Hanif. Lagi pun, dia bukannya suka dengan lelaki itu. Apatah lagi nak mencuba-cuba untuk mencintai? Memang tak lah.

"Nanti ibu tolong Aisyah buka hadiah-hadiah tu ye. Banyak hadiah orang bagi semalam," ajak Aisyah.

Nasi lemak disenduk lagi. Hari ini lapar wanita itu lain macam. Semalam bukannya dia sempat nak merasa makanan lain. Asal tangannya nak ambil sesuatu makanan, pasti ada orang yang panggil untuk bergambar dengannya.

"Makan banyak-banyak. Ibu tengok Aisyah makin kurus," kata Asma.

"Mana ada kurus. Ni kalau timbang, mesti dah 70kg," seloroh Aisyah.

Teringat dia akan kata-kata Aathif dahulu. Kurus atau gemuk, Aathif tetap akan bersamanya. Tak kisah lah jika ada yang berkata buruk tentang fizikal Aisyah mahupun Aathif, mereka akan tetap bergembira asalkan masing-masing setia.

Senyumannya dimatikan apabila bunyi notifikasi telefon berbunyi. Dia bangun dan segera masuk ke bilik. Mesej daripada Hanif dibuka.

Nafsu makannya terhenti tatkala melihat gambar yang diberikan oleh Hanif. Gambar Aathif dengan wanita yang dibawa semalam, kini sedang berjalan bersama.

Mesej yang diberikan dibaca diam-diam. Sakit pula hatinya. Namun, bila fikir semula, siapa dia untuk mempunyai perasaan sebegitu rupa?

Mungkin sekarang adalah waktunya untuk dia mula melupakan Aathif. Segala macam yang pernah mereka lakukan bersama perlu ditanam dalam-dalam.

Biar lah lelaki itu berbahagia bersama-sama pasangan baharunya.

[O.G] SAYANGKU, AISYAH Where stories live. Discover now