SETAHUN KEMUDIAN...
SAMUDERA yang terbentang luas di hadapan benar-benar membibitkan ketenangan di lubuk hati Jasmine. Angin pagi yang menyapa wajah terasa nyaman. Hiruk-pikuk suara pelaut yang ingin turun ke laut demi mencari nafkah kedengaran. Kelihatan ada juga para isteri dan anak si pelaut yang menghantarkan makanan buat mereka.
Melihatkan itu, dinding hati Jasmine kembali diruntun rasa sebak. Matanya melilau seolah-olah masih mencari bayang sang suami. Malangnya, kosong. Tiada lagi senyuman, bayang Zafri yang sentiasa membahagiakan Jasmine Qasrina.
Setahun.
Bukan masa yang singkat untuk Jasmine terima sepenuhnya bahawa dia dan Zafri sudah berpisah dunia.
"Anak kau lincah sangat ya. Cepat je mesra dengan orang."
Suara Isya mematikan lamunan panjang Jasmine. Wanita berselendang hitam yang duduk di atas pangkin itu hanya tersenyum pahit melihat gelagat Elman yang baru berusia setahun. Ligat bermain bersama Darius.
"Makin besar, makin muka Zafri aku tengok si Elman ni. Tak ada muka kau langsunglah Jasmine," tambah Syura pula. Cencalok mangga yang dicelup dengan kicap disua ke dalam mulutnya. Masam!
"Baguslah. Boleh buat lepas rindu dekat Zafri. Kalau aku rindukan arwah suami aku, tengok muka Elman je pun aku dah rasa sejuk."
Buat seketika, Jasmine dan Syura saling berpandangan. Tenang saja tutur bicara wanita itu. Senyuman tak lekang di bibir munggilnya.
"Aku suka tengok kau yang sekarang ni."
"Kenapa? Ada yang lain dengan aku yang dulu ke?"
Syura menepuk bahu Jasmine. Nafas panjang dihela melihat Jasmine yang semakin hari semakin sembuh daripada rasa kehilangan Zafri.
"Kau nampak dah boleh terima Qada dan Qadar Allah. Kau macam dah boleh terima Allah lebih sayangkan Zafri. Tak macam dulu. Murung..."
"Siapa cakap aku dah boleh terima?" selar Jasmine. Senyumannya mati. Pandangannya dialihkan memerhatikan Elman yang sedang bermain pasir bersama Darius. Anak lelaki Syura.
"Setiap hari aku rasa nak mati. Aku rasa sesak. Rindu tu sakit. Tapi... apa yang aku boleh buat supaya sakit ni hilang? Aku tak tahu nak buat apa Syu, Isya. Kalau kita demam, ada ubatnya. Tapi kalau kita sakit rindu dekat orang yang dah tak ada... apa ubatnya melainkan rasa derita?"
Nada suara Jasmine bergetar. Ada sebu yang mula menikam lubuk hatinya tatkala kerinduannya buat Zafri masih belum terpadam meskipun sudah setahun berlalu.
"Kadang-kadang... aku rasa nak mati sebab hanya kematian yang boleh hapuskan semua penderitaan aku. Sakit yang ada dalam hati akuni... takkan pernah padam. Aku dah penat... tapi Elman perlukan aku. Aku hidup hanya untuk tanda cinta aku dan Zafri. Aku menangis air mata darah sekali pun Zafri takkan pulang."
Jasmine tertunduk menekur kedua-dua belah tangannya yang sudah digenggam erat. Matanya terpejam rapat. Seluruh wajahnya mula membahang menahan air matanya. Jasmine tak mahu menangis lagi. Dia perlu kuat untuk Elman.
"Jasmine... kau ada kita orang tau..." Isya bangun dari duduk seraya memeluk erat tubuh sahabatnya. Mendengar luahan hati Jasmine cukup meluluhkan hati wanita berbadan dua itu.
"Kalau kau perlukan pendengar, kau ada aku dengan Isya. Kau luah je semuanya kat kita orang." Syura turut memeluk erat tubuh Jasmine dengan harapan semua penderitaan Jasmine diringankan.
Dia tahu, bukan mudah Jasmine kembali bangkit. Wanita itu mengalami kemurungan selepas kehilangan Zafri. Hanya berjuang setiap detik dan waktu untuk terus kuat.
YOU ARE READING
KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING)
Romance𝙹𝙴𝙱𝙰𝚃 𝙺𝙷𝚄𝚆𝙰𝙸𝙻𝙸𝙳 𝙹𝙰𝚂𝙼𝙸𝙽𝙴 𝚀𝙰𝚂𝚁𝙸𝙽𝙰 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒖𝒅𝒂...