Bab Satu

9 0 0
                                    

Bentong, Pahang

Senyuman lebar Dayana tidak mampu dikawal lagi ketika sedang mengikat timbunan surat khabar lama di tepi kaki lima itu. Jelas tulisan Bahasa Mandarin itu tiada satu pun yang difahami. Ah Hock mengusahakan kopitiam turun-temurun dari generasi datuknya itu tidak pernah tahu berhenti melanggan surat khabar. Memang begitu sejak dari dulu.

Dia sendiri akan menekuni dan membaca dengan teliti setiap pagi. Surat khabar itu akan diletakkan di meja bahagian hadapan, sesiapa sahaja boleh membaca secara percuma.

Tidak terhitung lagi berapa ramai sudah menyarankan agar dia berhenti sahaja dari melanggan surat khabar. Membazir. Pokok banyak ditebang kerananya. Tambah hari ini orang-orang lebih meminati membaca tabloid dalam talian di peranti masing-masing. Ah Hock masih kekal dengan caranya itu. Selesa membaca lembar demi lembar yang bercetak. Dengan bau dakwat yang masih membasahi.

"Ha.. kuranglah sikit berpasir kerusi kereta saya ini. Terima kasih banyak Ah Hock!" "Nanti kalau mahu apa-apa, cili ke, serai ke, beritahu saja saya. Nanti saya bagi harga istimewa." ucap Dayana yang masih belum berhenti tersenyum sejak dari tadi. Sambil mengibas-ngibas tangan sebaik sahaja menghamparkan beberapa helaian surat khabar lama di tempat duduk belakang kereta. Selebihnya diletakkan di tempat meletakkan kaki.

"Serai mau apa bikin, Diana? Saya niaga kopi sama roti saja. Aiyo."

"Dayana. Bukan Diana. D.a.y.a.n.a. Nama saya Dayana la, berapa kali saya beritahu sama you."

"Sama saja. Asal itu bunyi Na juga kan, ok lah."

Dayana tergelak kecil sambil menjegilkan mata. Perlahan menggelengkan kepala pula. Dia melangkah masuk ke dalam kereta. Masak benar dengan perangai Ah Hock yang sesuka hati menukar nama orang. Entah benar dia lupa atau saja-saja mahu bercanda. Zubir, pelanggan tetap yang datang setiap hari pun selamba dia panggil Kabir. Esok mungkin Sibir. Bunyi belakang saja yang betul.

Hyundai Atoz Prima perlahan meluncur melewati pekan yang sedang dipenuhi orang sedang bersarapan sebelum memulakan kerja. Rata-rata lebih gemar untuk duduk di meja luar memenuhi ruangan laluan jalan kaki. Pemandangan setiap pagi itu suka Dayana perhatikan. Pelbagai ragam manusia berbual menikmati sarapan, seperti acara wajib memulakan rutin mencari nafkah untuk keluarga.

Waktu ini juga Dayana akan keluar menghantar bahan mentah; sayur-sayuran. Ia merupakan keperluan beberapa kedai makan untuk digunakan bagi memasak lauk pauk tengah hari nanti. Sebanyak mana permintaan mereka, yang membawa jualan terbesar tidak dapat dikalahkan kepada pemilik-pemilik kedai makan tomyam. Beberapa buah restoran berderet beroperasi tidak jauh dari kawasan rumah.

Campak saja di mana-mana pun, kedai makan tomyam ini pasti boleh hidup. Atau ada juga yang tutup dan lingkup? Pastilah, turun naik itu hal biasa. Yang pasti orang kita memang suka hidangan tomyam itu.

Setiap hari berkati-kati lengkuas, lobak merah, daun limau purut akan ditempah dan dihantar dalam keadaan yang segar. Kebun kecil-kecilan yang diusahakan tepi halaman rumah menjadi sumber kewangan utama Dayana. Kecil namun sentiasa ada.

Sentiasa ada yang meminta bekalan dihantar ke kedai mereka. Ada yang dibuat jualan runcit. Tidaklah banyak, tetapi memang selalu ada. Setakat hari ini semua diusahakan seorang diri. Dia belum ada pekerja. Belum punya lori satu tan. Belum membekal ke luar kawasan lingkar tempat tinggal. Masih di sini-sini saja.

"Eh, awalnya abang penghantar barang hari ni. Pagi lagi kot." Dayana mengambil bungkusan yang diletakkan di tepi pagar. Setelah selesai urusan penghantaran sayur di waktu pagi, dia akan pulang menguruskan kebun kecilnya itu, memeriksa tempahan dan membereskan hal-hal rumah.

Sepasang Saling Memeluk Eksistensi BumiWhere stories live. Discover now