EPISOD 4

807 116 6
                                    

PANDANGAN sayu wanita itu membuatkan Jebat kaku buat seketika. Kedinginan hujan yang membasahi tubuhnya mula mencengkam hingga ke tulang-temulang. Rasa perih di lukanya kian terasa.

Perlahan-lahan, Jebat bangun sambil menekup luka jahitannya yang sudah terbuka. Ada darah yang mengalir deras di perut pemuda berambut panjang itu. Entah mengapa, ada satu rasa aneh yang menjentik tangkai hati Jebat tatkala pandangannya tak lekang menatap wajah Jasmine yang turut bangun dari tersembam di bahu jalan.

Ada derita terpancar di wajah wanita itu.

"Suami Jasmine..."

Jasmine meluru ke arah Jebat. Masih ada biasan Zafri yang takkan luput di ingatannya. Jasmine yang sudah menggeletar menahan dingin hujan masih terbuai dengan halusinasi.

Wajah itu, persis seperti Zafri. Mana mungkin Jasmine lupa wajah sang suami yang sudah dijemput Ilahi. Perlahan-lahan, Jasmine mengusap lembut pipi Jebat seakan ada figura Zafri di hadapannya. Senyuman pahit terukir di bibir wanita itu. Ada kerinduan yang semakin mencengkam sanubari.

"Abang, kita balik ya. Anak kita dah lahir. Abang dah jadi ayah lepas dua tahun kita tunggu zuriat kita..."

Mendengar rintihan Jasmine benar-benar membuatkan Jebat kelu.

Ya Tuhan, kenapa setiap sentuhan Jasmine ini seakan merawat luka di tubuhnya? Degupan jantungnya jadi kencang. Kenapa kesedihan Jasmine seakan meresap ke relung hatinya?

Jebat mengerti, Jasmine memerlukan kasih si suami yang seolah-olah sudah hilang. Tapi, ke mana keberadaan suami tercinta si wanita? Kenapa dirinya ini membuatkan si wanita tak lekang mencari sosok suaminya?

"Jasmine rindu..."

Belum sempat Jasmine memeluk erat tubuh Jebat, tubuhnya terkebelakang tatkala ditolak kasar oleh pemuda itu. Kedinginan yang terpancar di wajah Jebat benar-benar meluluhkan jiwa Jasmine.

Kenapa... 'suaminya' ini tak mahu lagi memberikan kehangatan kepadanya di kala hatinya diruntun pilu?

"Aku... bukan suami kau! Kau pandang muka aku ni betul-betul! Aku tak kenal kau siapa dan aku tak tahu apa masalah hidup kau sampai kau tak habis-habis panggil aku ni suami kau! Kau waras ke tak sebenarnya ni?"

Tak semena-mena, Jasmine tersentak dengan amarah Jebat. Kolam matanya terasa hangat. Air matanya kembali mengalir ke pipi melihat amarah pemuda itu. Kakinya seakan terpasak di atas bumi tatkala melihat kekasaran Jebat. Hilang semua perbendaharaan kata di ruang fikiran Jasmine tatkala akal warasnya mula bertindak.

"Kacau mood aku betul jumpa perempuan gila macam kau ni! Muka manis tapi sayang, mereng! Kesian betul suami kau tu. Sebab tu kut dia tinggalkan kau sebab dia tak sanggup nak hidup dengan perempuan gila macam kau!"

Tak putus-putus, Jebat melontarkan amarahnya. Tak lagi mempedulikan wajah sayu Jasmine yang seakan terkesima dengan kata-kata lancangnya.

Jebat tak mahu berikan simpati dengan orang asing ini.

Tika itu, kepala Jasmine mula berdenyut dengan bicara Jebat yang mengguris tangkai hatinya. Dadanya semakin sesak. Benarkah Zafri meninggalkan dia kerana dia sudah gila?

Mustahil!

Zafri tak tinggalkan dia kerana dia gila!

Lelaki ini pula... akal waras Jasmine mula sedar bahawa pemuda di hadapannya ini bukan Zafri! Mana mungkin, Zafri berkasar dengannya seperti Jebat. Zafri takkan sesekali mencemuhnya.

"Kau ni ada maruah ke tak? Sesuka hati kau peluk, sentuh lelaki lain..."

"Ya Allah Jasmine!"

Jebat kematian kata tatkala suara nyaring seorang wanita kedengaran di belakangnya. Tatkala dia kalih, terpampang figura Nek Timah yang sudah terkocoh-kocoh. Ada resah terpancar di wajah wanita tua itu.

KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING) Where stories live. Discover now