Aku, Namira. Anak tunggal Pak Shihab.
Ayah besarkan aku tanpa pernah berkurang kasih sayang. Dengan segala kudrat yang ada, ayah usahakan tanah ladang tinggalan atuk dengan tanaman sayuran.
Orang kampung selalu panggil ayah dengan panggilan Pak Hab Bendi, sebabnya tanaman pertama yang berjaya ayah usahakan adalah bendi. Hasil jualan bendi juga yang buatkan aku berjaya habiskan persekolahan sehinggalah umurku sekarang ini, 24 tahun.
Waktu aku mencecah usia akil baligh, ayah selalu hantarkan aku ke rumah Mak Dimah supaya aku dapat belajar untuk uruskan diri sendiri. Lebih-lebih lagi Mak Dimah satu-satunya adik perempuan ayah yang masih ada di kampung ini. Lagipun, sepupu aku sebelah keluarga Mak Dimah ramai. Tujuh beradik. Boleh kata, dalam keluarga ayah keluarga Mak Dimah yang paling meriah setiap kali kami berkumpul bersama.
Aku pernah rapat dengan anak Mak Dimah yang sebaya umurnya dengan aku. Khadija. Selepas Khadija berjaya sambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi daripada aku, kami mula menjauhkan diri. Sampai sekarang aku tak tahu apa perkembangan Khadija, lebih-lebih lagi aku dah mula jarang menjejak kaki ke rumah Mak Dimah. Kalau pergi sekalipun, tidaklah berlama. Sebab aku mula sedar, anak-anak Mak Dimah yang lain tak berapa suka dengan kehadiran aku dari awal lagi. Mungkin sebab itu, Khadija mula renggang dengan aku dulu.
Tapi, petang ini aku masih berada di halaman belakang rumah keluarga Mak Dimah. Duduk termenung di meja pangkin sementara menunggu ayah memunggah hasil kebun sayur untuk kenduri kesyukuran hujung minggu ni. Itupun aku dapat tahu selepas jejakkan kaki ke sini, daripada perbualan dua orang anak Mak Dimah yang berada di muka pintu. Hanya lima minit kami bertentang mata sebelum kelibat mereka mula menghilang ke ruang dalam rumah.
"Lah, ingat ayah kamu seorang je tadi!" Mak Dimah meletak punggung di ruang kerusi kayu bertentangan. Berbutir keringat halus membasahi dahinya, namun sempat Mak Dimah seka dengan hujung lengan baju sendiri.
Senyuman manis masih berseri pada wajah Mak Dimah. Aku sekadar membalas tegurannya dengan sapaan mesra. Tiada apa yang dapat aku jadikan sebagai pemula kata-kata. Lebih-lebih aku sendiri kurang pasti mengenai kenduri kesyukuran yang anak Mak Dimah sebutkan seawal tadi.
"Lusa, Dija dah nak balik ke Malaysia. Tu yang mak nak buatkan kenduri kesyukuran. Dah tamat belajar anak bongsu mak yang seorang tu." Mak Dimah senyum gembira.
Panggilan mak sememangnya sudah menjadi kebiasaannya bagi aku, sebabnya Mak Dimah sendiri mahukan aku membahasakan dirinya sebagai mak dari awal lagi. Mungkin itu jugalah menjadi faktor anak-anak Mak Dimah kurang mesra dengan aku. Seolah-olahnya aku berkongsi kasih dan sayang Mak Dimah tanpa kerelaan mereka semua.
Mak Dimah mula menyambung kata-kata, berkongsi cerita mengenai pengajian Khadija di negara asing itu. Ya, dalam semua anak Mak Dimah boleh katakan Khadija yang paling berjaya dalam pelajaran walaupun yang lain tidak kurang hebat juga. Pekerjaan bergaji besar di kawasan bandar. Ada yang sudah berkeluarga. Punya anak. Bagi aku, keluarga Mak Dimah cukup bahagia walaupun sekarang hanya Mak Dimah seorang yang dapat melihat kejayaan Khadija selepas Pak Yazir meninggal dunia dua tahun lepas.
"Nami jangan tak datang pula ke kenduri nanti. Boleh jumpa Dija, mesti ada banyak benda kamu berdua nak kongsikan lepas Dija tinggalkan kampung dulu," pesan Mak Dimah.
Mak Dimah langsung tak tahu aku dengan Khadija sudah tidak rapat seperti dulu. Mungkin sebab setiap kali aku dengan Khadija bertemu di sini, kami hanya buat seperti tiada apa yang terjadi. Sekadar menyapa dengan sapaan biasa. Tiadalah perbualan mesra seperti selalu.
"Nami akan datang datang nanti. Tak akan lupa," balasku ringkas.
Mak Dimah angguk faham. Senyuman tidak pernah pudar. Masih kelihatan cukup gembira dan teruja.
Tidak lama aku menunggu di situ bertemankan Mak Dimah, kelibat ayah mula kelihatan dari pintu belakang bahagian dapur. Menyedari ayah seperti berura-ura mahu meninggalkan pekarangan rumah Mak Dimah, aku mula bangkit berdiri.
"Mak dah pesan dekat ayah kamu, singgah makan dekat sini malam nanti. Dah lama kita tak berkumpul ramai-ramai, macam dulu." Mak Dimah turut berdiri.
Melihat raut wajah Mak Dimah di depan mata ketika ini, aku tidak pasti apa jawapan ayah tetapi kalau aku berkumpul semula dengan anak-anak Mak Dimah yang lain pastilah akan rasa kekok dan canggung.
Tanpa berkata apa, aku sekadar mengorak langkah. Itupun sudah melihat ayah mula menarik kereta sorong yang terletak bersebelahan dinding dapur.
"Abang Hab, jangan lupa datang malam nanti. Bawa Nami sekali!" sempat Mak Dimah melaung dari kedudukannya yang masih belum berganjak itu.
Dapat aku lihat ayah sekadar mengangguk faham sebelum kain yang terletak elok pada batang leher diseka kasar pada dahi wajahnya. Senyuman yang sekadar berlalu seketika itu sempat ayah lemparkan ke arah Mak Dimah sebelum kami berjalan beriringan meninggalkan halaman rumah itu.
"Ayah dah tahu lama yang Mak Dimah nak buat kenduri ni. Dari awal bulan lepas lagi," suara ayah setibanya kami berada di jalan luar. Seketika ayah berhenti menolak kereta sorong yang sudah kosong itu. "Ayah bukan tak tahu kamu kurang mesra dengan anak-anak Mak Dimah. Kalau malam ni Nami..."
"Mak Dimah dah ajak tadi, tak elok kalau kita tak datang. Nanti kecil hati pula Mak Dimah," celahku memotong kata-kata ayah.
Ayah sekadar menghela nafas. Memahami penjelasanku. Senyuman ayah lempar sebelum kereta sorong kembali disorong. "Hidup ini, kalau kita fikirkan hati orang siapa nak fikirkan hati kita pula? Tapi, kita pun tak boleh pentingkan diri sendiri juga kan?"
Ayat ayah meniti jauh ke sudut paling dalam hati aku. Tersemat kuat di fikiran sendiri. Ayah tak pernah menunjuk sebarang emosi tetapi aku yakin pasti ada rasa yang ayah pendam dan simpan selama ayah membesarkan aku seorang diri dari dulu.
YOU ARE READING
NAMI
General FictionKisah Nami. Seorang gadis yang ingin mencari kebahagiaan di dalam hidupnya. Namun, jalan untuk meraih kebahagiaan itu bukanlah dipenuhi dengan madu mahupun manisan tetapi jalan yang penuh halangan yang berliku. Jika untuk mencapai bahagia itu perl...