MENTARI yang membahang pada pagi itu mencucuk hingga ke saraf kepala. Sesekali angin yang bertiup membuatkan pepohon melambai-lambai ditiup angin. Seperti biasa, para banduan akan ditugaskan untuk membersihkan kawasan penjara sebagai aktiviti riadah pada waktu petang.
Si lelaki bertatu naga di lehernya tunak memerhatikan Jebat yang ralit menyapu dedaun di halaman. Senyuman sinis terherot di bibirnya. Laju saja dia menghampiri pemuda itu sembari menolak kereta sorong berisi dedaun kering.
"Aku dengar kau dah nak keluar dari neraka ni. Betul ke?"
Seketika, Jebat berpandangan dengan Bashir. Asap rokok dihembus ke wajah lelaki itu. Dahinya berkerut. Bagaimana lelaki bertubuh kekar ini bisa tahu dia akan keluar dari penjara pun Jebat tak tahu.
Lantas, puntung rokok dicampak ke atas tanah. Langkah diatur menghampiri Keong yang hanya termenung dengan wajah sembapnya. Lebih baik dia menjauhkan diri daripada Bashir.
Tak mahu ada 'tragedi berdarah' berlaku lagi di dalam penjara. Jebat mahu keluar. Masih banyak rancangan yang belum selesai demi mencapai matlamatnya yang satu itu.
"Hoi! Aku tak habis cakap lagi dengan kau!"
Jebat tulikan telinga. Intuisinya mula tak enak melihat Keong sudah dihampiri oleh tiga orang banduan. Wajah banduan bermata sepet itu kelihatan ketakutan. Pucat tak berdarah! Apa pula yang sudah diperlakukan tiga orang banduan itu kepada 'orang sumbernya'?
"Aku dah tahulah kau sengaja rompak kedai emas tu sebab nak masuk penjara! Bengap juga eh kepala otak kau ni sampai sanggup risikokan diri sendiri!"
Bashir mula memprovokasi. Tercabar bila mana Jebat seakan acuh tak acuh dengan kehadirannya. Mana mungkin dia membiarkan Jebat keluar dari penjara semudah itu.
"Hoi anak pembunuh! Kau tak nak tahu siapa yang buat bapa kau bunuh diri macam orang tak ada agama..."
Belum sempat Bashir mematikan kata, laju saja tubuhnya terhempas ke atas tanah dengan tendangan yang dihayunkan oleh Jebat. Pandangannya bertaut dengan Jebat yang berwajah kosong.
Entah apa yang tersirat di lubuk hati pemuda berjambang dan bermata helang itu pun Bashir tak tahu.
"Kau nak apa?" Suara dingin Jebat mula kedengaran. Dia mula sangsi tatkala motifnya mula ketahuan.
"Aku cuma nak pastikan kau dah jumpa jawapan di sebalik kematian bapa kau ke belum. Tak salah kan kalau aku nak membantu?"
Mendengar hal itu, Jebat semakin curiga. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat sehingga mencucuk tapak tangan.
Bagaimana musuhnya ini bisa tahu matlamatnya masuk ke dalam penjara? Selama dua tahun dia dikurung dalam neraka dunia ini, tak pernah sekali pun orang lain mengungkit matlamat hidupnya.
Kecuali.
Keong dan Hamdun yang sudah dibebaskan sebulan yang lalu.
Kerana mereka berdualah kunci kepada klu jejak keberadaan pelaku pembunuh ayahnya.
"Kenapa? Kau terkejut ke aku tahu kenapa kau sengaja masuk penjara?" Bashir tertawa sinis. Dia bangun sambil menyapu debu di tapak tangannya.
"Tu bukan urusan kau. Kau tak ada kena mengena dengan apa yang aku nak buat dalam hidup aku." Nada suara Jebat semakin tegang. Intuisinya semakin negatif. Ruang fikiran mula sibuk diasak dengan beribu persoalan mengenai matlamatnya yang sudah terbongkar ini.
Bashir mendengus. Dia memaut bahu Jebat. Kening kirinya terjungkit dengan tatapan tajam pemuda itu.
"Kau tak perlu nak angkuh sangat. Aku ni penghuni lebih lama daripada kau tau kat neraka dunia ni. Mestilah ada benda yang aku tahu..."
YOU ARE READING
KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING)
Romance𝙹𝙴𝙱𝙰𝚃 𝙺𝙷𝚄𝚆𝙰𝙸𝙻𝙸𝙳 𝙹𝙰𝚂𝙼𝙸𝙽𝙴 𝚀𝙰𝚂𝚁𝙸𝙽𝙰 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒖𝒅𝒂...